Bukan sekali dua Cikgu Sabri mengundang saya bagi memenuhi permintaan saya sendiri iaitu menghasilkan berita pancingan ikan bandang.

Namun setiap kali diundang ia sering kali sahaja bertembung dengan tugasan lain yang tidak mengizinkan saya untuk turut serta.

 

Justeru, apabila Cikgu Sabri mengundang lagi buat sekian kalinya ketika cuti panjang hujung minggu sempena cuti umum pada hari Isnin, saya segera bersetuju walaupun dilanda demam pada hari kejadian.

 

Cikgu Sabri yang dikenali dengan nama Jenahak Panggang di media sosial sememangnya gah sebagai seorang juru pancing di kelong.

Pakej memancing di kelong yang dikendalikannya jarang berakhir dengan kekecewaan.

 

Terutamanya pakej memancing di Kelong Pozi. Malah kebanyakan pelanggan di Kelong Pozi lebih mengenali Cikgu Sabri berbanding pemilik kelong tersebut.

 

Ads

Saya tiba di Kelong Pozi sekitar jam 5.00 petang dan ketika itu Cikgu Sabri dan kumpulannya sedang bersiap sedia memulakan pemburuan.

Ketika itu air laut sedang bergerak naik dijangka pasang penuh jam 7.30 malam.

 

Memandangkan pada kebiasaannya ikan-ikan bandang ini akan bertandang dan berkeliaran di kawasan kelong tatkala air pasang bergerak surut, maka kami bersantai dahulu sementara menunggu waktu bandang bertandang.

 

Namun bandang yang ditunggu tidak kunjung datang, begitu juga dengan spesies-spesies lain. Memburukkan lagi keadaan menjelang tengah malam, hujan ribut pula yang bertamu.

Ads

Begitu pun Cikgu Sabri tetap positif dan percaya bandang akan bertandang ketika air bergerak surut keesokan pagi.

 

Keyakinan Cikgu Sabri didorong oleh bekas-bekas kotoran berwarna putih susu yang dikeluarkan oleh ikan-ikan bandang pada lantai kelong, yang dipercayai dinaikkan oleh pemancing sehari sebelum kedatangan kami.

 

Hujan yang berlarutan hingga ke awal pagi membuatkan saya hampir berputus harapan. Tetapi Cikgu Sabri sebaliknya.

Tanpa menghiraukan hujan beliau tekun menukar umpan udang hidup satu persatu pada joran-jorannya.

Ads

 

Dan kesabarannya itu berbalas apabila salah satu jorannya melentur dan kelibat bandang melakukan akrobatik di udara gagal melucutkan mata kail yang tertancap pada mulutnya.

 

Suasana di Kelong Pozi bertukar sejurus bandang itu berjaya didaratkan. Walaupun saiznya tidaklah sebesar mana ia tetap menyuntik semangat pemancing lain.

Ia memberi petanda bahawa bandang sudah bertandang. Tidak lama kemudian dua ekor lagi bandang yang berjaya dipancing.

Bahkan spesies lain seperti daun baru turut sama mengena.

 

 

Menjelang tengah hari saya terpaksa meninggalkan Kelong Pozi berikutan ada keperluan untuk ke lokasi padang pancing lain pula.

Dan menurut Cikgu Sabri, tidak lama selepas kepulangan saya banyak lagi spesies lain seperti talang dan ebek bertandang ke Kelong Pozi bersama-sama si bandang.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI