Saya percaya ramai pemancing tidak tergamak untuk menggunakan katak sebagai umpan memancing. Berikutan timbul rasa geli dan tidak tergamak untuk membunuh seekor katak, kemudian dipotong kecil-kecil untuk dijadikan umpan memancing belut, saya mengambil keputusan untuk melakukan satu ujikaji umpan.
Memang tidak dinafikan daging katak merupakan umpan yang paling berkesan berbanding umpan-umpan lain. Namun saya lebih yakin bahawa belut tertarik keluar dari lubangnya adalah disebabkan oleh rangsangan deria getaran dan bau.
Bukannya melalui deria penglihatan. Dalam erti kata lain, apa saja objek yang menghasilkan bau seperti bau diet makanannya yang digoncang pada mulut lubangnya, pasti akan menarik belut keluar untuk menyiasat.
Ads
Oleh kerana itulah saya terfikir untuk mengujinya dengan menggunakan gewang soft plastic dan minyak perisa aroma katak. Kebetulan saya ada bawanya bersama yang lazimnya digunakan untuk casting haruan.
Ads
Untuk itu saya terpaksa korban seketul gewang soft plastic kerana perlu dipotong-potong kecil. Ketulan kecil soft plastic itu kemudiannya dilumurkan dengan minyak berpirasa dan beraroma. Saya percaya ia bukanlah berperisa katak atau berbau seperti katak. Jika betul, pasti saya tidak akan mencubanya.
Ads
Kaedahnya sama sahaja jika menggunakannya untuk casting haruan. Bezanya cuma soft plastic perlu dipotong kecil bagi memudahkan belut menelannya. Saya tidak pasti jika umpan ujikaji ini berkesan jika dilakukan pada siang hari. Ini kerana belut mungkin dapat lihat rupa bentuk soft plastic cacat itu.
Tapi ujikaji pada malam tersebut ternyata berkesan. Walaupun nisbah purata strike agak ketinggalan berbanding katak sebenar, namun ia terbukti berkesan untuk dicuba sebagai umpan alternatif bagi penggeli katak seperti saya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan tenggiri boleh dipancing sama ada ketika air pasang besar mahupun pada waktu air pasang kecil. Apa yang membezakannya hanyalah lokasi pemburuannya.
Contohnya ketika arus laju, tenggiri lebih senang ditemui di kawasan yang dasarnya memiliki struktur.
Jika memancing di kawasan yang sederhana dalam sehingga 40 meter, carilah dasar yang mempunyai struktur berbukit.
Pada kebiasaannya ketika arus deras, ikan-ikan kecil akan menjadikan struktur berbukit ini kawasan berlindung.
Sama ada anda memancing dengan kaedah umpan hidup atau umpan tiruan, kawasan ini perlu dicuba kerana lazimnya tenggiri akan memburu makanan di kawasan lindungan ikan-ikan kecil ini.
Faktor habitat
Bagi mengenal pasti kawasan ini didiami oleh ikan-ikan kecil, bolehlah diturunkan apollo. Sekiranya berjaya menaikkan ikan-ikan kegemaran tenggiri seperti selar atau kembung,
gunalah ikan-ikan tersebut sebagai umpan sama ada dengan teknik pancingan hanyut ataupun dasar. Jika ingin berjigging, pastikan jig memasuki kawasan tersebut.
Faktor suhu air
Selain itu, faktor suhu air juga memainkan peranan tersendiri. Untuk mengetahui suhu air, bolehlah merujuk kepada alat sonar yang digunakan tekong.
Bagi laut tropika seperti perairan negara kita, suhu air melebihi 30 darjah celcius merupakan suhu yang paling produktif kerana ikan berada pada tahap paling aktif.
Bukan saja tenggiri, ikan-ikan lain juga aktif memburu makanan.
Faktor lokasi
Faktor seterusnya adalah mengenal pasti kawasan sambaran. Sekiranya menggunakan umpan hidup, bolehlah dilabuhkan ke beberapa kawasan sasaran sama ada di dasar, pertengahan dan pra permukaan air.
Jika berjigging pula, jig perlu diunjun dari dasar hingga ke permukaan dan pastikan di kawasan mana ia menerima sambaran.
Dan akhir sekali yang menjadi penentu kejayaan adalah pemilihan kelengkapan memancing yang tepat.
Sebagai contoh, set joran yang sepadan untuk menahan kuasa pecutan tenggiri. Tali pancing yang cukup panjang untuk dihela keluar oleh tenggiri dan perambut mata kail yang mampu menangkis ketajaman gigi tenggiri.
Dunia seorang yang bergelumang dengan dunia hanyir ini sukar untuk diduga. Begitu juga dengan bentuk pancingan dan hasil yang dipancing. Apa saja jenis kaedah untuk memperoleh hasil akan dilakukan jika gagal memperolehnya melalui kaedah memancing.
Namun kaedah mendapatkan hasil tersebut tidaklah menghalalkan cara demi mencapai matlamat. Banyak cara yang beretika untuk mendapatkan hasil tangkapan sekiranya penggunaan joran dan kekili menemui jalan buntu. Salah satu caranya ialah dengan ‘mengoca’.
Mungkin ramai yang tidak biasa mendengar perkataan mengoca dan tertanya-tanya akan maksud perkataan itu. Namun bagi masyarakat terutamanya di Negeri Sembilan, perkataan itu bukanlah sesuatu yang asing.
Mengoca ini membawa maksud aktiviti menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan dan selalunya tertumpu di kawasan sungai, tali air atau kolam. Lazimnya, aktiviti mengoca diadakan selepas musim menuai padi yang mana ketika itu kebanyakan sungai, tali air atau empangan mulai kering.
Namun jika paras air sungai atau kolam itu didapati agak dalam yang menyulitkan untuk menangkap dengan tangan, penduduk akan menggunakan pelbagai peralatan menangkap ikan seperti tangguk, jala dan jeramak.
Baru-baru saya dan beberapa rakan pemancing melaksanakan aktiviti mengoca tanpa dirancang. Perancangan asal kami ialah untuk casting di tebing-tebing sungai di Sungai Tekala, Semenyih. Setelah beberapa lokasi kami redah dan gagal memperoleh hasil, kami bertemu dengan sebuah lopak kolam di tepi sungai (kawasan limpahan air sungai) yang dihuni spesies ikan yang tidak dikenal pasti.
Setelah meninjau keadaan dan kedalaman lopak kolam tu kami segera bertindak. Menyedari tidak sesuai untuk memancing di lopak kolam tersebut, sedangkan kelihatan begitu banyak pergerakan ikan, maka kami bersepakat untuk mengoca. Tanpa berlengah kami segera mengambil tangguk di dalam kereta.
Secara beramai-ramai kami mengepung dan membimbing ikan-ikan agar lari ke arah tangguk. Dalam masa yang singkat kami sudah memperoleh hasilnya. Tak sangka pula lopak kolam itu dihuni oleh kumpulan ikan terbol. Saiz-saiz ikan terbol itu pula agak kasar-kasar juga.
Lebih dari satu juga kami menghabiskan masa mengoca di lubuk terbol itu. Setelah hasilnya dikumpul dan ditimbang, sama sekali kami tidak menyangka berjaya mengoca terbol hampir 30 kg banyaknya. Ikan-ikan terbol itu kami agihkan sesama sendiri dan turut menjadi rezeki jiran tetangga yang berdekatan.
Sejak sekian lama saya telah diapi-apikan dengan cerita tenggiri yang memasuki perairan Pantai Timur. Oleh kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, maka hajat untuk menduga perairan ini terpaksa saya tangguhkan ke tahun ini.
Segala perancangan dibuat bagi mendapatkan waktu yang sesuai untuk menduga perairan ini. Setelah menghubungi semua rakan-rakan kaki pancing tegar, maka tarikh telah ditetapkan pada bulan April untuk menguji perairan Pekan, Pahang.
Seminggu sebelum kami menyertai trip ini, tekong telah memberitahu bahawa ikan tenggiri telah menyerang perairan Pekan, Ini membuatkan kami tidak sabar untuk menduga perairan tersebut.
Pada awalnya kami disertai oleh 10 orang ahli, tetapi pada saat-saat akhir, hanya 8 orang yg mengikuti trip ini.
Trip ini juga disertai seorang otai bagi pancingan laut iaitu Uncle Chong. Beliau banyak memberi tip dan teknik untuk memancing di laut dalam.
Kami memulakan perjalanan dari ibu kota pada pukul 2.30 pagi. Kami tiba di Pekan pada pukul 6 pagi dan terus bersarapan di sana. Pada pukul 7, kami bertemu dengan tekong dan terus membawa kami ke jeti.
Kami menaiki bot sepanjang 36 kaki yang di kemudi oleh tekong Che Min. Tekong Supian bertindak sebagai awak-awak. Ini bermakna dalam trip kali ini kami disertai oleh 2 orang tekong yang mempunyai banyak pengalaman di perairan ini.
HARI PERTAMA
Kami memulakan perjalanan menuju ke Unjam yang terletak 20 batu nautika dari pantai untuk mendapatkan umpan hidup seperti tamban, kembung, selar dan kerisi.
Setibanya di unjam, tekong memberi isyarat untuk menurunkan apollo untuk mengutip seberapa banyak umpan hidup untuk dijadikan umpan untuk ikan tenggiri.
Sedang rancak kami mengunjun mata apollo, tiba-tiba kekili Ryobi Ecusima 6000vi milik Uncle Chong berdesing. Kami sangkakan sambaran tersebut adalah tenggiri, tiba-tiba seekor layaran terbang di permukaan.
Suasana terus menjadi riuh rendah melihatkan aksi layaran beberapa kali terbang di permukaan. Setelah hampir 15 minit bertarung, Uncle Chong berjaya mendaratkan ikan layaran seberat hampir 20 kg.
Selepas sesi bergambar, kami melepaskan semula ikan tersebut oleh kerana ikan layaran adalah spesies dilindungi di perairan Malaysia. Setelah selesai mendapatkan umpan hidup,
kami meneruskan perjalanan menuju Pulau Berhala yang terletak kira-kira 60 batu nautika daripada persisiran pantai.
Setibanya di lubuk yang berhampiran, tekong melabuhkan sauh dan kami terus melempar umpan. Ada juga yang mempraktikkan teknik jigging dan casting.
Sedang kami menunggu, tiba-tiba teknik casting yang dimainkan oleh Solihin mendapat sambaran. Setelah 10 minit bertarung, beliau berjaya menaikkan alu-alu seberat 3.7 kg.
Tidak berapa lama kemudian umpan milik Adrin (Meng) pula mendapat sambaran tenggiri.
Setelah didaratkan, kami mendapati ikan tenggiri dalam lingkungan berat 3 kg tersebut telah dibaham di bahagian ekor. Mungkin dimamah oleh penghuni monster di bawah sana. Pada sebelah petang kami menukar lubuk untuk mencandat sotong.
Hasilnya kurang memberangsangkan, kerana sotong belum berada di perairan Pekan. Tetapi tidaklah mengecewakan. Kami berjaya menaikkan tidak kurang dari 10 ekor sotong bersaiz antara 200-500 gram.
SERANGAN HENDAP
Selepas senja, tekong menyediakan santapan malam untuk mengisi perut kami yang kosong. “Ikan tak mahu makan, kami yang makan”.
Setelah selesai makan, kami meneruskan sesi pancingan kami. Ada yang menghanyutkan umpan dan ada yang mempraktikkan pancingan dasar.
Satu sambaran diterima menyebabkan kekili Banax fx5000 milik saya berdesing, sentapan dilakukan dan pertarungan dimulakan. Beberapa minit kemudian, ‘tasssss”, perambut putus.
Pada malam ini sahaja, banyak umpan yang rabut dikerjakan tenggiri. Pada tengah malam, sedang kami berehat, kami diserang hendap oleh segerombolan ikan cupak. Tidak menang tangan kami dibuatnya.
Selang beberapa minit, pasti ada cupak bersaiz 500 gram -1.5 kg dinaikkan. Banyak juga ikan tetanda bersaiz 200-700 gram berjaya dinaikkan pada malam tersebut.
Dalam pada itu, sekali lagi Uncle Chong mencuri tumpuan apabila berjaya menaikkan cupak bersaiz 2 kg dan kerapu bersaiz 1.5 kg. Ikan todak berskala 2 kg juga berjaya dinaikkan beliau.
HARI KEDUA
Pada awal pagi, kami meneruskan aktiviti pancingan kami di beberapa lubuk sekitar Pulau Berhala. Pada pagi ini, teknik menghanyut mendominasi pancingan kami.
Umpan semakin berkurangan, oleh itu beberapa orang rakan pemancing kembali mencari umpan menggunakan teknik apollo. Kami terus menanti sentapan daripada ikan tenggiri. Tiba-tiba sekali lagi umpan Uncle Chong mengena.
Selang beberapa minit, kelibat tenggiri muncul di permukaan. Tenggiri seberat 3.8 kg berjaya didaratkan. Setelah matahari tegak, kami memulakan perjalanan balik ke jeti.
Dalam perjalanan balik kami sempat singgah di unjam berhampiran untuk mendapatkan sedikit sebanyak ikan kembung, selar, tamban dan kerisi untuk dibawa pulang.
Apabila tiba di lokasi unjam, kami sekali lagi menggunakan teknik hanyut untuk mencuba nasib. sambil memerhatikan rakan yang lain ‘meng-apollo’, umpan saya disentap kuat sehingga menyebabkan separuh tali dari kekili keluar tanpa henti.
Walaupun drag telah diketatkan tali masih lagi keluar. Sedang bertarung, kami sekali lagi menyaksikan seekor ikan layaran melompat di permukaan. Saya terus menggulung tali dan pertarungan telah masuk 20 minit.
Sedang asyik melayan asakan mangsa, umpan milik awak-awak yang hanya menggunakan koyan mendapat sambaran dari seekor lagi layaran. Pertarungan saya hampir ke-30 minit dan mangsa akhirnya berjaya dihela menghampiri bot.
Awak-awak terus menaikkan ikan layaran tersebut dan dianggarkan berat melebihi 35kg. Di sebelah kanan, pertarungan masih lagi berlangsung.
Apabila ikan menghampiri bot, sekali lagi ikan berjaya melepaskan diri. Selepas selesai ‘meng-apollo’, kami meneruskan perjalanan pulang ke jeti.
Apabila tiba di jeti, kami membahagikan hasil tangkapan kami kepada semua pemancing. Kini barulah badan kami terasa letih. Tetapi, bagi kami trip kali ini berbaloi kerana hasil tangkapan memuaskan hati kami.
Lebih-lebih lagi, dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman bertarung dengan ikan layaran. Bukan sekali tapi 3 kali dapat melihat aksi ikan tersebut melakukan akrobatik di udara.
Selepas ini mungkin kami akan kembali ke sini untuk menduga ikan di dasar pula. Ini kerana banyak lagi lubuk yang masih belum lagi kami kunjungi untuk menguji kekuatan penghuni dasarnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...