Tip Keselamatan Apabila Mendaratkan Ikan

Share

 

Tiada yang lebih seronok ketika memancing terutamanya melalui teknik mengilat atau casting selain dari saat ikan menyambar umpan atau gewang yang digunakan. Tambah seronok apabila ikan tersebut berjaya didaratkan. Kadangkala dalam keadaan seronok itu alpa dengan aspek keselamatan. Terutamanya aspek keselamatan mengendalikan ikan.

 

Mengendalikan ikan bukan bermakna tindakan selepas mendaratkan ikan, tetapi juga tatkala ikan berada di hujung tali pancing.

 

 

Jangan terlalu gelabah atau tergopoh-gapah ketika melayan tarikan ikan. Sebaiknya amalkan konsep hulur dan tarik dengan tenang untuk mengelakkan berlakunya sebarang perkara tak diingini. Malah, ketika inilah sebenarnya kemuncak kenikmatan memancing.

 

Gunalah gancu, sauk atau lip grip untuk mendaratkan hasil tangkapan. Elakkan dari mendaratkannya dengan menggunakan kekuatan joran dan tali pancing kecuali ikan terlalu kecil.

 

 

Dan jangan terlalu berani menaikkan ikan menggunakan tangan kerana rontaan ikan mampu membawa kecederaan kepada pemancing sama ada menerusi ikan tersebut mahupun gewang yang berada pada mulut ikan.

 

Pastikan anda menanggalkan mata dari mulut ikan menggunakan playar atau alatan lain yang sesuai. Elakkan menggunakan tangan untuk mencabut mata kail! Apatah lagi jika gewang tersebut menggunakan mata tiga. Sebaiknya peganglah ikan dengan kemas bagi mengelaknya dari meronta.

 

 

Pastikan ikan yang bersengat sudah dipotong sengatnya terlebih dahulu sebelum sama ada sebelum menanggalkan gewang atau sebelum disimpan di dalam bekas simpanan ikan. Sengat yang sudah dipotong haruslah ditanam atau dicampak semula ke dalam air bagi mengelakkan anda terpijak atau terduduk ke atasnya.

 

 

Sekiranya ikan yang diperoleh bukanlah ikan sasaran atau tidak bercadang untuk dibawa pulang maka lepaskanlah ikan tersebut dengan selayaknya. Berilah ruang kepada ikan untuk pulih dengan sebaiknya sebelum dilepaskan. Jangan sesekali dicampak seperti membuang sampah.

 

Published by
Amang