Dikatakan, ikan kurau ialah spesimen yang berskala 5 kg ke bawah manakala istilah senohong pula merujuk kepada spesimen kurau melebihi 5 kg. Kurau adalah ikan muara yang kuat melawan serta memiliki daya pecutan. Justeru, tali utama kekuatan minimum 20 lb diperlukan.
Boleh saja jika menggunakan tali berkekuatan kurang dari 20 lb namun adalah satu kerugian yang besar jika terkena kurau bersaiz besar yang mengakibatkan tali pancing putus. Harus diingat untuk strike kurau bersaiz besar bukanlah mudah sekarang ini.
Memancing menggunakan ladung yang kecil hanya sekadar memastikan umpan berada pada kedudukan dasar. Oleh yang demikian kita perlu faham pergerakan arus. Jika arus agak laju maka gunakan ladung yang lebih besar.
Gunakan perambut tangsi minimum 50 lb diikat dengan mata kail 3/0. Kalau boleh perambut yang digunakan adalah jenis yang tahan calar dan hakisan. Sebaiknya guna perambut keras seperti du pont atau fluorocarbon kerana walaupun tak bergigi namun geseran rahang kurau boleh memutuskan perambut. Tidak perlu perambut dawai kerana kurau kurang gemar.
Kurau ikan bermulut besar. Jadi, mata kail dari 2/0 hingga 5/0 adalah prasyarat memancingnya. Pasang umpan pilihan seperti ikan cabuk, udang hidup atau hirisan kembung di lubuk sasaran. Waktu kemuncak ialah 30 minit sebelum air pasang penuh dan satu jam selepasnya.