Pergilah ke mana-mana benteng pemecah ombak atau tambak berbatu, cubalah memancing. Ada kerapu di sebalik batu? Betul ke? Ya, memang betul. Sememangnya kerapu sering menjadikan struktur kawasan berbatu sebagai lokasi mencari makanan malah sebagai rumah persembunyiannya.
Di kawasan tambak berbatu, cari kawasan lubang-lubang yang agak dalam airnya (Untuk mengetahui lubang tersebut dalam atau tidak boleh survey dahulu kawasan tersebut sewaktu air surut dan tandakan kawasan-kawasan yang berpotensi).
Tekniknya sangat mudah. Hanya perlu menghulurkan tali dan mata kail sahaja. Tidak perlu batu ladung.
Gunakan rod pendek bersaiz 5-8 kaki seelok-eloknya (Boleh juga untuk tidak menggunakan joran, hanya hulurkan tali kail sahaja ke dalam lubang).
Umpan udang kopek paling efektif digunakan. Boleh juga gunakan udang hidup, umpun-umpun dan hirisan sotong.
Apabila menjatuhkan umpan ke dalam lubang batu, mainkan sedikit umpan itu agar ia bergerak-gerak di dalam air kemudian biarkan seketika. Jika tiada sambaran mainkan lagi umpan itu untuk menarik perhatian ikan.
Jika lama tiada sambaran ataupun kawasan tersebut telah diganggu spesies pengacau seperti buntal dan sesirat, anda bolehlah berpindah ke lubang-lubang batu yang lain.
Penting untuk anda sentiasa menjaga joran anda. Ini kerana, apabila sang kerapu menyambar umpan, ia akan terus membenamkan dirinya masuk ke dalam batu. Jadi untuk mengelakkan kail anda tersangkut ke batu, anda harus segera menyambar joran apabila kerapu menyambar umpan.
Waktu paling efektif memburu kerapu ialah ketika air gerak pasang sehinggalah pasang penuh. Selain kerapu, ikan-ikan lain seperti sembilang, tetanda, siakap, kitang dan bayan juga boleh dieratkan dengan teknik ini.