Pilihlah spot yang airnya cantik. Istilah air cantik pastinya kita biasa dengar dan pelbagai hujah diperdebatkan mengenainya. Namun cantik di sini memberi maksud kawasan air yang bebas pencemaran dan jauh dari kawasan penempatan dan laluan kenderaan.
Ikan sungai biasanya menyukai kawasan yang arusnya tidak terlalu deras seperti di berdekatan batu-batu besar, longgokan sampah kayu atau buluh, dan dasar sungai. Maka pilihlah kawasan ini untuk mencuba nasib.
Jika ingin memancing ikan lampam, pilihlah kawasan air aliran agak deras dan beriak. Perhatikan juga jika di tebing sungai terdapat pokok tanaman yang batang atau daunnya masuk ke air, atau ada sampah yang tersekat, biasanya kumpulan lampam gemar bermain di kawasan sebegini.
Ikan patin lazimnya memilih untuk berada di lokasi sungai yang dalam, juga yang banyak tanaman akuatik untuk tempat berlindung. Ia juga akan mudah dijumpai di kawasan sungai yang banyak terdapat ikan kecil karena ikan ini juga ikan pemangsa.
Sekiranya anda berminat untuk memancing ikan keli, ketutu atau kaloi, pilihlah lokasi yang airnya agak tenang. Umumnya di kawasan tepian sungai yang sedikit berlumpur dan tidak berbatu.
Sementara peminat baung pula pilihlah kawasan pertembungan air yang keruh dan jernih. Ikan baung juga suka dengan aliran air yang agak deras. Jadi jangan terkejut sekiranya ia banyak ditemui sehingga ke tengah sungai.
Bertarung dengan ikan besar yang memakan umpan kita di sungai bukanlah satu kerja yang mudah. Untuk lebih mudah menanganinya, cubalah untuk menghela ikan ke bahgian sungai yang lebih cetek dan tidak deras arusnya.