Memancing ikan sepat Siam tidak sama memancing ikan lain yang lebih besar. Malah, sekiranya anda memancing ikan puyu sekali pun, peluang untuk mendapatkan ikan Siam amat tipis.
Perlu diketahui, ikan sepat Siam adalah ikan yang gemar memakan lumut, rumpai air dan serangga kecil.
Dan untuk memulakan sesi memancing ikan sepat Siam, anda perlu cari habitatnya terlebih dahulu.
HABITAT & CARA MENGESANNYA
Cara mudah untuk mengesannya, selain melihat kudap ikan di permukaan ialah muncung ikan ini akan kelihatan di permukaan air tanda ia bermain udara.
Ikan ini biasanya kerap muncul di ruang kiambang atau rumpai air yang terbuka. Jika tidak ada atau ruang amat kecil, anda perlu membuat sendiri lubang ruang berkenaan sebesar saiz bola sepak dengan cara menyelak rumpai air berkenaan.
Sesetengah pemancing yang gemar mencari ikan ini, lubang ini akan dibuat sehari sebelum memancing. Ini bagi mengelakkan ikan ini culas untuk memakan umpan.
CARA MEMANCING
Anda boleh gunakan sama ada pelampung kecil atau tidak untuk melihat getuan sepat mula memakan umpan.
Letakkan umpan perlahan-lahan ke dalam air. Sebelum itu, anda perlulah berdiam diri tidak membuat bising semasa menghampiri spot yang telah dikenal pasti.
Ikan sepat begitu sensitif terhadap sebarang pergerakan bayang atau bunyi bising. Kerana jika ikan takut, menyebabkan ikan ini tidak mahu timbul.
Jatuhkan umpan juga mestilah perlahan ke dalam air dan perlu dekat dengan ikan sepat. Kemudian tunggu sehingga ikan memakan umpan.
Pegangan joran juga haruslah kuat. Antara sebab mengapa joran jenis teleskopik amat relevan digunakan adalah kerana ia ringan, kuat dan mudah dilaras.
Sebaik sahaja umpan dilarikan, cuba balas dengan perlahan dan jangan menyentapnya terlalu kuat.
Jika terlalu kuat, akan menyebabkan kawanan ikan sepat lain terkejut dan culas selepas itu. Prosesnya sama seperti anda memancing udang galah.
Jangan terlalu lama membiarkan ikan menggetu umpan tanpa sebarang tindak balas. Jika tiada getuan pula, periksa umpan anda mana tahu sebenarnya umpan telah tanggal atau habis.
Seboleh-bolehnya ikan jangan terlepas. Jika ikan terlepas lebih dari sekali di spot yang sama, ikan yang lain akan culas untuk makan umpan.
Jika tiada getuan akibat ikan terlepas dan culas, anda bolehlah beredar ke spot yang berhampiran terlebih dahulu.
Ini kerana kawanan ikan sepat biasanya akan kembali ke lokasi yang ia bermain udara, selain ia tertarik dengan bau dedak ayam tersebut.