Taktik ikan bayan melepaskan diri bila terkena pancing ialah menyelusup ke dalam karang dan ini menyebabkan perambut selalu putus bila bergesel dengan karang yang tajam.
Set yang sesuai ialah reel spinning dikunci dengan drag maksimum dan dipadankan dengan rod PE 3-5 yang keras dan pendek.
Tali utama yang sesuai ialah 50lb disambung perambut pendek maksimum 1 meter sahaja.
Bila bayan menjamah umpan kita mestilah cepat bertindak mengangkat joran setinggi yang boleh sambil menahan asakan ikan yang akan meluru ke karang.
Tahan seketika dan kemudian buatlah 4-5 karauan secepat mungkin supaya ikan ditarik jauh dari kawasan karang.
Untuk menyediakan umpan, ketam nipah ini mesti dikopek cengkeranya dan dipotong empat bahagian jika umpan itu besar. Ketuk sedikit kaki nya supaya aroma ketam itu keluar membuat bayan lebih cepat menjejak umpan.
Setelah umpan dicangkuk ke mata kail, hulur perlahan-lahan dan bila sudah jejak ke dasar, tarik atau pusing kekili untuk menggantung umpan setinggi 1 meter dari dasar. Jika kena musimnya kita tidak menunggu lama untuk bayan membedal umpan.