Penggunaan mekanisme pancing dan teknik yang betul ketika aktiviti memancing membantu dalam mengekalkan populasi dan stok ikan kita.
Amalan ‘Catch and Release’ dan ‘Legal Size Limit’ antara amalan pancing yang boleh kita praktikkan.
Amalan ‘tangkap, bunuh dan makan’ tidak salah, namun biar berpada-pada, sekadar merasa dan mengisi perut. Jika yang dipancing itu bersaiz juvenil, lebih baik dilepaskan kembali.
Juvenil
Jika ikan yang dipancing terlalu kecil atau masih juvenil, kendalikan dengan cermat dan lepaskan kembali dengan cara berhemah.
Sebaiknya dilepaskan kembali di kawasan di mana ikan itu dinaikkan. Yang tak eloknya, anda kecewa ikan tu kecil, main sentap je nak cabut kail sampai koyak mulut ikan tu. Lepas tu campak merata.
Tarik keluar dari air hanya bila perlu.
Sebaiknya jika anda dalam situasi boating, proses nak cabut mata kail daripada ikan dilakukan di dalam air.
Tak perlu nak naikkan keluar daripada air nak timbang berat ke. Ikan kecik memang tak berat pun.
Minimakan jangka masa ikan jika dikeluarkan dari kawasan air.
Bila situasi anda mancing tebing atau dalam bot tapi susah nak keluarkan mata kail, dibolehkan angkat naik ikan tu.
Tapi jangan terlalu lama, segera lepaskan kembali. Tak perlu nak selfie dengan ikan tu.
Kendalikan ikan dengan tangan basah.
Semasa kendalikan ikan, pastikan tangan anda dibasahkan sebelum memegang ikan untuk mengekalkan lendir ikan pada sisik atau badannya yang merupakan antara sistem pertahanan diri bagi ikan.
Jika risau tangan anda hanyir, boleh gunakan sarung tangan yang basah.
Tukar mata kail
Jika ikan bersaiz kecil kerap dinaikkan semasa anda memancing, tukar mata kail kepada saiz yang lebih besar.
Selain mengurangkan peratus ikan kecil tercangkuk, langkah ini juga mampu kurangkan stres anda setelah asyik-asyik ikan kecik je naik.
Putuskan tali jika kail ditelan.
Jika mata kail ditelan, langkah terbaik ialah putuskan tali perambut anda. Jangan cuba cabut secara paksa ke, suruh ikan tu luah balik ke, malah jika anda seorang doktor bedah sekalipun, jangan cuba-cuba nak jalankan pembedahan ke atas ikan tersebut itu.
Cukup dengan putuskan perambut, ikat mata kail baru.
Hati-hati ketika cabut mata kail
Proses nak cabut mata kail perlu dilakukan dengan cermat untuk elakkan ikan cedera teruk atau jari anda cedera akibat tercangkuk mata kail.
Tahniah kepada diri sendiri
Langkah terakhir paling senang. Anda hanya perlu lepaskan kembali ikan kecik tu untuk masa depan ikan tersebut dan masa depan kita.
Ucapkan tahniah kepada diri anda sendiri dan teruskan memancing sampai naik ikan besor.