Udang kara merupakan sejenis udang yang memiliki harga agak keras disebabkan kelazatan rasanya. udang kara biasanya ditangkap oleh para nelayan dengan menggunakan jaring di pesisir pantai yang berkarang. Tapi tahukah korang bahawa udang kara juga boleh dipancing?
Biasanya para pemancing tebing di pesisir pantai yang berkarang berjaya mendaratkan udang kara, yang pada umumnya tidak disengajakan.
Jika menjadikan udang kara sebagai sasaran utama memancing di kawasan dipenuhi karang ini bukanlah kerja mudah kerana pada kebiasaannya umpan dimakan oleh ikan lain yang banyak berkeliaran.
Cara memancing udang kara sebenarnya tidaklah susah sangat. Apa yang penting ialah menyediakan perambut mata kail yang khusus.
Perambut khusus tersebut ialah perambut cabang atau Y dengan empat mata kail berangkai sebagaimana gambarajah yang disertakan ini. Pilihan mata kail yang efektif ialah dari jenis wormer hooks.
Perambut yang disarankan adalah jenis monofilament dengan ukuran diameter 0.28mm.
Teknik pancingan adalah pancingan dasar dengan menggunakan pemberat atau batu ladung hidup kecil yang dimasukkan ke tali utama.
Saiz batu ladung bergantung kepada kelajuan arus. Tidak perlu terlalu besar tetapi pastikan ia tidak dihanyutkan oleh arus dengan mudah.
Pemilihan joran memadai yang tidak terlalu kaku dan reel berukuran kecil saja. Setup ultralight fishing pun boleh digunakan untuk memancing udang kara.
Panjang joran disesuaikan dengan spot memancing kerana udang kara biasanya bersembunyi di balik karang.
Umpan seperti udang hidup atau segar, hirisan ikan segar atau sotong segar boleh digunakan untuk memancing udang kara. Apa yang penting, umpan perlulah dihantar tepat ke kawasan berkarang ini.
Memandangkan udang kara adalah haiwan nokturnal yang aktif pada waktu malam maka waktu yang tepat untuk memancing udang kara adalah ketika bulan tidak bersinar pada malam hari.
Ketika malam gelap pekat udang kara akan keluar dan lebih aktif mencari makan. udang kara sangat sensitif terhadapan cahaya maka dari itu kurangkan penggunaan lampu suluh dan jangan gunakan lampu suluh yang terlalu terang untuk memilih spot.