Guna Lip grip
Jika tiada penyauk, gunakanlah lip grip atau pencangkuk bibir ikan. Penggunaan lip grip tidaklah sebaik menggunakan tangguk tetapi ia sesuai untuk mengendalikan ikan air tawar bergigi tajam seperti haruan dan toman.
Selain mudah bagi proses menanggalkan mata kail, kemalangan juga dapat dikurangkan jika memegangnya dengan tangan sahaja. Sebaiknya gunalah tangguk atau sauk yang sepadan dan sesuai untuk mendaratkannya. Dengan cara ini ikan tidak berhadapan risiko kecederaan malah dapat mengelakkan kemalangan pada joran dan pemancing sendiri.
Guna Gancu
Jika memancing di laut, seeloknya gunalah gancu atau cangkuk. Apatah lagi jika yang ingin didaratkan itu bersaiz besar, bergigi tajam atau yang bersengat seperti ikan pari. Jika ingin membawa pulang tangkapan tersebut bolehlah dicangkuk pada bahagian badannya, sebaliknya jika melepaskan kembali pastikan tidak mencederakan mana-mana anggota badannya atau putuskan sahaja tali perambut.
Cara Alternatif
Sekiranya tiada peralatan tersebut dan perlu mendaratkannya dengan menggunakan tangan, pastikan ikan berkeadaan lemah. Sebaiknya peganglah bahagian ekor ikan untuk menariknya ke darat atau ke atas bot.
Boleh juga mendaratkan ikan dengan kaedah memegang mulutnya dengan tangan tapi harus diingat, bukan semua ikan boleh dipegang mulutnya seperti siakap atau sebarau. Sebaiknya kenali dulu jenis ikan sebelum tunjuk hero.
Cara Pengendalian
Apabila menanggalkan mata kail dari dalam mulut ikan, sebaiknya gunalah playar atau hook remover. Elakkan dari menanggalkannya dengan menggunakan tangan khususnya mengendalikan ikan bergigi tajam.
Bagi mengurangkan ikan daripada menggelepar, pegang ekor ikan dan bengkokkan badannya ke arah kepala, jangan terlalu kuat hingga boleh mematahkan tulangnya. Jika memegang ikan bersengat, peganglah bahagian kepalanya dengan cara yang betul.
Jangan sesekali menyeret ikan naik ke darat khususnya jika berhasrat untuk melepaskan kembali ikan tersebut. Cara ini boleh menyebabkan kecederaan atau setidak-tidaknya menghapuskan lendir badan yang sangat penting untuk survival ikan.
Sekiranya mata kail ditelan terlalu jauh ke dalam mulut, sebaiknya putuskan saja perambut dan biarkan mata kail di dalam mulut ikan. Ia lebih baik bagi survival ikan daripada memaksa mengeluarkan mata kail tersebut.
Jika ingin bergambar bersama ikan (spesies tangkap dan lepas), sebaiknya ampu tubuh ikan di bahagian kepala dan ekornya. Jangan memegang ekor sahaja kerana ia boleh mencederakan ikan dan mudah terhempas.