Dari ‘Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggalan baginda.
Menggunakan telur ikan tapah untuk memancing ikan baung, mungkin sesuatu yang amat janggal bagi pemancing di Semenanjung Malaysia. Mana nak dapat telur ikan tapah?
Jangan kata telur ikan tapah, ikan tapah itu sendiri pun masih ramai pemancing yang belum pernah menyentuhnya, apatah lagi berjaya mendaratkannya.
Namun, penggunaan telur ikan tapah sebagai umpan bagi memancing ikan baung bukanlah sesuatu yang asing di Sarawak, terutamanya di Tasik Bakun.
Tentu saja ia bukan sesuatu yang pelik kerana bukan saja populasi ikan baung yang banyak, bahkan ikan tapah juga berkembang biak dengan baik di sana.
Penulis berpeluang menguji sendiri keberkesanan telur ikan tapah sebagai umpan apabila berkunjung ke Tasik Bakun tidak lama dahulu.
Ia berlaku secara spontan apabila pekerja di sebuah rumah terapung atau jelatong yang menjadi kediaman penulis, menyiang ikan tapah untuk dijadikan hidangan kami pada malam tersebut.
Tindakan pekerja tersebut mengasingkan telur tapah di dalam bekas itu mendorong penulis untuk bertanya.
Apabila dinyatakan telur tersebut bagus untuk dijadikan umpan memancing baung, penulis segera meminta izin untuk mengujinya.
Memandangkan kedatangan kami ke Tasik Bakun lebih kepada trip casting, maka kami tidak membawa peralatan untuk pancingan dasar.
Jangankan batu ladung, mata kail pun tiada seorang pun yang membawanya. Sebagai alternatif, penulis cangkukkan sedikit telur tapah itu pada mata kail gewang sesudu.
Sesudu seberat 7 gm yang bersifat tenggelam itu pastinya tiada masalah untuk menghantar umpan telur tapah ke dasar tasik.
Memandangkan tidak pasti bagaimana rupa permukaan dasar tasik, penulis tidak membiarkan sahaja sesudu berumpan telur tapah itu terendam di dasar.
Sesekali penulis mengangkatnya beberapa inci dari dasar dengan cara mengujun. Tidak sampai lima minit mengunjun, penulis dapat rasakan ada sesuatu yang menyambar sesudu berumpankan telur ikan tapah berkenaan.
Tidak sampai seminit kemudian, seekor baung anggaran berat hampir satu kilogram berjaya didaratkan!
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Dulu-dulu orang memancing dapat ikan. Sekarang kalau tersilap lubuk, memancing bukan dapat ikan tetapi dapat orang. Ini bukan lawak, tetapi kisah benar seperti yang terjadi suatu ketika di Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang.
Seorang nelayan turun ke laut jam 6.30 petang untuk mencari ikan. Sebelum memulakan rutin harian, dia menemui mayat seorang kanak-kanak yang seminggu sebelumnya dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya.
Tidak dapat dipastikan angkara siapa menyebabkan mayat kanak-kanak 6 tahun, yang telah reput terdampar di situ. Apa yang pasti kanak-kanak malang itu bukan yang pertama terapung di situ. Seperti yang dilaporkan media, banyak lagi mayat telah ditemui terapung di kawasan perairan tersebut.
Ini membuktikan bahawa manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan menjadi lebih ganas daripada binatang buas. Mereka sanggup membunuh, dan mencampakkan mayat mangsa ke dalam sungai atau laut.
Sekiranya sungai dan laut boleh bercakap, pasti mereka menyatakan keluhan dan sesalan di atas perbuatan biadab manusia. Rupanya semakin tinggi peradaban, dan semakin canggih kehidupan, manusia menjadi semakin singkat fikiran. Semakin bodoh dan zalim.
Sungai dan laut yang sejak azali menjadi sumber utama kehidupan, sudah semacam tidak dihargai. Banyak sungai kita diletakkan pada status tidak selamat sebab airnya telah dicemari oleh pelbagai bahan toksik. Usahkan hendak digunakan untuk minuman, untuk dibuat mandi pun sudah tidak selamat.
Sungai dijadikan tempat buangan sisa industri. Kekotoran kilang dan pembangunan di hulu sungai, akan mencemarkan air. Sebab itu air sungai yang dulunya jernih dan dingin, kini sudah bertukar warna. Ada warna teh tarik, malah ada warna kopi-O. Tidak ada siapa yang berani mandi manda, apa lagi untuk minum air seperti itu.
Tidak sahaja sisa industri, sungai kita juga dicemari seribu satu sampah saraf. Orang kita tidak sedikit pun menghargai sungai. Semua yang tidak dikehendaki akan didamparkan dalam sungai – dari tisu pengelap peluh, kulit pisang, kulit durian, lampin bayi, tuala wanita, coli buruk, seluar dalam buruk, pendek kata apa sahaja dibuang ke dalam sungai.
Malah, akhir-akhir ini sungai juga menjadi tempat membuang bayi! Selalu kita membaca berita mengenai penemuan mayat bayi di dalam sungai. Insan tidak berdosa yang masih bertali pusat itu terapung-apung di dalam sungai. Alangkah zalimnya manusia.
Sebab itu memancing di kawasan yang dulu terkenal dengan pelbagai jenis ikan, kini mungkin tidak banyak ikan seperti dulu. Sepanjang hari memancing, ikan tidak menyambar umpan. Puas dan lenguh – malah ada yang terlena – memegang joran, tidak ada ikan yang sudi menghidu mata kail.
Kalau nasib baik, ada yang menyentap mata kail setelah menunggu sekian lama. Bukan main bersemangat melayan ikan di hujung joran. Terasa seperti menarik ikan besar, mungkin bapak haruan, atau paling tidak pun anak toman.
Rupa-rupanya nasib baik menjadi tidak baik, apabila yang ditarik dan melekat pada mata kail bukan anak toman, jauh sekali bapak haruan, sebaliknya seluar dalam yang koyak dan usang. Ku sangka ikan, rupanya seluar dalam saiz XXL. Kalau seluar dalam wanita boleh juga rendam dan airnya boleh buat ubat jerawat!
Bukan sahaja seluar dalam, ada juga benda-benda lain yang tersangkut pada mata kail, termasuk coli wanita, tuala wanita, lampin bayi. Kulit durian dan baldi buruk pun tersangkut pada mata kail. Puas dan bersemangat menarik joran rupa-rupanya yang melekat pada mata kail hanyalah selipar jepun putus tali. Begitulah kotornya sungai kita sekarang!
Maka teringat saya pada Sungai Ring di kampung saya di hulu Muar. Zaman kanak-kanak dulu sungai ini adalah sumber utama kehidupan seluruh penduduk kampung. Setengah abad dulu kampung saya – juga kampung-kampung lain sejiran – tidak ada bekalan air paip. Sungai inilah sumber air utama.
Air sungai ini digunakan untuk minuman, masakan segala makanan. Air sungai ini juga untuk cucian dan mandian harian. Di sini jugalah saya dan kawan-kawan sekolah menjadi ‘Tarzan’.
Setiap kali pulang dari sekolah, kami berhenti di permandian. Lempar beg sekolah di tebing, tanggal baju, tanggal seluar, berbogel kami terjun ke sungai, mandi dan berendam hingga semuanya kecut.
Kalau nasib tidak baik, apabila terlajak menjadi Tarzan dan tiba di rumah lewat, emak akan berleter. Lebih teruk lagi sekiranya abah tahu, saya akan di sesak dengan tali pinggang atau rotan. Ada amaran dari abah:
“Kalau engkau mandi lagi di sungai tu, aku repot rumah pasung, biar polis tangkap engkau!”
Amaran demi amaran, tetapi saya tidak ambil pot. Pertama, saya tahu mana ada polis yang hendak menangkap budak mandi sungai. Kedua, kalau betul polis tangkap dan dimasukkan dalam lokap rumah pasung (balai polis) mesti tidak cukup lokap sebab ramai budak-budak mandi sungai.
Jadi, walaupun kena rotan, saya tidak pernah serik untuk menjadi Tarzan di Sungai Ring. Airnya yang jernih lagi dingin itu terasa segar betul meresap ke seluruh tubuh. Kalau rasa dahaga ketika mandi, teguk terus air sungai itu, walaupun ada teman-teman berkata:
“Ahhh, engkau minum air kentut aku!”
Di sungai itu juga penduduk mendapat sumber protein. Abah memasang lukah sebelah petang – umpannya biji getah yang direbus – dan sebelah pagi sebelum ke sekolah saya mengangkat lukah, gembira sekali melihat haruan, puyu, terbul menggelepar di dalam lukah. Sekali sekala masuk juga ketam air tawar, di tempat saya dipanggil ‘kertah’.
Ada juga yang menjala. Mula-mula taburkan umpan kepala parut yang ditumbuk dan digaul dengan ubi rebus. Campakkan umpan dalam air, sepuluh minit kemudian tebar jala, dan akan tersangkut terbul, tonjeng, anak baung atau sebarau.
Bagi pemancing pula, umpannya cacing atau telur kerengga, pasti tidak akan kecewa. Tidak sampai setengah hari menghulur joran, pasti pulang dengan toman, baung, malah kalau nasib baik dapat pula udang galah sebesar lengan budak.
Sekali turun memancing, cukup makan sekeluarga. Musim air besar, atau bah, ada ikan-ikan besar seperti tapah, ketutu. Tetapi, silap-silap gaya buaya pun ada!
Pendek kata Sungai Ring adalah sumber rezeki untuk penduduk setempat. Itu setengah abad dulu! Hari ini orang gila pun tidak sanggup menjadi Tarzan di situ. Sungai itu telah diluruskan. Pembangunan telah mencemarkan air sungai tersebut. Tidak lagi jernih, airnya kita keruh sepanjang masa, bertoksik dan tidak boleh diminum.
Pelbagai spesies ikan sudah pupus. Jangankan seluang dan kertah, buaya tembaga pun tidak sanggup hidup di sungai tersebut. Kalau ada haruan dan puyu pun warnanya sudah hitam legam seperti besi. Orang tidak berani memakan ikan di situ sebab mengetahui ikan di situ makan sekian banyak toksik.
Saya percaya kalau pasang lukah sekarang tidak ada haruan atau terbul yang masuk. Kemungkinan besar lukah akan dipenuhi lampin bayi, tuala wanita atau coli buruk.
Manusia tidak menghargai sungai, maka sungai pun tidak lagi memberi rezeki. Bayangkan sekiranya satu hari nanti semua sungai dicemari, di mana kita hendak memancing? Fikirkan dengan serius!
Bot jenis fiber berwarna merah kuning terikat kukuh di jeti berhampiran chalet Zamri. Kami sampai seawal jam 4 petang, namun Zamri meminta kami menunggu satu jam lagi untuk air pasang penuh.
Setengah jam sebelum masuknya waktu asar, kami berenam termasuk tekong bernama Pak Mud memulakan perjalanan botnya menuju ke perairan Pintu Gedung.
Misi kami hanyalah satu, iaitu membawa pulang banyak hasil tangkapan ikan terutama ikan besar yang boleh dijadikan lauk keesokan harinya.
Apatah lagi sebelum keluar dari rumah, isteri pula sudah berpesan (tetapi separuh menyindir) jangan lupa bawa pulang ikan laut, bukannya ikan pasar.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku lihat Mamat dan Zarin memegang erat pada bahagian tepi bot. Naza pula berlagak selamba. Zamri dan aku asyik memandang suasana sekeliling. Angin laut bertiup agak kencang namun begitu nyaman.
Selepas mendapatkan spot yang sesuai, Pak Mud memberhentikan bot berhampiran dengan tempat yang dipanggil Boya 28. Masing-masing melabuhkan umpan di situ.
Umpannya isi ikan kembung dan selar yang dibawa oleh Zamri. Petang itu rezeki kami agak murah. Gelama, siakap merah, daun baru dan ikan tanda menjadi habuan kami.
Asyik benar kami hingga tak sedar suasana sudah diserkup kegelapan malam. Angin yang tadinya bertiup nyaman sudah bertukar kencang.
Bot kecil yang kami naiki terumbang-ambing dipukul alun yang membuai kasa. Lantas, Zamri memerintahkan Pak Mud menghidupkan enjin yang ketika itu turut sama memerhatikan sekeliling.
Tapi entah mengapa enjin tak dapat dihidupkan. Puas Pak Mud mencuba tetapi tetap gagal. Di dada langit, kelihatan burung berterbangan pulang.
Aku memerhatikan kumpulan burung itu. Bergetar hatiku tatkala melihat di tengah-tengah kumpulan burung itu, terbang satu objek menyerupai manusia.
Bezanya, keadaannya serba putih seolah-olah mayat berkafan!!!
Aku cuba memberitahu Zamri dengan kerlingan mata.
“Jangan tegur apa-apa yang kau semua nampak aneh di kawasan muara yang agak keras. Lagipun dah masuk waktu Maghrib ni”. Hanya itu pesan Zamri. Agak keras dan sinikal.
Zarin dan Mamat pula aku lihat sudah pucat. Naza pula mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Qursi.
“Cuba kau azan”, kata Zamri apabila melihat Pak Mud seperti sudah putus asa untuk menghidupkan enjin.
Aku melaungkan azan dengan suara perlahan dan serak-serak basah. Tiga kali melaungkan azan barulah Pak Mud berjaya menghidupkan enjin bot. Kami semua menarik nafas lega.
Ketika bot meluncur laju ke jeti, aku sempat mengerling jam tangan. Sudah pukul 7.30 malam. Sudah masuk waktu maghrib.
Sewaktu bot mahu memasuki anak sungai menuju ke jeti, perhatian kami tertumpu pada tebing sungai. Kelihatan rumah-rumah kampung beratap rumbia.
Di setiap rumah terpacak jamung. Suasana di kawasan kampung itu meriah seolah-olah ada pesta yang berlangsung.
Peliknya, getus hati saya bila memikirkan keadaan yang seolah-olah kami memasuki pada zaman silam, walhal semasa pergi petang tadi kawasan berkenaan di kelilingi hutan bakau.
“Kenduri apa pulak ni,” tegur Zarin sebelum sempat aku memberi isyarat supaya jangan menegur apa-apa.
Ketika itulah, penghuni kawasan kampung itu seolah-olah serentak memandang ke arah kami.
Mahu menjerit dibuatnya apabila melihat makhluk itu badan seperti manusia tetapi mempunyai tanduk di antara dua biji mata.
Mata mereka bersinar seperti mentol lampu yang terang. Zarin menjerit seperti histeria hingga bot yang kami naiki bergoyang ke kiri dan kanan.
Nasib baiklah Pak Mud berjaya mengemudinya dengan baik. Sebaik sahaja sampai di jeti, kami memapah Zarin ke dalam chalet Zamri.
Di sini Zarin diubati seorang ustaz yang dibawa oleh suami Zamri yang sudah dimaklumkan melalui telefon.
Jelas ustaz berkenaan, kawasan tersebut memang didiami makhluk halus dan kebetulan waktu berkenaan adalah waktu puncak mereka bertebaran.
Syukurlah tiada apa kejadian buruk yang menimpa kami. Peristiwa ini sudah dua tahun berlalu. Zarin hingga ke hari ini tidak berani lagi turun ke laut.
Hanya aku dan Naza yang rajin mengikut Zamri turun memancing. Mamat pula sejak berkahwin sudah melupakan terus hobi memancing ini.
Aku sendiri hanya keluar memancing pada waktu siang sahaja. Kejadian ini benar-benar menginsafkan aku bahawa selain manusia, ada makhluk lain yang mendiami dunia Allah SWT ini. Wallahualam..
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...