Gaulkan pelet tadi dengan santan, apa-apa jenis santan pun boleh, lagi pekat santan tu, lagi lemak bau umpan tu, kalau campur dengan air pun boleh untuk kolam harian. jika guna essen, sebaiknya guna 750ml, jika gunakan pati yang dibeli atau pati buah-buahan yang proses dan masak sendiri, sebaiknya guna 700ml, jika tidak, pelet akan jadi terlalu lembut dan sukar dikepal.
Setelah digaulkan pelet tadi, sampai betul-betul kembang (dalam 15-30 minit). Simpankan pelet tadi dalam bekas kedap udara selama dua hari. Selepas dua hari, gaulkan pelet bersama dengan segenggam kelapa parut dan gaulkan sekali dengan apa-apa jenis perasa yang korang mahu. Perapkan lagi sehari, dan umpan korang sudah siap untuk digunakan.
Ads
PERASA
Jika gunakan essen Starbrand 3 tutup sudah memadai untuk 1kg pelet, atau jika menggunakan emulco dari kedai kek, boleh letak 5-10 tutup (bergantung kepada bau) bagi saya sendiri, saya lebih suka gunakan perasa dan pati yang diolah sendiri. Antara yang saya dan kawan-kawan pernah gunakan:-
1.Tapai Ubi / Air Tapai pulut
Ads
2. Buah rozel
3. Buah durian
4. Buah durian belanda
5. Buah sukun + Mauripan (peram)
6. Barembang/Kedabu + ara
7. Pelam Kuini
Ads
8. Buah Nona
9. Pelam Bemban (peram)
10. Buah Kulim
Secara asasnya, umpan yang saya tulis di atas secara dasarnya ialah lemak dari santan, manakala kelapa parut ialah sebagai agen pemecah pelet sewaktu pelet berada dalam air, diperam untuk mengeluarkan sedikit MINYAK sebagai agen penyebar bau di dalam air dan sedikit bau MASAM dari santan. Manakala perasa adalah untuk menambahkan bau WANGI pada umpan atau utk melebihkan bau lemak atau masam.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Jika anda memancing di kawasan hulu sungai atau air terjun terutamanya musim hujan, lihatlah sekeliling kawasan dan cuba cari sebarang tanda yang menunjukan paras air yang melimpah di kawasan tersebut. Selepas itu buatlah suatu tanda aras selamat. Sebagai contoh dengan menggunakan kayu atau batu sebagai penanda aras sama ada air naik atau tidak.
Bunyi dentuman gerakan batu-batan, pokok kayu tumbang atau deruan air dari hulu sungai. Air sungai berbuih dan meningkat secara tiba-tiba (kelodak, daun reput atau ranting kayu muncul dengan banyak di permukaan air). Maka segeralah beredar dari sistem ke kawasan tinggi.
Dengan melihat perubahan kepada warna air dan arus yang mengalir, jika air bertukar warna dari jernih menjadi keruh juga arus bertambah kuat lebih baik anda naik.
Kadangkala air tidak menjadi terus keruh, tetapi perubahan kepada deras air akan berlaku. Jika anda merasakan tekanan kepada kaki, seperti tenggelamnya ia di dasar sungai (akibat pasir) maka naiklah ke darat.
Apa patut buat jika ia berlaku kepada anda?
Jika sedang berkhemah dan memancing, segeralah cari kawasan yang lebih selamat terutamanya kawasan yang lebih tinggi dan jauh dari sungai. Kemas dan bawa barang-barang atau dokumen penting terlebih dahulu.
Jika sedang trekking dan meranduk sungai secara berkumpulan, bantulah rakan yang berada di tengah-tengah untuk menyeberang secepat mungkin. Jika ada yang baru menyeberang atau belum menyeberang maka berpatah balik dan carilah tempat selamat. Segera berlari naik ke kawasan tinggi atau memanjat pokok besar yang difikirkan selamat.
Sekiranya anda tidak bernasib baik terperangkap, berpautlah pada pokok, ranting atau apa saja yang boleh dijadikan apungan. Dalam pada masa yang sama ikut sahaja arus itu dan cari peluang untuk berenang ke tepi. Jangan cuba melawan arus kecuali anda yakin mampu melawan arus untuk ke tebing.
Andai kata ada mangsa yang terperangkap dan boleh diselamatkan, gunakanlah tali atau kayu untuk menolong meraka ke tempat selamat. Jangan berenang untuk menolong kerana sangat merbahaya.
Ini disebabkan jika kepala air berlaku, kebiasaannya ia akan membawa sekali kayu atau pokok yang tumbang batu dan pasir dan ini akan boleh mengakibatkan kecederaan yang teruk.
Jika aktiviti mengilat atau casting memiliki spesies sasaran utama tersendiri, begitu juga dengan dunia pancingan pantai atau surfcasting ini. Malah spesies sasaran dalam pancingan pantai ini jauh lebih bernilai kerana ia bukan saja memberikan tentangan hebat kepada para surfcaster, kebanyakan spesiesnya juga bernilai tinggi di pasaran. Berikut disenaraikan spesies sasaran tersebut.
Pari
Tidaklah sama ada pari beting, pari daun atau pari lalat… ia merupakan spesies sasaran utama mana-mana pemancing pantai. Ini adalah kerana daya juangnya yang tidak mengenal erti kalah. Semakin besar saiz ikan pari yang ditawan, semakin seronoklah cabaran yang diberikan. Selain itu, ikan pari turut menjadi sasaran disebabkan faktor keenakan dagingnya. Umpan yang biasa digunakan untuk memancing pari terdiri daripada udang, ikan dan juga sotong.
Gerong Belang
Gerong belang atau golden trevally lebih mudah dipancing dan menjadi sasaran surfcaster di sebelah Pantai Timur Semenanjung. Di Pantai Barat, spesies ini agak sukar untuk ditemui berikutan faktor geografi dasar pantai. Gerong belang diminati oleh penggemar surfcasting berikutan pecutan dan tenaganya yang jitu.
Sebagaimana ikan pari, ia turut diburu untuk sumber protein dan memiliki daging yang enak. Gerong belang biasanya diburu dengan menggunakan umpan hidup, ikan dan juga sotong.
Ebek
Ebek atau diamond trevally lazimnya akan menghuni kawasan perairan berbatu karang yang mempunyai kedalaman sekitar 20 meter hingga 100 meter sebagai habitatnya. Begitu pun, ebek juvenil lebih bersifat pelagik dan sering berlegar mengikut arus. Kadangkala ebek juvenil mengikut arus laut sehingga ke kawasan muara atau tepian pantai.
Ebek-ebek inilah lazimnya yang diburu oleh para pemancing pantai. Selain ebek juvenil, adakalanya ebek dewasa turut sama berjaya ditawan dan ia dianggap bonus. Ebek biasanya dipancing dengan menggunakan umpan udang hidup, udang lipan dan turut mengambil umpan hirisan sotong.
Yu kemejan
Spesies campuran yu dari pari ini mampu menghabiskan tali utama sepanjang 200 hingga 400 meter di dalam gelendung kekili milik surfcaster dengan sekelip. Justeru yu kemejan menjadi spesies sasaran utama bagi pemancing pantai yang mendambakan pertarungan yang sengit dan penuh mencabar.
Yu kemejan merupakan spesies yang gemar mendiami kawasan berpasir, berlumpur selut dan kawasan rata yang mendatar. Waktu utama pemburuannya ialah pada waktu malam berikutan ia lebih aktif memburu mangsa pada tersebut. Umpan bagi memburu spesies ini lebih kurang sama dengan pari iaitu udang, sotong dan ikan.
Talang
Ikan talang atau queenfish biasanya boleh ditemui di lagun pantai, terumbu dan persekitaran pulau-pulau. Mereka mendiami perairan yang jernih dari permukaan hingga kedalaman 100 meter. Sementara talang juvenil mendiami kawasan air cetek berhampiran pantai dan boleh memasuki muara termasuklah kawasan air payau.
Walau bagaimana pun ikan dewasa turut menghampiri pesisir pantai dan sering menjadi sasaran kepada pemancing pantai. Ikan ini digemari oleh surfcaster berikutan aksi akrobatiknya selepas tercangkuk mata kail. Ia boleh dipancing dengan menggunakan umpan belanak hidup, udang hidup serta hirisan ikan.
Daun baru
Ikan daun baru atau sicklefish boleh ditemui hampir merata pesisiran pantai semenanjung. Ikan daun baru menjadikan pesisiran pantai berkarang, berpasir dan berlumpur sebagai habitat utamanya. Walaupun tidak tergolong dalam game fish yang memberikan tentangan hebat kepada pemancing, ia turut tersenarai dalam ikan sasaran pengemar pancingan pantai. Ikan daun baru boleh dipancing dengan menggunakan umpan umpun-umpun, hirisan ikan dan udang.
Sembilang
Sembilang atau gemang merupakan spesies sasaran utama khususnya di bahagian sebelah Pantai Barat Semenanjung yang memiliki pesisir pantai berlumpur. Spesies yang terkenal dengan sirip berduri dan berbisa ini juga mampu melenturkan joran panjang jika bersaiz kasar. Ia menjadi sasaran utama bukanlah kerana keupayaan pertarungan, sebaliknya lebih kepada hidangan di meja makan berikutan keenakan dagingnya.
Banyak jenis umpan boleh digunakan untuk memancing sembilang seperti udang, sotong, ikan, umpun-umpun dan kerang-kerangan.
Belukang
Ikan belukang atau sagor catfish, lazimnya boleh didapati di tepi pantai berlumpur dan kuala sungai. Ia hidup di laut berlumpur berdekatan pantai dan estuari. Bagi sesetengah pemancing menganggap ikan belukang umpama ikan pengacau umpan.
Namun ia masih menjadi buruan utama bagi sesetengah pemancing lain, malah menjadi sasaran utama khususnya di dalam pertandingan memancing pantai. Berikutan ia dilabel sebagai pengacau umpan maka apa saja umpan yang digunakan untuk memancing spesies sasaran lain boleh dijadikan umpan untuk memancing belukang.
Ibu Gelama
Ibu gelama atau temerih mendiami kolom dasar, lubang dalam di muara, selokan yang terbentuk dengan baik di luar pantai, terumbu pantai yang berlumpur, bangkai kapal atau lubang yang bersebelahan dengan terumbu luar pantai sehingga 40 meter.
Diet utama ibu gelama terdiri dari cecacing, udang, sotong dan ikan kecil.
Sotong jualan yang tidak disimpan bersama ais dan terdedah kepada suhu persekitaran yang lebih kering akan memudahkan ia menjadi rosak.
Penjual selalu menyembunyikan kecacatan ini dengan menggunakan ais atau air sejuk.
Walaupun begitu pembeli masih boleh mencari perbezaan antara sotong lama dan sotong yang baru. Beberapa panduan boleh digunakan semasa membeli sotong di pasar.
😀 Badan sotong baru (segar) biasanya lebih bulat dan pejal. Tanpa memegangnya pun boleh dapat saksikan keadaan ini.
😯 Matanya bulat dan tidak berkedut namun jarang sangat kita mengambil kisah perihal mata sotong ketika membelinya.
➡ Kulit ari atau kulit luarnya tipis masih membalut kemas badannya tanpa terkoyak atau tertanggal.
😮 Kulit utama badannya putih dan tiada tanda lebam merah jika kulit luarna tertanggal.
Tiada cairan yang keluar dari kawasan lehernya.
🙄 Baunya tidak kuat atau hampir tiada bau jika ia benar-benar dalam keadaan segar.
🙁 Dakwat hitamnya tidak terkeluar dan jika badannya terluka sekalipun tidak terdapat kesan hitam.
😀 Janggut atau tantakelnya mengembang atau sedikit mengeras
Boleh dikatakan tanda-tanda ini agak sukar untuk diperhatikan jika pekedai menyimpan sotong di dalam ais. Sebagai pengguna, kita mempunyai hak untuk memilih.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...