Enjin sangkut terbina bagi memenuhi keperluan pengangkutan air namun bagi kawasan sungai dan pergunungan enjin sangkut mampu membawa kita pergi lebih jauh selain daripada berjalan kaki meredah hutan.
Namun untuk menaiki jeram dan melalui alur sungai ia bukanlah sesuatu yang mudah ditambah lagi jika kurangnya pengalaman memahami bentuk halangan yang terdapat di laluan tersebut.
Risiko yang boleh terjadi adalah seperti bot terbalik atau lebih parah lagi bot pecah akibat hentakan pada batu atau kayu.
Kebiasaannya permukaan air akan kelihatan memecahkan alur air menandakan terdapat sesuatu berada di bawah dan ia perlu dielak.
Bagi misi sebegini sampan kayu adalah yang paling sesuai kerana ketahanannya apabila terkena batu ataupun kayu dan ia lebih stabil berbanding sampan daripada jenis fiber.
Bahagian perut sampan yang sama paras dengan kipas enjin sangkut menjadikan enjin sangkut lebih terjaga berbanding perut sampan yang tinggi dan kipas enjin sangkut terdedah kepada perlanggaran objek seperti batu atau kayu.
Bagi jeram yang tidak tinggi kebiasaannya bot masih mampu mendaki secara perlahan asalkan perut sampan tidak tersangkut.
Sebaiknya seorang jurumudi di bahagian hadapan membantu mengawal muncung bot agar sentiasa berada dalam kedudukan yang di kehendaki.
Jadi, bagi anda yang tidak mahir dengan laluan air, jangan sesekali membawa bot berkenaan.
Beri keutamaan kepada mereka yang mahir mengendalikan bot terutama jika sungai tersebut mempunyai banyak jeram.
Jangan bawa barang berlebihan kerana ia akan menyebabkan keseimbangan bot menjadi sukar dikawal.
Paling penting jangan lupa pakai jaket keselamatan.