Pemancing tegar tidak mengenal masa. Sama ada pagi, tengah hari, petang atau malam sentiasa ingin memancing. Setiap waktu pasti ada keistimewaan tersendiri. Namun bagi yang lebih menggemari memancing pada waktu malam, sedikit persediaan peralatan tambahan dan tingkah laku amat penting bagi melancarkan aktiviti memancing.
Penghalau serangga
Insect repellent atau ubat penghalau serangga juga perlu ada demi untuk keselesaan kecuali sudah kebal dengan gigitan nyamuk dan agas serta serangga-serangga hutan.
Lampu suluh
Torchlight atau lampu suluh wajib ada! Tak kiralah apa jenis lampu suluh sekalipun ia adalah keperluan kedua terpenting selepas peralatan memancing. Kalau bawak lampu suluh tak bawa peralatan memancing itu dah kira tujuan lain.
Warna hitam
Ads
Nak pakai pakaian macam pergi pejabat pun boleh asalkan jangan berwarna hitam. Pakaian serba hitam memang bagus bagi penyamaran kerana ikan tidak nampak kehadiran kita tetapi tidak bagi nyamuk.
Berkumpulan
Sebaik-baiknya memancinglah secara berkumpulan. Walaupun cuma di sungai belakang rumah atau tepi lombong, ia dapat membantu jika berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini.
Ads
Jangan suluh sembarangan
Seboleh-bolehnya kurangkan penggunaan lampu suluh terutamanya tabiat gemar menyuluh ke arah air. Cahaya dari lampu suluh boleh menyebabkan ikan menjauhi kawasan pancingan kita.
Unggun api
Sebaiknya juga buatkan unggun api bagi menjauhkan binatang-binatang buas dan berbisa menghampiri kawasan pancingan kita (kalau di daratan la, jangan buat unggun api di dalam sampan!)
Ads
Simpan peralatan
Simpan peralatan memancing yang tajam seperti mata kail atau pisau di tempat asal selepas digunakan bagi mengelakkan kecederaan yang tidak diduga.
Ikan bersengat
Kenali terlebih dahulu spesis tangkapan yang berjaya didaratkan sebelum mengendalikannya bagi mengeluarkan mata kail agar tidak terpegang ikan sembilang sama seperti memegang ikan gelama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Memancing di atas rumah rakit dan kelong telah lama wujud di Malaysia tetapi masih kurang pendedahan sehingga sukar untuk kita meraih infonya. Jika ada pun, hanya merujuk kepada lokasi dan kejayaan trip, tetapi kurang dari segi teknikal dan persembahan.
Untuk memperoleh hasil tangkapan yang baik, aspek-aspek seperti teknik persembahan, umpan terbaik, musim, tarikh dan waktu, pasang surut air, kedudukan balingan, peralatan dan kelengkapan, spesies sasaran, pergerakan ikan serta kedudukan kelong perlulah difahami terlebih dahulu, sebelum bersandarkan kepada nasib semata-mata. Semua ini boleh boleh diperoleh melalui kekerapan kita ke sesuatu lokasi dan pengalaman daripada otai.
Memancing di rakit dan kelong kelong sebenarnya satu gaya pancingan yang pasif. Kita perlu ingat bahawa hasil bergantung sepenuhnya kepada musim dan pergerakan ikan. Oleh kerana ia adalah satu struktur statik di pesisir laut, kita tidak bebas mengikut pergerakan ikan dan terpaksa menunggu kumpulan ikan bergerak menghampirinya.
Peluang ini perlulah digunakan sebaik-baiknya, di mana kita perlu memerah segala teknik dan tenaga yang bakal mempengaruhi hasil tangkapan nanti. Walau bagaimana pun, sangat sukar untuk kita meramal waktu ini. Tetapi salah satu caranya, kita boleh merujuk kepada pergerakan ikan umpan seperti tamban.
Untuk menentukan musim ikan pula, sebaik-baiknya rujuklah kepada penjaga premis ini. Mengikut pemerhatian, kebanyakan ikan biasanya didaratkan antara bulan April hingga September. Oktober hingga Februari pula lebih sinonim dengan musim tengkujuh, justeru kurang sesuai.
Pasang surut air dan cuaca turut mempengaruhi pergerakan ikan. Waktu terbaik ialah air pasang pagi atau petang, tetapi pagi lebih menjanjikan. Tengah hari bukanlah tak sesuai tetapi aktiviti biasanya sedikit terganggu dengan faktor cuaca terik dan tiupan angin kuat. Malam pula biasanya dihabiskan dengan pancingan dasar dan koyan.
Game fish atau ikan sukan sememangnya menjadi antara ikan buruan utama kaki pancing. Ia menjadi lebih menarik lagi bila ikan-ikan game fish ini mampu melakukan lompatan akrobatik ke udara. Pada masa itu, derauan adrenalin pasti memuncak dan mampu memberikan kepuasan yang tidak terhingga buat kaki pancing.
Kurau (King Threadfin / Polydactylus macrochir)
Ikan kurau banyak menjadikan kawasan berlumpur dan berstruktur seperti kelong dan pantai berbatu sebagai habitat utamanya. Selain terkenal sebagai antara ikan gred A di Malaysia, ikan kurau juga tergolong sebagai salah satu game fish kerana kelicikannya melarikan umpan dan juga sekali sekala mampu memberikan lompatan bertenaga untuk memuntahkan mata kail. Rekod IGFA pernah menunjukkan spesimen kurau terberat ialah 27.5 lb yang ditewaskan di Northwestern Australia pada tahun 1966.
** Level Lompatan Akrobatik: 12.2/20
Siakap ( Barramundi / Lates calcarifer)
Terkenal sebagai salah satu spesies buruan yang dikatakan mampu memberikan tentangan sengit ketika bertarung dengan aksi akrobatik yang menarik di udara. Siakap juga dikenali sebagai spesies predator yang gemar menyerang hendap pemangsa yang lalu di hadapannya. Ia biasanya bersembunyi di celah-calah reba dan juga batu untuk menghendap dan memburu mangsa. 96 lb 6 oz merupakan spesimen siakap yang terberat pernah direkodkan. Ia didaratkan di Monduran Lake pada tahun 2010.
** Level Lompatan Akrobatik: 12.4/20
Bandang (Ladyfish / Elops saurus)
Seperti siakap, bandang juga menjadi spesies buruan kaki pancing kerana spesies ini dikatakan mempunyai kelajuan yang luar biasa dan mampu memuntahkan mata kail dengan mudah ketika melakukan lompatan akrobatik di udara.
Ikan bandang biasanya menjadikan kawasan pesisir pantai, kawasan berstruktur seperti jeti, pelantar dan juga muara sungai sebagai habitat utamanya. Menurut fishing-florida.com, ikan bandang turut diangkat sebagai “one of the best fighting inshore fish that swims”.
Kini ramai yang gemar memburu bandang denga set ultralight kerana ‘karen’nya dikatakan lebih hebat dengan menggunakan set ringan. Rekod terbesar bandang yang pernah didaratkan di Florida ialah 4 lb 10 oz.
** Level Lompatan Akrobatik: 13.4/20
Talang (Queenfish / Scomberoides commersonianus)
Talang atau nama biasanya queenfish merupakan spesies yang tergolong dalam keluarga jack / trevally. Spesies ini paling syok kalau dilayan menggunakan set ringan. Di Malaysia, ramai yang gemar memburu talang menggunakan set light jigging kerana ia gemar memburu pemangsa di pertengahan air. Rekod dunia menunjukkan spesimen talang terberat pernah didaratkan ialah pada tahun 2010 iaitu seberat 39 lb di Afrika Selatan.
** Level Lompatan Akrobatik: 13.7/20
Belitong (Mahi-Mahi / Coryphaena hippurus)
Belitung atau turut dikenali sebagai dorado / mahi-mahi sememangnya layak dikategorikan sebagai antara game fish buruan kaki pancing. Dengan corak warna yang cantik pada badannya dan larian serta lompatannya yang bertenaga, ikan Belitung sentiasa dianggap sebagai “perfect game fish” di kawasan laut lepas. Rekod dunia ikan Belitung terberat pernah direkodkan ialah 87 lb yang didaratkan di Papagallo, Costa Rica pada tahun 1976.
** Level Lompatan Akrobatik: 17.5/20
Marlin Hitam (Black Marlin / Istiompax indica)
Ikan marlin hitam yang terkenal dengan daya juangnya yang tinggi memang layak diangkat sebagai “ocean ultimate trophies” di dunia. Bilangannya kini semakin berkurangan. Ikan ini layak dinobatkan sebagai antara ikan dengan lompatan yang mengagumkan di lautan. Rekod dunia menyaksikan ikan marlin hitam terberat pernah ditewaskan oleh pemancing ialah seberat 1560 lb di Cabo Blanco, Peru pada tahun 1953.
Disebut sahaja nama layaran pasti ramai yang membayangkan Rompin, Pahang sebagai lokasi utama buruan spesies ini. Tidak hairanlah nama Rompin turut diangkat sebagai salah satu kawasan pancingan terbaik bagi memburu layaran di dunia. Ikan layaran ini amat terkenal sebagai ikan trofi bagi sesetengah kaki pancing. Dengan kelajuan yang mampu mencecah 68 mph dan juga lompatan yang begitu padu di udara, ikan ini sememangnya menjadi antara salah satu ikan kebanggaan di Malaysia. Rekod dunia mencatatkan spesimen terberat pernah dinaikkan di Ecuador pada tahun 1947 iaitu seberat 221 lb.
** Level Lompatan Akrobatik: 18.5/20
Bulan ( Tarpon / Megalops atlanticus)
Ikan bulan atau tarpon memang terkenal sebagai ikan dengan lompatan yang menakjubkan dan kelicikannya memuntahkan mata kail. Atas faktor rahangnya yang kuat menjadikan mata kail agak mudah terlucut jika ikan bulan melakukan lompatan akrobatik berulang kali. Walaupun di Malaysia spesies ini tidak membesar sama seperti di luar negara, namun ikan bulan atau tarpon memang layak diangkat sebagai ikan ‘game-fish’ dengan aksi lompatan akrobatik yang paling menakjubkan ada di dunia jika dikira melalui aspek keseluruhan. Spesimen seberat 286 lb 9 oz yang didaratkan di Guinea Bissau, Afrika pada tahun 2003 diangkat sebagai rekod dunia ikan tarpon yang pernah didaratkan.
Jika tidak diperhati secara mendalam, pasti kita sukar untuk membezakan jantina sesekor ikan pari. Namun, untuk membezakan jantina ikan pari ini tidak sukar.
Jika anda melihat secara teliti di bahagian bawah ikan pari anda akan dapat melihat perbezaan yang ketara di antara alat sulit pari jantan dan betina.
PARI JANTAN
Umumnya, pari jantan mempunyai dua claspers (organ pembiakan jantan ) yang bersambung di bawah sirip pelvisnya.
Kebiasaannya, saiz claspers ini adalah sebesar jari manusia. Untuk proses pembiakan, ikan pari jantan akan memasukkan salah satu claspers ini ke dalam organ atau lubang
pembiakan ikan pari betina dan telur-telur yang terhasil akan disenyawakan. Proses pembiakan ini biasanya hanya berlaku di dalam beberapa saat sahaja.
PARI BETINA
Berbeza dengan pari jantan, pari betina tidak mempunyai claspers atau bahagian organ ini tiada pada badan pari betina.
Pari betina hanya mempunyai cloaca iaitu organ atau lubang pembiakan yang mempunyai dwifungsi iaitu membuang bahan kumuh dan juga pembiakan.
KEPENTINGAN MENGETAHUI TENTANG JANTINA IKAN PARI
Pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah kepentingan mengetahui tentang jantina ikan pari ini.
Sebenarnya ia merupakan antara informasi yang berguna buat kaki pancing kerana dengan mengetahuinya, ia dapat membuatkan pemancing lebih bersedia untuk bertarung dengan spesies bersengat ini.
Sebagai contoh, apabila anda berjaya mendaratkan pari jantan, anda boleh bersedia untuk membaling di lokasi yang hampir sama dengan tempat anda mendapat pari jantan itu.
Ini kerana kebiasaannya, pari jantan dan betina akan selalu berada di posisi yang berhampiran antara satu sama lain.
Bersiap sedialah untuk mengalami pertarungan yang sengit apabila si betina menjamah umpan kerana kebiasaannya ikan pari betina lebih besar dari yang jantan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...