Teknik Pancingan Ruby Snapper Dulu Dan Kini

Share

 

Tabiat ikan ruby snapper sememangnya sangat-sangat sukar untuk diduga. Justeru itulah pancingan ruby ini lebih mencabar berbanding memancing ikan kerisi.

 

Setelah termakan umpan biasanya ia akan terus menekan ke dasar dan cuba mencari batu karang untuk memutuskan perambut. Sama seperti kerapu ia akan membenamkan diri pada peringkat awalnya sahaja.

 

 

Jika kita lambat membuat hook-up pasti akan tersangkut di batu karang. Ketika ini perlu banyak bersabar menunggu agar ruby kembali keluar dari celah-celah batu karang. Sebab itulah disaran menggunakan perambut jenis apollo yang berkekuatan 150 lb agar tidak mudah putus.

 

Batu ladung yang beratnya hingga mencecah 2 kg itu jangan pula tersangkut kat mana-mana lubang karang, kalau tidak puaslah menarik untuk memutuskannya. Bayangkan sendiri untuk memutuskan tali pancing sejauh lebih 200 meter di dalam air.

 

 

Oleh demikian ada baiknya gunakan swivel kecil sebagai penyambung atau jambatan agar batu ladung tadi putus dan ikan dapat dinaikkan. Apalah sangat nilai batu ladung dengan si ruby yang merah menyala tu kan.

 

Kebiasaannya ruby akan menyerah kalah apabila perlawanan hampir ke separuh kedalaman air. Tekanan yang kuat daripada kekili elektrik akan menyebabkan gelembung udaranya keluar melalui mulut dan ia akan semakin lemah.

 

 

Apabila hampir di permukaan air biasanya ia akan timbul dengan sendirinya seolah-olah seperti ikan hanyut. Ketika ini teruskan mengarau walaupun tali utama kendur dan nampak mangsa yang terapung beberapa meter dari bot kita.

 

Kadangkala ia hanyut begitu sahaja apabila mata kail terkeluar daripada rahangnya. Oleh sebab itu gunakan dua mata kail agar lebih selamat. Ketika ini jangan pula ada yu atau jerung yang berkeliaran kalau tidak, pasti di cukainya dengan sekelip mata…!

 

 

Untuk memancing ruby snapper umpan hirisan ikan tongkol adalah yang terbaik. Selain itu, sotong segar juga boleh digunakan sebagai alternatif.

 

Dengan teknologi memancing yang kian berkembang, hari ini spesies ruby snapper lebih popular dengan teknik pancingan jigging perlahan. Teknik yang lebih mesra pemancing ini membolehkan lebih ramai pemancing menewaskan ruby snapper.

 

Published by
Amang