Pancingan dasar secara berhanyut adalah teknik pancingan paling efektif di perairan Zeezone kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka.

 

Istilah menotok (pancingan dasar secara berhanyut) lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di perairan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.

 

Kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah, kerapu dan ibu gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.

 

Teknik Berani Kumpau Laluan Kapal

 

Dalam trip ke sekian kalinya, cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali Pintu Air Pulau Pintu Gedung. Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup. Umpan hidup dari hasil apollo lebih mudah diperoleh namun ia sekadar umpan pilihan kedua.

 

Pilihan pertama sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.

 

Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir penuh di kala laut mendatar. 15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk. Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun.

 

Teknik Berani Kumpau Laluan Kapal

 

Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.

IKLAN

 

Kami bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.

 

Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung. Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa.

 

Teknik Berani Kumpau Laluan Kapal

 

Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintasi Pelabuhan Klang menuju ke arah Selatan. Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang.

 

Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar. Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.

 

Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing. Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari.

IKLAN

 

Teknik Berani Kumpau Laluan Kapal

 

Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai. Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.

 

Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka. Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.

 

Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja. Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000.

 

Teknik Berani Kumpau Laluan Kapal

 

IKLAN

Larian ikan bermasalah – sang cobia, itulah gelaran yang diberi kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan. Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80 lb putus.

 

Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar. Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.

 

Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika.

 

Teknik Berani Kumpau Laluan Kapal

 

Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletak kira-kira 6 batu nautika. Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang. Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi.

 

Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja. Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.

 

Apabila arus semakin melemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak. Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperoleh.

 

Teknik Berani Kumpau Laluan Kapal

 

Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira menggasak atau digasak. Kumpau itu sesuatu yang indah dikenang walaupun pahit untuk ditelan.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI