Tip Bijak Sebelum Beli Rod Casting

Share

 

Memandangkan rod casting atau joran untuk teknik mengilat hanya boleh digunakan dengan baitcasting reel atau BC, maka adalah sangat penting untuk kita bersoal jawab dengan diri sendiri sebelum membelinya.

 

Tahap Minat

Jika korang baru berminat atau sekadar untuk cuba menceburi dunia casting, adalah disarankan korang beli rod harga bajet dulu. Rasai dulu best tak best dunia casting ni. Bila korang dah serius untuk sertai bidang ini barulah pertimbangkan untuk membeli rod casting yang lebih berkualiti dan sudah tentu harga pun mahal untuk digunakan dalam jangka masa panjang.

 

 

Destinasi Pancing

Jika korang jenis pemancing yang suka travel atau lokasi padang pancing jauh dari kawasan kediaman, adalah lebih baik untuk memilih joran yang boleh dipisahkan sekurang-kurangnya dua bahagian atau 2 pieces. Jika korang mempunyai bot atau lokasi padang pancing tidak jauh, joran satu bahagian atau 1 piece mungkin tidak menjadi masalah buat korang.

 

 

Spesies Sasaran

Pemilihan rod casting yang baik perlulah berdasarkan spesies sasaran yang hendak diburu. Jika korang mensasarkan spesies yang kuat dan agresif seperti toman, pilihlah joran yang mempunyai backbone yang kuat supaya dapat mengekangnya masuk ke reba sekaligus mengibatkan sangkut atau putus tali. Jika kita memburu spesies yang kurang agresif seperti sebarau atau peacock bass, pilihlah rod yang ringan agar lebih keseronokan dan mengurangkan rasa penat.

 

 

Jenis Selaman Gewang

Setiap joran casting dihasilkan adalah berbeza dan dicipta supaya bersesuai dengan teknik tertentu secara optimum. Joran yang direka khusus untuk gewang aksi permukaan air agak kurang sesuai untuk digunakan untuk teknik lain dan begitulah sebaliknya. Oleh yang demikian tetapkan dulu jenis aksi gewang dan teknik yang korang mahukan.

 

 

Padanan Reel

Pemilihan joran juga perlu mengambil kira tentang reel yang hendak dipadankan. Reel yang terlalu besar atau terlalu kecil pasti membuatkan set pancing rasa tidak seimbang dan seterusnya menimbulkan ketidakselesaan. Pilihlah rod yang sepadan dan selesa dengan reel yang korang akan gunakan nanti.

 

Published by
Amang