Kalau dah rezeki memang tak ke mana! Begitulah kisah durian runtuh bagi kebanyakan pemancing di kawasan Sungai Udang, Pulau Pinang apabila berlakunya kejadian sangkar ikan pecah di kawasan tersebut.
Menurut follower fan page Majalah Umpan yang mengirim berita ini dari tempat kejadian, beliau mendapat perkhabaran kejadian sangkar pecah melalui pemilik sangkar itu sendiri pada jam 2.00 petang, sebentar tadi.
Ads
Tanpa menunggu lama beliau segera menghebahkan perkara tersebut kepada rakan-rakan lain dan persiapkan kelengkapan memancing dan segera menuju ke kawasan sangkar tersebut.
Ads
Menurut beliau lagi, sebuah sangkar (sangkar 90) yang banyak memuatkan ikan jenahak itu dipercayai pecah akibat dipukul alunan ombak.
Nasib mereka agak bertuah kerana lazimnya ikan-ikan yang bebas dari sangkar ini tidak akan merayau jauh dalam tempoh terdekat.
Sehingga berita ini dimuat naik ke halaman web Umpan, Izuandi dan rakan-rakan sedang bergasak sakan dengan spesies ikan jenahak dan juga merah.
Ads
Dalam pada masa yang sama Izuandi turut sempat merakam aksi pancingan di sangkar Sungai Udang, Pulau Pinang ini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Walaupun kerap dan biasa memancing di perairan Selat Melaka di sebelah Utara tanah air, tetapi perasaan untuk mencuba di padang pancing berlainan tetap bergelora.
Ekoran daripada itulah satu trip telah diatur oleh kelab SFC untuk menguji kehebatan makhluk air masin di Kemasin, Bachok, Kelantan. Sasaran kami sudah semestinya ikan-ikan terbaik seperti ebek, tenggiri, jenahak, kerapu dan sebagainya.
Tekong pilihan kami ialah Asri atau lebih dikenali sebagai Mat Yie. Seorang tekong yang berpengalaman dan mahir dengan perairan berkenaan. Dua orang awak-awaknya iaitu Pak Chop dan Farid turut serta dalam trip kami.
Sebenarnya hamir setahun jugalah kami menempah bot Mat Yie, takut kalau-kalau ditempah dahulu oleh kaki pancing lain.
Kami seramai 9 orang tiba di Jeti Kemasin lebih kurang 3.00 petang selepas mengharungi perjalanan 5 setengah jam dari Pulau Pinang melalui Lebuhraya Timur Barat.
Apabila bot sudah diisi bekalan air tawar dan stok air, kini tiba masanya untuk memulakan misi kami. Kira-kira 5.00 petang bot mula bergerak. Sejam perjalanan tekong memberhentikan bot dan menyuruh kami memulakan aktiviti menyandat.
Kami mula menurunkan candat payung dan ada yang menurunkan candat mayat. Teknik mencandat adalah sama seperti bermain apollo. Cuma henjutan perlulah perlahan sedikit.
Lepaskan candat sampai ke dasar dan karau 2-4 pusingan dan mulakan mengunjun. Jika terasa berat atau ragutan jangan membuat sentapan. Cukuplah dengan terus mengarau kekili tanpa henti sehingga sotong dinaikkan.
Sotong candat yang bersaiz sejengkal disimpan di dalam bekas umpan hidup yang disediakan.
Tukar Plan
Memandangkan umpan sotong hidup tidak mencukupi, tekong mula mengubah tempat ke tengah laut untuk mencari stok umpan sotong bersaiz besar.
Perjalanan untuk ke lubuk sotong ini mengambil masa sejam. Di sini kami tidak lagi menggunakan candat payung. Sebaliknya menggunakan candat mayat merah putih dan di bawahnya diletakkan candat twist atau ladung.
Sotong bersaiz besar ini akan dipotong dan dibuat jurauan untuk pancingan bottom. Telong melihat stok umpan tidak terlalu banyak tetapi cukup untuk dibuat pancingan.
Satu perbincangan kecil antara saya dan tekong berlangsung sama ada hendak ke Redang atau Kapal Salleh. Memandangkan Redang masih jauh dan stok umpan sotong yang terhad, tekong mengesyorkan pergi ke kapal karam Kapal Salleh.
Memang perancangan awal kami untuk ke Redang tapi apakan daya stok umpan hidup menjadi penghalang.
“Karau!” teriak saya kepada rakan-rakan untuk menuju ke lokasi kapal karam Salleh yang memakan masa satu jam setengah lagi.
Kapal Salleh
Menurut cerita orang lama di kawasan ini terdapat sebuat bot nelayan milik Salleh yang telah karam. Sebab itu tukun ini ditandai dalam GPS bot pemancing sempena nama pemilik bot yang karam.
Tiba di lokasi, senjata mula dihulurkan mengikut citarasa sendiri. Ada yang membottom, casting dan mengunjun jig. Serangan mengejut pada subuh hari membuatkan semua orang kelam kabut dibuatnya. 5 set joran melentuk-lentuk menyembah lautan sekaligus.
Empunya joran menahan asakan padua entah apa jenis ikan dari melepaskan diri. 3 jentera bangla dan 2 jentera manual menjadi pilihan pertama serangan mengejut ini.
Banax Kaigen 1000 milik Azhar diasak teruk dan akhirnya putus mainline kerana musuh menyelinap masuk kawasan buluh yang penuh dengan berangas (sejenis siput cengkerang tajam yang melekat pada buluh).
Begitu juga dengan Pak Chop turut tewas. Meletup tali kekili Ryobi Kaiver 8000 beliau disebabkan mainline mono terputus.
Ketika Faizal tengah menahan asakan tiba-tiba kekili bangla Daiwa Tanacom GS80 slop sebentar membuatkan beliau terpaksa membuat henjutan kasar bagi mengelakkan mangsa menyelinap masuk ke kawasan buluh.
Ternyata teknik itu berjaya melemahkannya sehinggalah kelibatnya nampak di permukaan.
Habuan untuk Faizal, aruan tasik seberat 16.8kg berjaya didaratkan. Kekili bangla Miya Command x4 milik Roslee juga turut bekerja keras mengarau. Gaya permainan dan sentapan sudah dapat diteka dan akhirnya spesies sama seberat 8.5kg berjaya dinaikkan.
Kini giliran saya yang masih terkial-kial menahan asakan aruan tasik yang tak henti-henti memuntahkan tali 60lb. Almaklumlah guna kekili manual Ryobi AP Power II 8000. Joran dipam sambil mengarau sedikit demi sedikit sehingga menampakkan kelibat aruan tasik yang kepenatan.
Akhirnya ikan selamat didaratkan. Selepas ditimbang ia seberat 13.6kg, cukup puas bagi saya apabila beraksi hampir 20 minit.
Hari semakin cerah, kerancakan aksi memancing masih berjalan lancar. Kali ini umpan sotong hidup menjadi taruhan. Tekong turut serta menaruh nasih dengan hanya menggunakan koyan. Baru 5 minit beliau melabuhkan umpan sudah mendapat ragutan. Berlaku satu pergelutan dan awak-awak sudah standby dengan gancu.
Kiri kanan joran harus dikarau naik supaya tidak bersimpul tali. “Ebek keno doh,” seloroh Mat Yie. 10 minit keudian muncul jua ebek di permukaan air. Setelah ditimbang beratnya boleh dibanggakan iaitu sekitar 10kg.
Ebek mengena lagi, kali ini ia memilih joran milik Yazid pula. Joran dipam dan dikarau berulang kali sehingga ebek berjaya didaratkan. Beratnya 9.4kg hampir sama dengan berat ebek Mat Yie.
Selang beberapa minit kemudian umpan saya dan Suaznor dibaham rakus. Rod melentuk membuatkan saya terpaksa bekerja keras lagi. Perambut dawai lembut 40lb, shockleader 90lb dan mainline 60lb memang tiada harapan cobia ini melepaskan diri.
Karauan dibuat dengan berhati-hati sambil mengepam, sekali sekala ia meluru ke bawah kembali dan terpaksa bertahan sehingga ia letih. Akhirnya spesimen seberat 9kg berjaya didaratkan. Suaznor pula berjaya menaikkan spesimen 11.4kg.
Malam itu kami cuba mencandat di satu kawasan sambil ditemani beberapa buah bot lain. Malangnya belum puas mencandat, kami dikejutkan dengan kehadiran beberapa buah bot pukat tunda dengan selamba membolot hasil disekeliling kami dan akhirnya tekong mengambil keputusan meninggalkan kawasan tersebut sambil ke lubuk Kapal Salleh.
Kena Serang Lagi
Sebaik saja sarapan pagi, senjata masing-masing dihulurkan. Umpan sotong yang dibuat juraian dicangkuk dengan mata kail saiz 5. Desingan bunyi drag membuatkan semua orang berpaling ke arah bunyi tersebut.
Rupanya joran milik Hj Man yang mengena. Tuah kekili dan rod baru memang tidak menghampakan. Aruan tasik seberat 9.7kg menjadi mangsa beliau. Tangkapan lain pada pagi hari itu seperti jemuduk, yu dan kaci bersaiz remaja. 20 minit kemudian, Hj Man sekali lagi mendapat strike kasar sekaligus membuatkan rakan lain cemburu.
Jam 2.00 petang misi ditamatkan dan bot mula meninggalkan kawasan pancingan. Kesempatan ini kami manfaatkan untuk berkemas dan membersihkan badan.
Banglang Dam terletak di Yala, selatan Thailand bukanlah padang pancing jelmaan baru. Tasik ini tidak banyak bezanya dengan dua tasik empangan di negara kita iaitu Tasik Kenyir dan Tasik Temenggor. Malah dari aspek geografi, Taman Negara Hala Bala di tasik ini bersempadanan dengan Taman Negara Royal Belum di Perak.
Spesies sasaran di tasik ini juga tidak setanding tasik-tasik utama negara kita. Walaupun turut memiliki spesies kelah namun tidak memiliki spesies raja snakehead iaitu toman. Hanya kerana tasik-tasik utama negara kita seperti sudah ketandusan spesies sebarau, ia membuatkan pecinta spesies ini beralih ke padang pancing negara gajah putih ini.
Apabila hasil pancingan di Empangan Banglang ini mula tersebar di media sosial oleh pemancing negara kita melangsungkan trip ke sana, seperti ada kuasa magnet yang kuat menarik penulis untuk tidak ketinggalan mengutip pengalaman memburu sebarau Thailand pula.
Sejurus melepasi sempadan Pengkalan Hulu – Betong, seawal pintu sempadan di buka pada 7.00 pagi (8.00 pagi waktu Thailand), rombongan kami seramai 14 orang pemancing dengan empat buah kenderaan, bersarapan dahulu di warung tepian sungai pergunungan dalam daerah Yala.
Soal makan minum malah bahasa pertuturan tidak menjadi masalah kerana majoriti penduduk di Yala beragama Islam dan fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan.
Sekitar jam 10.00 rombongan kami yang diketuai Neo Narul Ezam tiba di pangkalan rumah bot Sri BangLang yang diusahakan oleh penduduk tempatan, Burhang Ko. Tanpa banyak melengahkan masa kami memindahkan barang kelengkapan ke rumah bot, menyiapkan peralatan memancing dan menaiki perahu atau bot pancung dengan enjin ekor biawak muatan dua orang pemancing, bersama seorang tekong.
Saya tidak berharap sebarang sambaran apabila mula melontar gewang pada jam 12.00 tengah hari waktu tempatan. Namun sebarau Banglang kelaparan tanpa mengira waktu. Rakan seperahu, Anhar membuka akaun sebarau Siam apabila mendaratkan seekor sebarau juvenil. Seperti biasa, kami akan lepaskan kembali sebarau yang bersaiz kecil.
Di spot berikutnya gewang spingulf pertaruhan Anhar menerima sambaran sejurus naik hampir di permukaan. Sebarau berskala 1.5kg itu segera didaratkan ke dalam perahu dan tekong kami, Sahak segera meminta kami agar tidak melepaskan kembali sebarau tersebut. Dia mempunyai alasan tersendiri agar tidak melepaskan kembali sebarang tangkapan seterusnya nanti.
Kami akur dengan permintaannya tambahan pula kami memang tidak berhajat untuk melepaskan kembali spesimen sebesar itu. Respon positif dari penghuni Tasik Banglang membuatkan kami enggan kembali ke rumah bot untuk makan tengah hari walaupun hujan renyai mula turun.
Saya meminta tekong membawa kami ke sungai terdekat. Tekong menurut saja permintaan kami walaupun kedudukan sungai itu berada di dalam ‘kawasan orang Siam’. Namun banyak masa dibazirkan berikutan tiada sebarang sambaran sepanjang alur sungai yang kian mengecil ke hulu.
Kami kembali ke kawasan tasik terbuka dengan menjadikan kawasan pokok-pokok mati, bahagian tanjung daratan dan dinding berbatu sebagai lokasi sasaran. Selain itu saya turut banyak menghabiskan masa dengan mencuba pelbagai jenis gewang dan gaya aksi yang mampu membuka selera sebarau Siam ini.
Tidak tahan melihat gelagat tekong yang kerap menaikkan sebarau hanya menggunakan satu-satunya sesudu yang dibawanya, membuatkan saya akur demi mencari ‘lesen’. Jika pulang ke rumah bot tanpa ‘lesen’ maka bernanahlah telinga dibahan rakan-rakan yang lain.
Dengan menggunakan sesudu klon ala Abu Island dan menggayakan dengan cara paling asas (rendam, jerk dan karau lajau), dalam masa singkat saya memperoleh `lesen’.
Sebelum matahari tenggelam, tekong sempat membawa kami ke satu spot yang dinamakan lubang pokok. Sepohon pokok balak mati yang agak besar di mana terdapat lubang di perdunya yang dipercayai menjadi rumah untuk sebarau bermalam.
Beberapa ekor sebarau berjaya didaratkan di sini namun kami berdua lebih asyik melayan gewang permukaan dan banyak menerima sambaran walaupun seekor dua sahaja yang berjaya didaratkan.
Sesi hari pertama ini kami bukan saja tidak pulang untuk makan tengah hari malah antara yang lewat pulang. Namun ia dirasakan amat berbaloi kerana kami bukan saja pulang dengan hasil terbanyak, malah memegang rekod spesimen terbesar juga.
Gunakan tangguk atau sauk, bukannya lip grip apatah lagi cangkuk (gaff). Jaring pada tangguk pula perlulah dari bahan yang halus dan tidak mencederakan sisik ikan. Sebaiknya pilihkan jaring tanggung plastik berbanding benang.
Banyak aspek yang diabaikan seperti membasahkan tangan terlebih dahulu sebelum anda memegang ikan atau hasil tangkapan. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan lendir yang menyelaputi badan ikan terhakis. Lendir pada badan ikan ini adalah agen pertahanannya dari penyakit!
Sebaiknya tanggalkan mata kail ketika ikan masih di dalam air bukannya selepas didaratkan atau diangkat ke bot. Disiplin ini bukan tidak diamalkan langsung tetapi kebanyakannya dibuat jika ikan dikehendaki untuk bergambar saja atau bukan spesies sasaran.
Setelah menanggalkan mata kail, pegang ekornya di dalam air, dan olakkan ikan sehingga ia mula meronta, kemudian lepaskanlah ia. Bantuan ini penting dipraktikkan bagi membolehkan ikan dilepaskan dalam keadaan sempurna kerana berkemungkinan ia berhadapan dengan risiko kematian atau menjadi mangsa kepada pemangsa lain.
Jika anda ingin mengambil gambar bersama ikan, buatlah secepat mungkin. Setiap saat ikan itu di luar air, maka semakin kurang peluangnya untuk hidup. Jangan gantung ikan dari insang atau bibirnya saja. Ini merosakkan organ dalamannya. Gunakan kedua-dua tangan anda, biarkan ikan itu dalam posisi mendatar.
Jangan sekali-kali melepaskan kembali ikan pendatang ke dalam air terutamanya dari jenis pemangsa (kecuali anda memancing di kolam berbayar atau perairan yang tertutup). Sekiranya anda pernah melakukannya maka anggaplah ia sebagai kesilapan yang tidak akan diulangi lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...