Tatacara Terbaik Mancing Kolam Berbayar!!

Share

 

Berkenalan dengan keadaan dan situasi kolam terlebih dahulu. Kalau bertanya terus pada pengusaha dan pekerja kolam pun bagus juga. Ketahui port strategik, umpan dan teknik yang digunakan kerana lain kolam lain umpannya.

 

Ambil tahu juga jenis-jenis ikan yang ada di dalam kolam. Ini penting untuk mengetahui teknik dan persembahan umpan yang betul.

Selain itu tanya juga jadual pelepasan ikan bagi mengelak daripada silap umpan dan kumpau kerana ikan tak buka mulut. Terutamanya jika ia adalah kolam rohu.

 

 

Patuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengusaha kolam. Terutamanya jumlah penggunaan mata kail bagi mengelak daripada putih mata kerana ikan yang diperoleh tidak layak disenaraikan dalam ranking jackpot.

 

Pastikan juga set pancing yang digunakan adalah bersesuaian dengan saiz ikan yang terdapat di dalam kolam bagi mengelakkan kes melayan ikan terlalu lama sehingga mengganggu pemancing lain. Dan lebih penting lagi ikan yang dipancing berjaya didaratkan dengan sempurna.

 

 

Elakkan membaling umpan secara menyilang kerana tidak semua kaki kolam bersifat mesra, bahkan ramai otai kolam yang bersifat ala-ala KL Gangster.

 

Sebaiknya guna pancang yang sesuai dan pastikan drag pancing telah dilonggarkan sebelum duduk bersantai menunggu umpan dimakan ikan bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian pancing terbang ke dalam kolam.

 

Sentiasa peka pada aktiviti memancing di kolam terutama bila pemancing lain sedang menarik ikan. Beri kerjasama untuk mengelakkan tali pancing bersilang atau menyentap tali pancing pemancing yang sedang melayan ikan.

 

 

Sekiranya giliran kita pacak dan bertarung dengan ikan, usah segan untuk bersuara sebagai isyarat kepada pemancing agar tidak menyentap tali pancing kita sekaligus menyebabkan ia putus, ikan terlepas an kita berputih mata.

 

Saling tolong menolong. Sekiranya pemancing di sebelah menaikkan ikan, tolonglah tangguk kerana kita juga akan diberi pertolongan jika bertarung dengan ikan nanti.

 

 

Cubalah bertegur dengan pemancing lain yang sudah biasa memancing di kolam tersebut. Ia amat penting sekiranya anda terus membangau setiap kali memancing di kolam tersebut.

 

Published by
Amang