Kebanyakan pengunjung menggunakan joran pole sendiri. Joran pole yang dibawa sendiri biasanya tidak menggunakan teknik pelampung seperti mana pole yang disediakan.

 

Kebanyakannya menggunakan teknik gelungan seakan-akan spring yang terletak antara hujung sambung joran dan tali utama. Namun bagi orang baru, biasanya menggunakan pelampung.

 

Dengan cara ini, getuan halus udang harimau lebih mudah dikesan. Cuma mata haruslah sering memerhatikan pergerakan pelampung.

Apabila menggunakan joran dilengkapi pelampung, anda disarankan mengukur semula kedalaman kolam, kemudian selaraskan semula dengan paras pelampung pada tangsi.

 

Ini kerana kedalaman air kolam berubah-ubah, kadangkala airnya rendah, kadangkala dalam. Jadi apabila kita dapat selaraskan kedudukan pelampung di tangsi dengan kedalam kolam, peratusan untuk sukses adalah tinggi.

Mata kail pula dari jenis Gamakatsu no. 8 (mata kail yang terdapat gelungan timah dililit pada tangkai mata kail).

 

Timah yang dililit pada tangkai mata kail untuk memastikan mata kail sentiasa tegak ke bawah, tidak terjungkit ke atas agar tancapan pada mulut udang lebih kukuh semasa sentapan dibuat. Selain itu ia juga bertindak sebagai pemberat.

 

Umpan isi udang, hati ayam atau perumpun boleh digunakan. Namun umpan perlulah dilabuhkan di tempat yang betul. Hotspot terbaik ialah sekitar penjuru kolam dan juga buih-buih bekalan oksigen.

Sudah menjadi kelaziman pemancing udang kolam akan berubah tempat untuk mencari port udang berkumpul. Jika dalam masa 5 minit tiada ragutan, mereka akan berpindah port. Sebaik saja umpan dilabuhkan, mata terus fokus pada pelampung.

 

Setelah kelihatan pelampung tenggelam, berikan sedikit ruang kepada udang untuk membawa lari umpan. Ketika ini tumpuan terhadap joran dan pelampung amat penting.

 

Perlahan-lahan angkat joran dan apabila terasa berat udang, lakukan sedikit sentapan bagi memudahkan mata kail tercangkuk kemas di mulut udang (kadang-kadang ada yang tercangkuk kaki atau ekor).

 

Pastikan sentapan dibuat berlawanan dengan arah udang membawa lari pelampung. Biasanya teknik mudah dan ringkas ini berjaya membuahkan hasil.

 

Tips tambahan

Teknik casting udang. Teknik ini digunakan untuk untuk menangkap udang yang pening-pening lalat dan berlegar-legar di permukaan kolam.

Biasanya apabila stok udang dimasukkan, udang-udang baru akan naik ke permukaan. Ketika inilah otai-otai kolam mempraktikkan teknik ini.

 

Mata kail tanpa umpan akan dihulurkan betul-betul di hadapan udang yang timbul. Apabila udang berenang ke hadapan, joran disentap keras untuk menusuk ke badan udang tadi.

Biasanya teknik ini dibenarkan oleh pemilik kolam kerana ia tidak dianggap sebagai menangguk udang.