Jenahak adalah spesies yang bergerak dan menyerang secara berkumpulan.
Teknik pancingan yang betul amat penting jika pemancing tidak ingin kehilangan kawanan spesies bersisik emas ini sekelip mata.
Pastikan tiada kes rabut atau putus perambut berlaku berulang kali kerana fenomena ini akan menakutkan kawanan yang menanti untuk menyerang umpan anda apabila melihat rakan yang berenang lari ketakutan.
Anda tidak perlu risau mengunakan perambut mono (perambut dawai kurang efektif) walaupun ikan ini mempunyai gigi taring yang tajam.
Perambut yang kasar mampu menahan asakan barisan gigi halus dihadapan kerana kebanyakan jenahak suka menelan umpan.
Mengunakan umpan sotong cumit adalah yang terbaik jika memancing jenahak di laut dalam.
Sotong kurita yang agak liat juga bagus namun sotong kurita sukar diperolehi berbanding dengan cumit yang menonjolkan diri apabila kerdipan lampu bot dinyalakan diwaktu malam.
Selain dari itu hirisan ikan kembong tanpa tulang, udang dan hirisan sotong boleh digunakan sebagai atenatif.
Umpan hidup juga berkesan pada waktu siang seperti anak gelama, tamban, selar kuning, belanak dan udang.
Teknik memancing jenahak tidaklah begitu sukar kerana spesies ini adalah pemburu yang gemar menyentap umpan secara tiba-tiba selepas mengulumnya buat seketika.
Kes rabut boleh dihindari sekiranya pemancing ‘memberi dan memujuk’ dahulu apabila dirasakan ikan sedang bermain dengan umpan pada pancing anda.
Jangan terlalu cepat membalas joran anda kerana pada masa ini umpan baru dicengkam oleh dua gigi taring yang tajam dan belum menelan lagi.
Jenahak adalah spesies yang tidak terus menelan umpan sebagaimana kerapu, tapi ia akan bermain dahulu sebelum menelan dan baru ia melarikan tali pancing selepas sedikit kejutan dibuat keatasnya.
Balas atau lakukan sentapan apabila larian kedua dimulakan iaitu kira-kira beberapa saat selepas alarm kekili berbunyi.
Selepas itu gunalah tenaga dan segala kemahiran anda supaya ia tidak terlepas dari cangkukan mata kail.