Bagi korang yang berhajat untuk memancing tengalan di Sungai Perak, sedikit sebanyak korang perlu tahu panduan atau tip agar hasil pancingan itu berbaloi.
Berdasarkan pemerhatian penulis, rata-rata pemancing di sini menggunakan rod 8 kaki ke atas atau rod surfcasting (joran pantai).
Ia sangat berguna untuk mendapatkan jarak balingan yang jauh memandangkan keadaan permukaan sungai yang luas.
Terutamanya untuk membolehkan umpan sampai ke alur atau laluan sungai yang mana merupakan laluan ikan juga.
Pemancing di sini yang memburu tengalan masing-masing datang dengan bekal umpan hasil resipi sendiri.
Rata-rata umpan yang diadun terdiri daripada bahan asas seperti dedak, kelapa sawit dan gandum.
Terdapat juga sesetengah yang menggunakan palet dan cengkerik. Jika berhajat untuk mengetahui umpan power menjinak tengalan, pandai-pandai ayat manis dengan pemancing otai.
Antara teknik yang paling popular di sini ialah penggunaan mata bom. Selain itu, penggunaan mata rambai juga banyak diaplikasikan oleh pemancing di sini selain mata tunggal dan dua mata.
Apa pun, musim tengalan menjadikan sekitar Sungai Perak agak meriah dengan kebanyakan lubuk sepanjang sungai pasti dihuni oleh pemancing dari pelbagai golongan usia.