Terperangkap Di Tengah Kepala Air

Share

Seorang lelaki berusia 34 tahun berdepan saat getir apabila terperangkap di tengah sungai selepas arus bertukar deras secara tiba-tiba di Air Terjun Sungai Kedondong, kira-kira jam 4.25 petang, semalam.

Mangsa, Muhammad Fadzli Jalil, 34, berasal dari Rawang berkunjung ke pusat rekreasi itu bersama sembilan ahli keluarga sempena cuti umum Hari Krismas.

Fadzli berkata, mereka sekeluarga mula bermandi-manda sejurus tiba di lokasi berkenaan pada jam 3.15 petang sebelum hujan lebat hampir satu jam.

“Bila hujan, kami naik dan berteduh di sebuah pondok wakaf untuk menikmati makanan yang dibawa. Selepas hujan berhenti, kami turun semula ke sungai untuk sambung mandi dan saya  seorang diri berada di atas batu di tengah sungai untuk mengambil gambar.

“Tidak lama kemudian saya dengar sayup-sayup orang menjerit dan bila berpaling, nampak mereka sedang berlari ke atas tebeng sebelum lihat air sungai di sebelah atas berwarna coklat dan deras,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.26 petang dengan tujuh anggota termasuk pegawai ke lokasi terbabit.

“Sebaik tiba, didapati seorang lelaki terperangkap di tengah sungai dengan kedudukan di atas batu besar berikutan arus deras.

“Pasukan menggunakan tali dan jaket keselamatan bagi menyelamatkan mangsa dengan membawa ke tebeng dalam tempoh masa hampir 20 minit. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan mangsa dalam keadaan stabil,” katanya.

(sumber : sinar harian)

Published by
Amang