Tenggiri Challenge 2018 merupakan program memancing anjuran Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kolaborasi Taufik Emas Sport Fishing.
Pertandingan yang menyasarkan ikan tenggiri sebagai ikan trofi melalui teknik pancingan jigging ini merupakan kesinambungan dari program pertama yang telah dilangsungkan pada tahun lalu.
Program kali kedua ini telah diadakan pada 14-15 September 2018 di perairan Pulau Kapas, Marang.
Kejohanan kali ini berjaya menarik penyertaan seramai 150 orang peserta termasuk tekong dan melibatkan 25 buah bot.
Menurut jurucakap Taufik Emas Sport Fishing, dengan adanya Terengganu Tenggiri Challenge 2018 ini, bearlah harapan ia dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama
pemancing (jiggers) di seluruh Malaysia. Ini terbukti berikutan para peserta bukannya datang kawasan setempat sahaja bahkan dari seluruh negeri.
Pada sama yang objektif program untuk mengumpul para pecinta teknik jigging dan memperkenalkan potensi perairan Pulau Kapas berhasil dan para peserta dapat berkongsi pengalaman serta teknik pancingan masing-masing.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu & Beautiful Terengganu Malaysia, peserta-peserta pertandingan, penaja-penaja pertandingan, AJK, dan semua yang terlibat untuk menjayakan program Terengganu Tenggiri Challenge 2018.”
“Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar. Pihak penganjur menyusun sepuluh jari memohon maaf di atas kekurangan yang ada sepanjang program ini dijalankan.
Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk kita berjumpa lagi di edisi akan datang.”
Ads
Begitulah harapan pihak penganjur dalam sesi majlis penyampaian hadiah yang dilangsungkan di Ombak Kapas Island Beach Resort.
Menjelang senja kami berpindah ke Pulau Tokong Yu untuk berlindung sekiranya angin kuat pada malam nanti. Selesai sahaja bot melabuhkan sauhnya, Fauzi tanpa membuang masa menurunkan umpan udang hidup. Sekejap sahaja sudah mendapat ragutan.
Hampir 5 minit bertarung, Fauzi sudah tidak dapat bertahan dan meminta pertolongan daripada saya untuk menggantikan tempatnya.
Saya juga cuma mampu bertahan selama 5 minit sahaja sebelum rod diserahkan kembali kepada Fauzi. Tidak sampai seminit pertarungan disambung, akhirnya kami kecewa apabila mata kail terlucut dari mulut mangsa. Menurut Abang Mat, kemungkinan besar ebek bersaiz mega yang memakan umpan.
Satu tip apabila memancing ebek ini ialah tidak melambat-lambatkan pertarungan. Mulut ebek yang sedikit lembut akan mudah membuatkan mata kail tercabut sekiranya pertarungan berlanjutan untuk suatu tempoh yang lama.
Saya dan Fauzi terlantar keletihan sambil mengurut pinggang bahana pertarungan dengan pemangsa misteri itu tadi. Sedang kami berehat, tiba giliran Abang Mat dan awak-awaknya Puyoh untuk bergasak.
Mereka hanya menggunakan koyan dengan berumpankan sotong plastik pendar cahaya. Umpan akan diturunkan separuh air. Sasaran adalah ikan jemuduk. Bersilih ganti mereka berdua menaikkan ikan.
Memang agaknya ketika itu kawanan jemuduk mungkin sedang mencari makan di sekitar Pulau Tokong Yu. Saya dan Fauzi yang sama-sama menurunkan umpan terus mendapat ragutan serentak.
Posisi kami yang agak dekat membuatkan kami berhati-hati supaya tali tidak akan berbelit sesama sendiri. Fauzi telah berjaya menaikkan ikan jemuduknya sedang saya masih lagi bertarung. Keletihan akibat bertarung dengan ebek mega sebelum ini masih lagi belum hilang.
Matahari mulai terbenam dan keadaan mulai menjadi gelap. Namun ikan yang ditunggu tidak lagi timbul. Akhirnya setelah hampir 20 minit, secara tiba-tiba dirasakan tekanan ke atas rod mulai kendur.
Rupanya jemuduk yang meragut umpan pada awal tadi telah dicukai oleh monster di bawah. Berdasarkan kepada bekas gigitan, sama ada alu-alu bagak atau ikan yu yang punya angkara.
Tapi menurut Abang Mat, kemungkinan besar ia angkara yu kerana Pulau Tokong Yu memang menjadi tempat ikan yu mencari makan.
Mungkin kerana itulah pulau ini dinamakan Pulau Tokong Yu. Malam itu kami tidur awal kerana ‘terlebih kerja’ pada petangnya.
Keesokan paginya, awak-awak menunjukkan kepada kami seekor yu kemejan hasil pancing pada malam ketika kami sedang nyenyak tidur.
Abang Mat mencadangkan supaya kami berpindah ke lubuk ebek yang hanya terletak sebelah sana Pulau Tokong Yu. Mendengar saja ebek, semua bersetuju.
Sampai sahaja di sana, saya menjadi orang pertama yang menurunkan umpan. belum sempat umpan mencecah dasar, sudah mendapat ragutan kasar.
Pertarungan hanya mampu bertahan seminit sahaja sebelum tali putus. Terus saya ‘dibahankan’ oleh rakan yang lain. Selepas itu keadaan sepi. Tiada ragutan daripada penghuni dasar. Kami kembali berpindah ke unjam darat.
Aya Vs Tenggiri
Sampai sahaja ke unjam darat, sudah banyak bot yang berlabuh. Sudah ada aksi tarik-menarik. Kelihatan tenggiri dan ikan aya bersilih ganti dinaikkan.
Umpan terbaik untuk menjerat ikan aya di sini ialah ikan tamban. Mata kail akan dicucukkan di bahagian tengah betul-betul di bawah siripnya. Seterusnya umpan akan dilepaskan hanyut.
Oleh kerana kami tiada tamban, ikan selar pun boleh digunakan. Jika nasib tak baik, tenggiri yang meragut dah sudah pasti rabut atau putus.
Ini kerana tenggiri boleh dikategorikan sebagai ikan yang cerdik. Sedangkan jika menggunakan 3 mata pun kadangkala rabut, inikan pula menggunakan 1 mata.
Teknik memancing tenggiri di perairan laut Sedili mungkin sedikit berbeza jika dibandingkan di tempat lain.
Di sini digalakkan untuk memakai tali mono sebagai tali utama. Kekuatan tali utama pula adalah sekitar 20-30lb.
Begitu juga dengan perambut. Perambut hantu atau fluorocarbon berkekuatan 20-30lb sepanjang 3-4 depa akan digunakan.
Sekiranya anda memakai tali utama yang berdiameter besar seperti Daiwa Crystal Clear, tali utama bolehlah disambung terus dengan perambut dawai 20-30lb sepanjang sejengkal.
Perambut dawai ini pula akan diikat mata kail bersaiz 2/0. Pada waktu saya mula turun memancing di perairan Sedili ini, perambut dawai ini akan diikat dengan 3 mata serangkai.
Tapi sekarang hanya 1 atau 2 mata sahaja yang digunakan. Rod dengan kekuatan PE 1-3 adalah terbaik untuk teknik ‘drift’ tenggiri. Ada juga rakan yang menggunakan rod casting dengan kekuatan 8-17lb atau 10-20lb untuk lebih ‘thrill’.
Bagi kekili pula, kekili dengan saiz 2500-4000 (saiz kekili shimano) sesuai digunakan. Pastikan tali yang boleh dimasukkan ke dalam kekili sekurang-kurangnya 200 meter. Ini kerana tenggiri terkenal dengan daya pecutannya ketika di awal perlawanan.
Pengalaman bertarung dengan tenggiri sememangnya satu pengalaman yang sukar untuk diceritakan. Terutamanya bagi orang yang baru.
Pernah saya ditegur oleh awak-awak suatu ketika dahulu kerana tangan saya masih lagi menggigil walaupun telah hampir 1 jam setelah saya berjaya menaikkan tenggiri.
Bagi yang masih belum pernah ‘bertarung’ dengan si panjang ini, bolehlah mencubanya di perairan Sedili.
Trip 4-6 /10/2019, selama 3 hari 2 malam di perairan Kemaman diketuai oleh organizer AbgSSSham serta ahli seramai 14 orang iaitu Aril, Endy Kubis, Asmadi, Nan, Matnoor, Wan, Fauzi, Mada, Amir, Zaha, Mahat, Pie, Zul, Zam dan Duan.
Persiapan kami selama 4 bulan dan tekong memberi tahu kami bahawa ebek menjadi-jadi kebelakangan ni. kami pun tidak sabar untuk mengikuti trip.
Kami berkumpul di Petronas Balok sekitar jam 10.00 am. Setelah ahli semua ada, pemberian topi oleh En. Asmadi dari Perikanan untuk sagu hati untuk trip kali ini.
Setelah solat jumaat di Masjid Balok, kami bertolak dari jeti Kuala Kemaman pada jam 3.00 pm dan menuju ke unjam pertama selama sekitar 3 jam.
Sesudah sampai spot yang pertama Apollo dilabuhkan untuk mencari umpan fresh atau segar seperti ikan selar, tamban dan lain-lain lagi.
Selepas kami mencari umpan segar untuk jadikan umpan bottom, kami terus menuju ke spot yang pertama iaitu sekitar tukun kapal.
Tanpa buang masa para pemancing terus menurunkan umpan telah dilekatkan pada mata kail. Umpan sotong dan ikan menjadi taruhan kami.
Tidak menunggu lama, joran En. asmadi direntap kuat oleh penghuni dasar. Menggunakan set kekili Saltiga berjaya menarik ebek anggaran saiz 7kg dengan kepuasan kegembiraan terpancar pada raut wajah En. Asmadi.
Sebagimana kita tahu perairan pantai timur khususnya Kemaman menjadi lokasi tumpuan pemburuan spesies ebek. Sama ada ebek kapak atau ebek bulat, kedua-duanya menjadi sasaran utama trip kali ini.
Setelah beberapa minit kemudian joran En. Amir telah direntap oleh penghuni dasar yang tidak pasti sama ada sagai, GT, cupak mahu pun spesies tak bersisik.
Dengan daya pecutan dan tekananan daya juang ikan sehinggalah melihat kelibat ebek bulat terdampar di permukaan laut.
Kredit kepada tekong kerana sering berpindah lubuk bila tiada sambutan dilokasi dilawatinya.
Pada hari kedua seawal pagi tanpa buang masa umpan dilabuhkan untuk menjerat penghuni dasar, akhirnya joran Nan dan Aril disambut mesra penghuni dasar iaitu ikan bayan.
Bertukar lubuk
Menjelang pagi kami mula bertukar lokasi ke yang lain,kerna tiada tangkapan yang besar yang seperti diharapkan.
Masing-masing masih ada yang tidur kerana kepenatan berjaga pada waktu malam. Semasa bot mula berangkat menuju ke spot yang lain, ada peserta mengambil kesempatan untuk berehat sementara sampai ke spot lubuk karang.
Organizer Abg Sham memberi tahu kami bahawa sekitar lubuk karang mempunyai ikan gred seperti kerapu bara, jenahak dan merah.
Tanpa menunggu lama En. Mahat merentap joran terus sahaja menggulung tanpa tentangan yang berat.
Rupa-rupanya seperti yang diberitahu Abg Sham kerapu bara berskala saiz 1kg dinaikkan dengan menggunakan umpan hirisan sotong.
Waktu malam
Makan malam kami sediakan oleh En. Wan Mazhar. Fuhh… sedap beb! Menu ikan masak kari serta ulam dan pulak pekasam ikan tengas dibawa oleh Endy Kubis lagi penambah
selera kami di atas bot dan kami berbincang dengan Abg Sham untuk pindah ke seterusnya.
Tidak menunggu masa, aksi joran Aril melentur sehingga mencacah air, fuhh… mesti monster yang ditariknya. Selepas beberapa minit aksi bertarung akhirnya pari 18kg dinaikan dengan menggunakan umpan hirisan sotang.
Selang beberapa minit En. Zam pulak menaikkan pari seberat 16kg selama 30 minit. Fuhh… lamanya. Hahaha… mana taknya habis berbelit tali pancing yang lain.
Pada awal pagi cuaca agak kurang mesra dengan kami, kami menerima alun yang agak tinggi menyebabkan bot terhuyun-hayang.
Walau bagimanapun tidak melunturkan semangat kami sebagai pemancing. Kami terima dugaan itu dengan berlapang dada dan bersyukur terhadap Ilahi.
Sekitar awal pagi ikan kacang menjadi ikan pengacau menyebabkan pemancing sering bertukar mata kail dan perambut.
Untuk kali ini kami berjaya menaikkan pelbagai spesies ikan terutama ikan target iaitu ebek. Pada trip ni jugak, ikan terbesar seberat 18kg berjaya dinaikkan oleh Aril. Trip bottom dan jigging kali ni amat berjaya dan nantikan trip seterusnya.
Sepanjang jajaran sungai menghala ke laut Pelabuhan Klang ini, sebenarnya bukan sedikit rumah rakit yang dapat dilihat di kawasan Teluk Gong ini. Terdapat kira-kira 30 buah rumah rakit yang tersergam bertebaran dan setia menerima kunjungan kaki pancing saban hari.
Rumah rakit di sini biasanya dimiliki oleh orang perseorangan dan seorang pemilik biasanya memiliki lebih daripada satu rumah rakit. Keadaan di rumah rakit juga rata-rata cukup selesa kerana prasarana atau kemudahan yang disediakan seakan sebuah chalet terapung.
Setiap rumah rakit di Teluk Gong rata-rata dilengkapi dengan tilam, ruang dapur untuk memasak, bilik air dan juga televisyen. Jadi anda yang mahukan suasana pancingan santai bersama keluarga atau rakan-rakan, mungkin boleh berkunjung ke sini nanti.
Saya berkesempatan berkunjung ke salah satu rumah rakit di Teluk Gong yang dimiliki oleh Zainudin. Hanya memakan masa kira-kira setengah jam perjalanan dari Shah Alam, saya dan rakan tiba di Jeti Telok Gong. Tidak menunggu lama, kami dijemput oleh boatman iaitu Abang Jais dan terus dibawa ke rumah rakit yang mengambil masa lima minit dari jeti.
Seperti dijelaskan pada awal tadi, rumah rakit Zainudin ini turut lengkap dengan kemudahan dan sangat selesa. Keadaan kebersihan di bilik air dan ruang dapur juga agak memuaskan. Menurut Abang Jais, memang menjadi rutin baginya bagi mengekalkan kebersihan rumah rakit untuk keselesaan pengunjung.
Sewaktu kunjungan kami, keadaan arus agak laju kerana air pasang besar. Berbekalkan umpan udang dan perumpun, beberapa spesies agak galak menjamah umpan ialah ikan duri, gelama dan gelama pisang. Spesies lain tidak ada yang sudi mungkin kerana keadaan air yang besar. Walaupun begitu, kami tidak menang tangan melayan spesies tersebut terutama sekitar jam 8-10 malam.
Menurut Abang Jais, rumah rakit Zainudin yang beroperasi sejak tahun 1997 ini telah menyaksikan banyak spesies ikan pernah dinaikkan. Antaranya spesies pari, senangin, gemang dan siakap. Namun menurut pemerhatian peribadi Abang Jais, waktu yang sesuai ialah ketika air kecil dengan arus sedikit perlahan. Apa pun, kami tetap menikmati keseronokan melayan gelama pisang ketika ke sini.
Tiga tahun mengejar ilmu, akhirnya aku lulus semua ujian ku. Bulan depan aku akan memiliki ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan. Sementara itu aku cadang...