[oleh: Zulkifflee Hussin]
Tip ini ini dihasilkan berdasarkan pengalaman saya memancing di Pulau Setindan Mersing, Johor. Biasanya saya bergerak pada waktu pagi ketika air surut kering. Pada waktu ini bolehlah melangkah dari satu batu ke batu lain lain hingga dapat pusing satu pulau. Dan akan bergerak pulang pada waktu petang ketika air mula gerak pasang.
PERALATAN:
Joran – Joran 6 kaki panjang atau lebih dengan aksi keras.
Kekili – Siri 5000
Tali- Tali sulam Spider wire 40lb
Gewang – Gewang selaman cetek floating berwarna cerah
Kasut getah
Bonjot ikan
– Tujuan joran keras 6-7 kaki panjang agar pertarungan ikan tak lama (joran lembut,ikan akan bawa ke celahan batu)
– Tali sulam dan kekili 5000 untuk keselesaan lontar pinggir tebing air di celahan batu, bukan saja kuat malah susah putus ketika bergesel teritip bebatu.
– Gewang selaman cetek aksi floating ini amat berkesan menarik minat kerapu dengan lenggoknya, malah mudah dilihat. Risiko tersangkut di bebatu pun kurang disamping tak perlu bawa umpan udang hidup.
– Kasut getah ini sangat efisien mencengkam ketika berjalan di atas bebatu yang tajam dan licin. Walau bagaimana pun berhati-hati ketika melompat dari satu batu ke batu lain. Risiko mendapat kecederaan jika tersilap langkah.
– Bonjot ikan ini amat sesuai bagi memastikan ikan kekal hidup, kerana jika ikan dah mati, kepala asyik terfikir nak cepat balik. Khuatir ikan dah tak fresh, sementara membawa tong ais amat menyusahkan.
Panduan Casting:
– Lontaran gewang ke arah bebatu, harus stabil.
– Pastikan arah angin juga penting agar lontaran tak mengecewakan.
– Buatlah lontaran 2-3kali pada satu tempat kemudian beralih ke tempat lain pula.
– Pancing ketika air surut kerana jika gewang tersangkut, paras air tak terlalu tinggi atau membimbangkan untuk mengambil kembali gewang tersebut.
– Seandainya tersangkut di tempat berisiko harap lupakan saja.
– Sebaiknya bawa lebih dari satu set gewang.
– Nasihat saya, ketika gewang telah diragut ikan,usah layan lama-lama kerana tak mustahil ikan berjaya bawa ke celah batu. Kerana kerapu memang habitat tinggalnya di karangan bebatu.
– Terakhir nasihat saya, keselamatan diri harus diutamakan. Beritahu tempat lokasi pancingan kepada keluarga atau teman. Bawa handphone, tak lupa beg sandang untuk bawa alatan pancing, makanan dan air minuman.