Berikutan habitat dan lokasi untuk pancingan bujuk lazimnya di kawasan parit atau paya di pinggir hutan, antara perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah aspek keselamatan. Terutamanya kawasan pinggir hutan yang jauh dari jalanraya atau penempatan. Oleh yang demikian, aspek keselamatan seperti yang disenaraikan di bawah ini harus diutamakan.
#1
Selaian pakaian yang tahan lasak dan bersesuaian, pemilihan alas kaki juga penting. Sebaiknya elakkan memakai alas kaki yang banyak mendedahkan bahagian kaki seperti selipar atau sandal. Lebih baik sekiranya memakai bot getah tinggi separas lutut.
#2
Sekiranya gewang atau ikan tersangkut pada sesuatu struktur di dalam air, sebaiknya jangan masuk ke dalam air terutamanya paya yang tidak dikenali pasti tahap kedalaman dan dasarnya. Putuskan saja tali pancing dan anggap saja bukan rezeki.
#3
Berhati-hati dengan tempat berpijak sama ada di bahagian tebing ataupun batang-batang pokok tumbang. Pastikan tebing tempat berpijak itu tanah keras supaya tidak terjerumus ke dalam tanah lembik atau terpijak batang pokok yang reput.
#4
Elakkan dari meniti batang kayu tumbang yang merentangi paya atau anak sungai. Jika tiada pilihan dan perlu meniti juga, selidik dulu tahap keteguhan batang kayu tersebut. Kemudian carilah dahan atau ranting pokok yang panjang sebagai pengimbang atau tongkat.
#5
Sekiranya menggunakan katak sebagai umpan, pastikan katak tersebut disimpan di tempat yang selamat. Menggantung guni yang berisi katak pada pinggang sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kerana terdedah kepada serangan ular-ular berbisa yang turut memakan katak.
#6
Sekiranya lubuk memancing jauh ke dalam hutan atau dalam kawasan ladang sawit yang luas, pastikan korang sentiasa ingat di mana korang berada dan jalan keluar. Ia dapat menyelamatkan korang daripada sesat. Lebih berisiko sekiranya korang baru sedar sudah tersesat apabila mencari jalan keluar tatkala hari sudah mula gelap.
#7
Pastikan senjata seperti parang atau pisau ada diikatkan pada badan korang. Dan lebih penting lagi korang harus berani untuk menggunakannya apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti terserempak dengan binatang liar seperti ular, beruang dan sebagainya lagi.
#8
Jangan tamak atau kedekut spot hingga sanggup pergi secara bersendirian. Carilah teman sekurang-kurangnya seorang kerana tiada siapa yang dapat menjangka sebarang kejadian buruk bakal berlaku. Apatah lagi di kawasan hutan terpencil yang terputus hubungan telefon.