Berikutan habitat dan lokasi untuk pancingan bujuk lazimnya di kawasan parit atau paya di pinggir hutan, antara perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah aspek keselamatan. Terutamanya kawasan pinggir hutan yang jauh dari jalanraya atau penempatan. Oleh yang demikian, aspek keselamatan seperti yang disenaraikan di bawah ini harus diutamakan.
#1
Selaian pakaian yang tahan lasak dan bersesuaian, pemilihan alas kaki juga penting. Sebaiknya elakkan memakai alas kaki yang banyak mendedahkan bahagian kaki seperti selipar atau sandal. Lebih baik sekiranya memakai bot getah tinggi separas lutut.
#2
Sekiranya gewang atau ikan tersangkut pada sesuatu struktur di dalam air, sebaiknya jangan masuk ke dalam air terutamanya paya yang tidak dikenali pasti tahap kedalaman dan dasarnya. Putuskan saja tali pancing dan anggap saja bukan rezeki.
Ads
#3
Berhati-hati dengan tempat berpijak sama ada di bahagian tebing ataupun batang-batang pokok tumbang. Pastikan tebing tempat berpijak itu tanah keras supaya tidak terjerumus ke dalam tanah lembik atau terpijak batang pokok yang reput.
#4
Elakkan dari meniti batang kayu tumbang yang merentangi paya atau anak sungai. Jika tiada pilihan dan perlu meniti juga, selidik dulu tahap keteguhan batang kayu tersebut. Kemudian carilah dahan atau ranting pokok yang panjang sebagai pengimbang atau tongkat.
Ads
#5
Sekiranya menggunakan katak sebagai umpan, pastikan katak tersebut disimpan di tempat yang selamat. Menggantung guni yang berisi katak pada pinggang sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kerana terdedah kepada serangan ular-ular berbisa yang turut memakan katak.
Ads
#6
Sekiranya lubuk memancing jauh ke dalam hutan atau dalam kawasan ladang sawit yang luas, pastikan korang sentiasa ingat di mana korang berada dan jalan keluar. Ia dapat menyelamatkan korang daripada sesat. Lebih berisiko sekiranya korang baru sedar sudah tersesat apabila mencari jalan keluar tatkala hari sudah mula gelap.
#7
Pastikan senjata seperti parang atau pisau ada diikatkan pada badan korang. Dan lebih penting lagi korang harus berani untuk menggunakannya apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti terserempak dengan binatang liar seperti ular, beruang dan sebagainya lagi.
#8
Jangan tamak atau kedekut spot hingga sanggup pergi secara bersendirian. Carilah teman sekurang-kurangnya seorang kerana tiada siapa yang dapat menjangka sebarang kejadian buruk bakal berlaku. Apatah lagi di kawasan hutan terpencil yang terputus hubungan telefon.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Boleh dikatakan setiap pemancing mempunyai waktu kegemaran untuk memancing. Ada yang lebih gemar memancing pada siang hari dan ada yang lebih suka pada waktu malam. Dan tak kurang juga yang siang malam memancing tanpa mengira waktu. Admin pula lebih suka memancing pada waktu malam kerana sebab-sebab berikut:
Waktu Ikan Lebih Aktif
Walaupun tiada bukti-bukti saintifik yang menyokong kenyataan ini, namun masih ramai pemancing berpengalaman yang mengakui ikan lebih aktif mencari makan di waktu malam. Hal ini mungkin terjadi akibat fenomena pasang surut dan fasa-fasa bulan yang menjadikan ikan lebih aktif dan giat mencari makan di waktu malam berbanding siang hari. Ada juga yang berpendapat ikan menjadi lebih aktif kerana suhu air yang mulai sejuk di waktu malam.
Kurang Saingan Pemancing Lain
Hal ini memang harus diakui kerana tidak ramai kaki pancing yang gemar berembun dan menahan kesejukan di malam hari semata-mata untuk memancing. Jadi, saingan anda semakin kurang terutamanya jika memancing di kawasan yang popular di kalangan kaki pancing. Justeru, potensi anda untuk mendapat hasil yang lumayan juga lebih tinggi.
Lebih Mencabar
Bagi yang gemarkan cabaran, memancing di waktu malam mesti menjadi pilihan mereka. Faktor cahaya yang terhad dan faktor-faktor lain akan menjadikan aktiviti memancing di malam hari lebih mencabar. Walaubagaimanapun, sebagai pemancing anda haruslah sentiasa mengutamakan aspek keselamatan walau di mana jua anda berada walaupun anda gemarkan cabaran memancing di malam hari.
Selamat Dari Berpanas
Umum mengetahui memancing di siang hari akan mendedahkan kaki pancing kepada ‘sunburn’ terutama jika tidak menggunakan pelindung muka dan tangan. Dengan memancing di malam hari pula, potensi-potensi untuk ‘sunburn’ akan hilang sama sekali dan anda boleh memancing dengan tenang tanpa merisaukan kulit anda terbakar dek panahan matahari.
Keindahan Panorama Malam
Bukan senang nak melihat sendiri sotong berenang-renang di tepi bot dek limpahan cahaya lampu dan bukan juga senang nak menyaksikan kelip-kelip bila anda memancing di kawasan hutan dan paya bakau. Semua ni dapat dilihat bila anda memancing di waktu malam. Jadi, kesempatan yang ada itu, anda hargailah dengan menyaksikan keindahan alam ciptaan tuhan.
Tidak kiralah apa saja teknik memancing yang hendak diaplikasi, sekiranya korang memancing dengan menggunakan sampan atau bot kecil sepanjang 10-15 kaki, sedikit sebanyak panduan perlu korang patuhi.
Jaket Keselamatan
Walaupun korang memang handal berenang semua style yang ada, atau padang pancing berair cetek, selesa atau tidak selesa tiada alasan untuk tidak memakai jaket keselamatan.
Biarlah orang nak cakap poyo ke apa kerana orang yang sama akan akan menyalahkan korang jugak kerana tidak memakai jaket keselamatan apabila berlaku sesuatu kemalangan.
Limit Peralatan
Bawa peralatan atau kelengkapan memancing yang perlu sahaja. Kalau sekadar nak casting tu tak perlulah macam nak pergi trip laut dalam berhari-hari lamanya. Had maksimum set pancing hanya dua bagi setiap pemancing.
Kapasiti pemancing
Pastikan kapasiti muatan (orang) sepadan dengan had limit muatan sampan. Kalau sampan muatan 2 orang tu janganlah sampai melebihi dua tiga kali ganda mengalahkan bot muatan pendatang haram.
Bahaya Utama
Sekiranya korang memancing dengan teknik casting, sentiasalah pantau kedudukan rakan di atas sampan sebelum membuat balingan.
Elakkan dari terburu-buru bagi mengelakkan insiden tercangkok mata kail pada kepala rakan.
Objek Atas Air
Walaupun sudah biasa dengan geografi sesuatu padang pancing, elakkan dari memandu bot seperti mat rempit kerana macam-macam kejadian buruk yang boleh berlaku. Sentiasalah pantau kalau-kalau terdapatnya objek dan halangan di permukaan air.
Navigasi
Jika memancing di lombong atau tasik yang luas, sebaiknya gunalah gps bagi mengelakkan sesat sekiranya tidak mahir dengan selok-belok lokasi. Tidak kisah apa jenis aplikasi gps yang digunakan, yang penting ia berfungsi dengan baik.
Petrol Mencukupi
Pastikan bekalan petrol mencukupi di dalam tangki. Sebaiknya juga juga bawa bekalan tambahan. Dan lebih penting lagi jangan sesekali tertinggal pendayung. Tiada yang lebih mendebarkan selain dari peristiwa kehabisan minyak dan pendayung pula tak ada.
Bahaya Dari Atas
Sekiranya perlu parkir di bawah pokok bagi mengelakkan panas atau hujan lebat, pastikan betul-betul pokok tersebut tiada binatang atau serangga berbisa. Terutamanya di kawasan muara sungai di mana ular gemar berehat di atas pokok.
Rai Kejayaan
Sentiasa bertenang ketika memancing dan jangan sesekali melompat kegembiraan apabila berjaya menaikkan ikan. Ia bukan saja membahayakan keselamatan, malah juga menyakitkan hati rakan yang masih kumpau.
Melihat dari sudut pancingan, si bantal emas atau John’s snapper ini mungkin merupakan spesies ikan snapper yang paling digemari di kalangan kaki pancing. Atribut atau nilai utama tentunya pada nilai rasanya, malah tidak keterlaluan jika dikatakan jenahak merupakan antara spesies ikan paling sedap jika dikira di kalangan spesies ikan estuari.
Begitu pun, sesuai dengan statusnya sebagai tertiary consumer, pemangsa kepada pemangsa ini masih merupakan spesies ikan yang agresif dan agak licik. Agresif di sini merujuk kepada naluri jenahak sebagai ikan pemburu hendap.
Jenahak mampu memberikan kesulitan kepada pemancing pada awal pertarungan terutama sejurus menerkam umpan. Pertarungan yang agresif biasanya dalam tempoh yang singkat sebelum darjah kesulitan dan cabaran pertarungan bertukar daripada naluri pemangsa yang agresif kepada pertarungan kelicikan.
Apabila menyedari pertaruhan tenaganya pada awal pertarungan gagal, jenahak akan menukar strategi kepada bertahan di sebalik struktur atau karang yang ada. Ketika ini, objektif utamanya tidak lagi untuk menghauskan stamina pemancing, sebaliknya tertumpu kepada stamina dan keupayaan tali pancing yang digunakan. Jika pemancing berjaya mengekang kedua-dua darjah pertarungan ini, maka nikmat kepuasan pastinya hadir setelah ‘emas lautan’ ini dapat dicungkil.
Di Malaysia, juvenil atau sering kita gelar tetanda boleh ditemui di kawasan muara sebelum spesies ini bermigrasi ke lautan apabila dewasa. Jenahak dewasa juga boleh ditemui di kawasan berhampiran muara disebabkan untuk mengawan.
Saiz sebiji bantal dengan berat antara 1 kg hingga 6 kg merupakan saiz yang banyak dipancing oleh pemancing tempatan. Biasanya jenahak sebegini mudah dipancing di kawasan kedalaman lebih 30 kaki atau lebih dengan dipenuhi struktur karang, kapal karam, tukun dan sebarang bentuk struktur yang lain.
Jenahak biasanya ditemui berkumpulan dalam habitat yang disebutkan tadi. Jika pemancing menemui lubuk jenahak, pesta jenahak akan dimulakan namun perlu diingatkan, jika seekor jenahak terlepas atau terlucut ketika dipancing, jenahak lain di lubuk yang sama akan menjadi culas dan berhenti memakan umpan seterusnya.
TEKNIK PANCINGAN DAN UMPAN
Di Malaysia, terdapat dua aplikasi teknik pancingan jenahak yang terkenal dan terbukti berkesan untuk memburu spesies bernilai tinggi ini. Aplikasi teknik pancingan yang pertama ialah teknik pancingan dasar dengan menggunakan umpan hidup atau umpan mati.
Teknik pancingan dasar ini boleh dikatakan teknik tradisi memancing jenahak dan telah diaplikasikan sejak sekian lama. Tanyalah mana-mana pemancing yang old-timer di Malaysia, pasti akan memberikan jawapan yang sama. Aplikasi pancingan dasar terbukti berkesan kerana sifat ikan jenahak sebagai ikan yang gemar berlindung di struktur habitatnya dan akan membuat serangan hendap jika ada mangsa yang melintasi kawasan tempat hendapannya.
Kekuatan set pancing pula antara set sederhana hingga berat bergantung kepada lapangan pancing dan arus. Biasanya bantuan ‘bangla’ akan direkrut untuk pancingan di kawasan yang kedalaman lebih 30 kaki. Kekuatan perambut sekitar 50lb hingga 80lb sudah memadai dengan kepanjangan perambut sekitar 2 meter.
Umpan hidup dan umpan mati merupakan pilihan untuk teknik dasar. Umpan sotong hidup seperti cumit dan sotong kurita dikatakan umpan terbaik untuk memikat John’s snapper yang bersaiz besar. Udang hidup pula mampu menaikkan jenahak pelbagai saiz malah jika ada modal lebih, anda boleh mencuba udang lipan.
Selain itu, tamban dan umpun-umpun juga mampu menaikkan spesies ini bergantung kepada teknik pancingan anda. Walaupun masa bagi spesies jenahak memburu mangsanya ialah sepanjang hari, namun teknik dasar pancingan jenahak lebih sinonim pada waktu malam.
Malah sering kali jenahak bersaiz besar acapkali dinaikkan pada lewat malam atau awal pagi. Begitu pun, sesekali dan sesetengah kawasan terdapat juga jenahak yang berjaya dipancing disiang hari. Di sinilah aplikasi teknik pancingan kedua menjadi alternatif kepada pemancing yang ingin memburu jenahak.
Aplikasi teknik kedua pula menggunakan umpan artifisial atau umpan tiruan iaitu mengunjun besi atau jigging. Teknik slow pitch atau slow jigging ternyata begitu praktikal memikat jenahak pada siang hari. Malah, teknik slow pitch menjadi kegilaan terbaru kepada pemancing jenahak tempatan sejak kebelakangan ini.
Dengan berat jig khusus untuk slow pitch bergantung kepada arus lapangan pancing, unjunan perlahan di kawasan berstruktur tidak dinafikan mampu menaikkan jenahak bersaiz gadang @ bantal. Teknik slow pitch boleh diaplikasikan dalam persekitaran kedalaman air antara 20 kaki hingga 30 kaki dengan set pancing sederhana (PE2- PE3, Jig 180-250 gram). Cuma perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah spot untuk melabuhkan jig perlu betul-betul di kawasan lubuk yang mempunyai ‘emas hidup’ ini.
Jika bernasib baik mendapat sambaran, kepuasannya memang secukup rasa. Apa tidaknya, bayangkan sekelip mata ketika syok mengunjun, ‘sapppp’ rod melentuk dan jig anda diragut. Fuhh, menjerit drag bak hang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...