Jika diperhati, spesies ini akan datang mendekati umpan, cium terlebih dahulu sebelum mengerak langkah lebih lanjut. Atas sifat ini ia amat berhati-hati dengan persekitaran dan jarang rakus dengan apa yang dijumpainya. Boleh dikatakan cara pemakanan serupa ikan buntal.
Apakah yang sesuai untuk memperdaya seekor ikan bermulut kecil dan jenis suka mengutis. Malah celahan bibirnya pula hadir barisan gigi tajam yang mampu memotong tangsi atau perambut dengan mudah.
Sebesar manakah umpan yang perlu dipersembahkan untuk membuka selera ikan kulit liat ini di bawah permukaan air? Persoalan ini haruslah dirungkai dengan mudah dan jangan terlalu mengambil berat akan kegagalan keputusan akhir nanti.
Ikan barat bukanlah ikan idaman oleh hampir semua pemancing malah kehadiranya tidak diendahkan oleh kaki pancing laut dalam.
Bagaimanapun sekiranya kehadiran ikan ini sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa bosan menunggu sentapan atau getuan ikan sasaran utama, maka ada baiknya jika kita tambahkan sedikit ilmu untuk menjinakkannya.
Masa terluang di laut dapat digunakan sepenuhnya dengan aksi dan keseronokan melayan ikan leper dan mampu memberi tantangan pada setiap kali umpan dirembat. Cara terbaik adalah penggunaan teknik apollo dengan 3 atau 4 mata kail halus sebesar mata udang nombor 9 atau 10.
Pilihan mata kail sebaiknya jenis teras panjang atau long shank di mana ia dapat memberi kelebihan kepada pemancing mengelakkan tangsi putus digigit ikan. Mata kail berteras panjang mengurangkan risiko dedahan tangsi terus kepada kesan gigitan ikan terutama kerana apitan gigi tajamnya.
Setelah saiz mata dipilih, perambut 20lb boleh digunakan untuk mengikat mata kail kecil dengan mudah. Pastikan ikatan kemas dan jangan terlucut pula ia ketika dalam pertarungan. Perambut utama sesuai sama ada 30lb atau 40lb dapat mengurangkan kebarangkalian perambut berpintal antara satu sama lain.