Pemandangan waktu senja sememangnya menarik ramai kaki pancing mengambil peluang untuk merakam gambar suasana waktu tersebut. Ada yang menggunakan teknik Silhoutte dan teknik Low Key Lighting dengan mengambil kira cahaya di belakang objek yang lebih natural seperti cahaya matahari terbenam.
Jika anda menggunakan teknik Silhouette, bukaan cahaya (exposure) ditentukan melalui bacaan background dengan penggunaan Aperture 9 hingga 11 dan Shutter Speed antara jarak 120 hingga 200.
Anda hendaklah sentiasa peka dengan perubahan cuaca yang berlaku di sekeliling anda. Sama ada matahari terbit atau terbenam, anda hendaklah bersedia sekurang-kurangnya setengah jam sebelum matahari tersebut berada di kedudukannya. Lihat juga perubahan langit kerana ia memberi pelbagai lapisan warna dan bentuk berbeza pada satu-satu masa.
Ads
TEKNIK KOMPOSISI
Ambil gambar dengan menggunakan pelbagai teknik focal lengths sama ada menggunakan Wide Angle atau teknik zooming. Penggunaan tripod perlu sekiranya anda menggunakan lensa 200mm ke atas. Anda juga hendaklah menggunakan teknik Rule Of Third dengan memastikan kedudukan matahari tersebut berada di komposisi yang sesuai dan ia juga mampu membantu menaikkan mood sesuatu gambar nanti.
Menariknya mengenai gambar matahari terbenam ini ialah tiada satu pun exposure yang tepat bagi mendapatkan hasil yang terbaik untuk gambar matahari terbenam ini.
Anda juga hendaklah sentiasa rajin bermain dengan shutter speed dan aperture kerana imej yang dihasilkan berbeza antara satu sama lain.
Pastikan anda menukar kepada Mode Auto White Balance kepada setting Cloudy atau Shade bagi mendapatkan hasil imej berbeza warna. Ini kerana penggunaan mode auto White Balance akan menjejaskan tona warna asli matahari terbit mahupun matahari terbenam.
Ads
TIPS PERLU TAHU!
Bawa tripod sama penting dengan anda bawa peralatan memancing. Walaupun anda menggunakan kamera kompak, kestabilan sesuatu imej bergantung dengan cara kita mengambil gambar dan pengawalan nafas.
Lihat sekeliling dan peka dengan keadaan yang berlaku.
Teknik Silhoutte dan teknik Low Key Lighting dengan mengambil kira cahaya di belakang objek yang lebih natural seperti cahaya matahari terbenam.
Berdekatan dengan rumah keluarga saya di Mersing, terdapat sebatang sungai yang masih jernih airnya. Di sinilah setiap kali ada masa terluang apabila pulang bercuti ke kampung, saya akan menggunakan peluang keemasan yang ada untuk memancing sang jenggo.
Biasanya saya menggunakan umpun-umpun sebagai umpan jenggo yang paling mujarab. Atau paling tidak saya gunakan anak udang air payau sebagai umpan.
Malam itu bertemankan abang sepupu saya, Matros, kami mendayung sampan perlahan-lahan menuju ke lubuk yang terletak berhampiran perdu pokok nipah. Malam itu cuaca agak indah dengan bulan mengambang penuh.
Kami tidak perlu menggunakan lampu suluh untuk sampai ke lubuk yang dituju. Cukup dengan panduan cahaya bulan yang memantul indah di atas permukaan air sungai yang beriak tenang.
“Sunyi pulak malam ini Mie,” kata Matros kepada saya. Saya hanya mengangguk namun pandangan saya lemparkan pada barisan pokok nipah yang hidup subur di tebing sungai. Kata orang-orang tua, di mana berkumpulnya udang galah yang banyak, di situ pasti ada buaya besar kerana udang galah suka ‘melepak’ di atas badan buaya.
Sama ada kata-kata ini ada benarnya, saya tidak pasti. Namun saya berpegang teguh kepada prinsip, saya memancing udang galah ini hanya sekadar untuk mencari lauk bagi keluarga. Saya tidak mengganggu ‘kehidupan’ makhluk lain yang tidak kelihatan pada mata kasar!
Setelah mendapat spot yang sesuai untuk melabuhkan sampan, saya dan abang Matros terus membaling umpan ke tengah sungai. Sambil menunggu umpan direnggut oleh sang mangsa, saya menghisap sebatang rokok yang asapnya saya niatkan untuk menghalau nyamuk yang galak berkeliaran malam itu.
Alhamdulillah, tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya mula mengena. Udang galah yang dianggap jenggo dengan anggaran berat 250 gram berjaya dinaikkan.
Selepas itu, saya dan Abang Matros bagaikan tidak cukup tangan melayan aksi penghuni sungai yang lain seperti duri, bagok dan baung. Malam itu kami bagaikan berpesta di tengah sungai.
Menjelang jam dua pagi, suasana mulai sejuk. Gerimis turun dan bulan yang tadinya indah di dada langit sudah mula ditutupi awan hitam yang tebal. Sesekali terlihat guruh di langit.
Abang Matros memberi isyarat supaya saya mengemas semua joran dan bersedia mendayung untuk balik ke jeti semula apatah lagi gerimis yang tadinya halus sudah bertukar kepada rintik kasar.
Ketika inilah, dengan dibantu oleh pancaran kilat yang sesekali datang menerpa, saya perasan di hadapan perahu saya berdiri seorang perempuan tua memakai baju kebaya berbunga-bunga dan berkain batik berwarna kuning.
Rambutnya tidak kelihatan kerana dia memakai selendang. Dia memegang sebatang tongkat yang berlingkar, sebiji seperti akar bonsai yang sering saya kutip di tengah hutan. Rasa gemuruh dan takut menyelubungi diri saya apabila saya perasan mukanya hitam legam tanpa kelihatan mata, hidung atau mulut!
Rasa tergamam dan seram itu membuatkan saya menundukkan pandangan. Niat untuk membaca ayat-ayat suci itu ada tapi bibir saya bagaikan terkunci untuk membacanya. Otak pula bagaikan blur. Saya duduk statik di dalam sampan betul-betul seperti orang yang sudah terkena renjatan elektrik!.
Ketika inilah saya terdengar Abang Matros mengalunkan azan sebanyak tiga kali. Setiap kali azan dilaungkan, saya ternampak perempuan tua itu menutup telinganya bagaikan sakit mendengarnya. Akhirnya jasad perempuan itu berubah menjadi asap hitam yang berkepul-kepul lalu menghilang di tengah sungai.
“Mie!!!” bahu saya ditepuk beberapa kali oleh Abang Matros. Mulut abang Matros terkumat-kamit membaca ayat Qursi lalu dihembuskan ke muka saya.
“Itu syaitan Mie. Jangan takut. Dia makhluk Allah jua” kata Abang Matros lagi. Saya mengangguk lemah. Tubuh saya masih lagi gementar dan tiada berdaya untuk mendayung.
Nasib baik Abang Matros seakan mengerti dengan keadaan saya. Dia mendayung sehingga kami selamat sampai di jeti tepat jam 3.10 pagi. Abang Matros juga yang memunggah semua hasil yang kami dapat masuk ke bonet kereta.
Sampai sahaja di hadapan rumah saya, Abang Matros tidak membenarkan saya masuk terus ke dalam rumah. Dia menghulurkan sebatang rokok kepada saya. Sambil menghisap rokok, saya terdengar Abang Matros seperti berbual-bual dengan ‘seseorang’ dengan suara perlahan.
Katanya, “sampai sini sahaja kau ikut aku. Jangan ikut aku lagi. Aku tak kacau kau dan jangan pulak kau kacau aku,”. Selepas itu, baru abang Matros ‘membenarkan’ saya masuk ke rumah. Saya juga diberi pesanan agar mandi dan terus tidur selepas itu.
Walaupun peristiwa ini sudah tiga bulan berlalu namun ia masih menghantui saya. Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi memancing sang jenggo pada waktu malam.
Saya hanya memancing pada waktu siang itu pun dengan mengajak beberapa orang kawan untuk turut serta. Pengalaman yang saya alami itu saya anggap sebagai satu dugaan kecil dan ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus memburu sang jenggo!
Sebuah kajian yang dijalankan tidak lama dulu mendapati lelaki yang berkepala botak didapati lebih seksi, maskulin dan setia.
Kajian yang sama turut mendapati lelaki botak yang tidak memakai rambut palsu dan berasa malu dengan imej botaknya itu lebih berkeyakinan dan dominan berbanding dengan lelaki yang mempunyai rambut.
Kajian yang dijalankan oleh American Hair Loss Association ini mendedahkan bahawa 2/3 daripada lelaki akan mengalami masalah keguguran rambut sebaik usia mereka mencecah
35 tahun dan 85% lelaki akan kehilangan rambut dalam jumlah yang besar sebaik saja mereka mencecah usia 50 tahun.
Sekiranya dahulu, lelaki yang mengalami masalah keguguran rambut lebih cenderung untuk menyembunyikan masalah mereka di sebalik kopiah, topi dan rambut palsu, namun kini, masyarakat sudah boleh menerima imej berkepala botak ini.
Namun, itu merupakan kajian lelaki botak secara umum. Tapi bagaimana pula kalau pemancing botak?
Adakah pemancing berkepala botak kelihatan lebih jantan?
Ya… saya setuju. Memang kelihatan agak jantan la… tapi kuat belum pasti.
Adakah pemancing berkepala botak kelihatan lebih seksi?
Mungkin… itu pun pada mata perempuan sajalah. Di mata lady anglers mungkin… tapi jarang pula bertemu lady anglers berpasangan dengan pemancing botak.
Adakah pemancing berkepala botak lebih setia?
Ya… mungkin la. Saya mahu percaya juga dengan statement ini kerana kebanyakan pemancing botak cukup setia dengan metod pancingan yang mereka gemar.
Yang pasti… tidak bermakna pemancing berkepala botak tidak akan kumpau!
Apabila banyak membaca dan menulis tentang ikan puyu ini, secara tidak langsung ia mengimbau kenangan zaman kanak-kanak.
Sedikit demi sedikit memori indah lebih 30 tahun itu menjengah di fikiran.
Ketika masih di sekolah rendah dahulu, cuti sekolah dan musim tengkujuh amat dinanti-nantikan.
Bersebelahan dengan pagar rumah merupakan sebidang tanah kebun yang diusahakan oleh arwah nenek.
Namun sudah tidak diusahakan agak lama dan menjadi rawa tempat bermain. Parit-parit kecil keliling kebun dan sebuah perigi tanah yang menjadi nadi pengairan di kebun itulah yang menjadi padang permainan utama.
Ketika musim kemarau ia akan kering kontang tetapi ketika musim tengkujuh, ia bukan saja digenangi air bahkan turut dibanjiri ikan-ikan darat yang entah dari mana datangnya.
Sepat ronggeng, puyu, keli kampung dan haruan dalam beberapa hari selepas banjir sudah muncul di parit tepi pagar rumah. Alatan pancing seadanya saja.
Hanya 20 sen sudah mencukupi untuk membeli mata kail. Tali tangsi yang entah dari mana datangnya atau tali benang layang-layang sedia ada boleh digunakan.
Sementara buluh Cina atau ranting pokok jambu batu dijadikan joran. Selaku anak dari keluarga pelaut, cara mengikat mata kail sudah lama diperturunkan oleh orang tua.
Pelampung pula cari di tangga rumah. Jikalau tiada selipar yang sudah tidak digunakan, bahagian hujungnya akan menjadi mangsa.
Umpan pula sekadar gali di belakang dapur rumah atau di perdu pokok pisang. Cacing langsung tiada masalah untuk dicari.
Cuma umpan terbaik untuk puyu susah dicari ketika musim tengkujuh. Jikalau ada belalang boleh dikatakan seratus peratus akan dapat puyu.
Sekurang-kurangnya 5 batang tajur akan dipasang pada sepanjang parit di tepi pagar rumah. Jikalau hari tidak hujan, saya akan menunggu di atas rumah pokok.
Memang seronok menanti di atas rumah pokok kerana dapat melihat pelampung tenggelam timbul apabila ada mangsa yang mengena.
Walaupun sasaran utama ialah puyu, kadang-kadang sepat ronggeng dan keli kampung yang mengena.
Jikalau sepat yang mengena, sepat itu kemudian akan dijadikan umpan haruan pula. Sepat itu akan dicangkuk pada mata kail yang hanya bertali dan berpelampung.
Ia dibiarkan hanyut dibawa sepat sehinggalah disambar haruan. Namun jarang-jarang ditemui pelampung yang mengena haruan.
Kebanyakannya sama ada umpannya hilang atau semuanya hilang tanpa dapat dikesan.
Ikan keli yang mengena mata kail akan disimpan di dalam tempayan berasingan. Apabila jumlahnya agak banyak, saya berikan pada arwah nenek atau kepada sesiapa yang inginkannya kerana kami sekeluarga kurang menggemari ikan darat. Kecuali puyu.
Itu pun saya akan pastikan ia dicuci dengan pucuk daun jambu batu dan air beras sehingga hilang bau hanyir. Digaul garam kunyit dan digoreng dengan garing umpama memakan keropok.
Bab menyiang ikan puyu satu hal juga. Nak tunggu ia mati sendiri, dibiarkan atas darat seharian pun tak mati-mati. Dibiarkan lima minit atas darat pun tau-tau dah hilang.
Dah berjalan masuk ke parit semula. Nak disiang hidup-hidup memang tidaklah. Bukan sebab kasihan pada ikan tetapi pada diri sendiri.
Sedangkan menyiang yang mati pun calar balar tangan dibuatnya, inilah pula menyiang yang masih hidup.
Mahu tak mahu terpaksalah pejam mata mengetuk kepalanya dengan dahan pokok jambu batu sehingga pengsan.
Hari ini, sekiranya pulang bercuti di kampung ketika musim tengkujuh, memori itu pasti terimbau dengan sendirinya.
Namun, bukan sahaja puyu, sepat ronggeng, haruan atau keli kampung sudah tidak ada. Suasana kampung itu sendiri pun seperti sudah tidak lagi.
Parit, tanah kebun, rawa dan perigi tanah sudah lama ditimbus dan ditambun. Taman permainan pada zaman kanak-kanak itu kini menjadi laman perumahan dan permainan kanak-kanak zaman kini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...