Sebelum jam 7.00 pagi lagi, sudah ramai pengilat yang hadir untuk mendaftar serta mencari spot yang sesuai untuk mengilat.
Pertandingan Tanjung QueenFish Battle 2019 (TQFB) yang dilangsungkan pada Jumaat lalu di muara sungai Terengganu ini merupakan pertandingan khusus teknik mengilat atau
casting dimulakan tepat jam 7.30 pagi menyaksikan hampir 70 orang peserta mengambil bahagian dalam pertandingan tahunan ini.
Ikan talang pertama yang berjaya didaratkan seberat 4.25kg oleh Syamsuri Mustafa secara tidak langsung berjaya menobatkan beliau sebagai juara TQFB 2019.
Sementara Wedy berjaya menduduki di tempat kedua setelah menaikkan seekor anak gerepoh atau GT berskala saiz 0.75kg.
Ads
Sesuatu yang menarik dan dikemaskini dalam pertandingan kali ini ialah ia bukan sahaja mensasarkan ikan talang sahaja, tetapi juga ikan-ikan lain selain talang dengan syarat menggunakan teknik mengilat.
Komitmen dari pihak penganjur, Tanjung Anglers Fish Hunter (TAFH) juga sangat membanggakan dan harus dipuji kerana penganjuran kali ini tidak menetapkan syarat yang ketat.
Ia lebih kepada konsep santai sahabat dan Ukhwah. Malah petugas dari kalangan ahli TAFH sangat menitikberatkan aspek keselamatan dan kebersihan.
Ads
Selain itu pihak penganjur juga menyediakan sarapan pagi kepada peserta… terbaik TAFH!
Walaupun ramai pengilat yang `kumpau’ namun mereka tidak pulang dengan kecewa atau tangan kosong kerana pihak penganjur turut menyediakan sedikit kejutan di mana
kesemua peserta yang bertanding mendapat cabutan bertuah yang disediakan hasil sumbangan dari kedai-kedai pancing dan sumbangan persendirian serta juga dari pihak pengurusan TAFH sendiri.
Ads
Paling istimewa apabila ia turut berjaya menarik ramai otai mengilat menyertai pertandingan ini.
Malah penampilan dari tuan pengerusi AMCT (Azri Ngah) sendiri sebagai peserta sangat memeriahkan pertandingan.
Diharap pada tahun hadapan lebih ramai lagi pengilat yang tampil dalam pertandingan yang sangat berkonsepkan Ukhwah ini… jumpa di TQFB 2020!
(GALERI)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Bagi kaki pancing, Taman Negeri Royal Belum di Perak dikenali sebagai lokasi memancing popular. Hakikatnya banyak lagi tempat menarik di sini.
Santuari Ikan Royal Belum
Projek terbaru yang telah dihasilkan oleh penduduk orang asli di Kampung Sungai Tiang. Antara jenis ikan yang terdapat di santuari ini adalah ikan kelah dan tengas. Projek ini diadakan adalah untuk membantu kesinambungan spesies ikan asli di Negeri Perak
Selain itu, projek ternakan ikan ini juga berpotensi menjadi sebagai pusat pembelajaran dimana terdapat spesies-spesies ternakan dan pertanian yang agak asing di persekitarannya.
Perkampungan Orang Asli Jahai
Orang Asli Jahai, adalah masyarakat peribumi yang mendiami kawasan persekitaran Royal Belum dan daerah Hulu Perak yang lain. Bahkan suku Jahai juga terdapat di sekitar daerah Jeli, Kelantan.
Ia terletak tidak jauh dari Kem Pelancongan Sungai Tiang dan tujuan ia dibina bertujuan untuk memperkenalkan dengan lebih dekat lagi kehidupan Orang Asli Jahai kepada pengunjung dan para pelancong.
Perkampungan ini telah ditenggelami banjir besar pada musim tengkujuh lalu dan dibina semula oleh pihak Koridor Utara Malaysia (NCIA).
Kem Pelancongan Sungai Tiang Sungai Tiang, antara kem pelancongan yang sering menjadi pilihan bagi pengunjung yang ingin menikmati suasana dan pemandangan panorama hutan hujan tropika yang berusia lebih 130 juta tahun.
Di sini terdapat pelbagai kemudahan disediakan antaranya chalet, tapak perkhemahan, surau, bilik air yang lengkap dan generator pada waktu malam.
Sebuah pejabat renjer PTNP turut ditempatkan di sini. Bagi kaki pancing, campsite Sungai Tiang antara yang sering menjadi pilihan sekiranya mengambil pakej boating memancing di sekitar Sungai Tiang.
Sira Sungai Papan
Selain Kem Sungai Tiang, di Sungai Papan juga terdapat sebuah kem yang kini telah dinaik taraf. Tiada lagi nama Teratak Kijang merujuk kepada teratak lama yang pernah penulis kunjungi dahulu.
Di sini, terdapat dua buah jambatan gantung dibina bagi menghubungkan dengan daratan berhadapan Kem Sungai Papan.
Bagi yang belum mengetahui, tidak jauh dari jambatan gantung ini di sini terdapat sira atau batu mineral yang kerap dikunjungi oleh binatang liar seperti rusa, kijang, kancil dan haiwan lain.
Batuan yang mengandungi mineral berkhasiat akan dijilat oleh binatang-binatang ini bertujuan untuk kesihatan. Tidak dibenarkan berkunjung ke sini tanpa pengawasan pihak renjer bagi tujuan keselamatan.
Air Terjun Kooi
Tidak jauh dari Kem Pelancongan Sungai Tiang, terdapat air terjun yang tidak kurang hebatnya. Untuk sampai ke sini, perlu berjalan kaki merentas denai sekitar 15 minit.
Sebelum sampai, pengunjung bakal mengenal nama pokok-pokok yang melatari sisi kiri dan kanan denai. Air Terjun Kooi, tingginya sekitar 40meter, yang mana pengunjung akan dihujani tempias air dan deruan angin yang terbentuk dari ketinggiannya.
Untuk merasai kesejukan air ini, jangan lepaskan peluang untuk mandi di bawahnya. Bagi yang teruja untuk melihat bunga rafflesia atau pakma Royal Belum, tidak jauh dari air terjun ini, adalah lokasinya.
Anda perlu mendaki sekitar 10-15 minit lagi dan jika bernasib baik ketika kunjungan anda, pasti boleh melihat sendiri bunga terbesar di dunia ini ketika sedang kembang.
Di Royal Belum, terdapat tiga spesies bunga rafflesia iaitu, Rafflesia kerrii, Rafflesia cantleyi dan Rafflesia azlanii yang dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Kisah tular seorang individu yang telah jatuh sakit akibat terkena sengatan ulat bulu laut di Port Dickson, Negeri Sembilan tahun lalu yang dianggap palsu oleh Jabatan Perikanan,
nampaknya kembali tular apabila seorang individu di Tumpat, Kelantan mendakwa penyakit yang dideritainya itu berpunca daripada sengatan ulat bulu laut.
Berikut merupakan petikan berita yang disiarkan di portal Sinar Harian, kelmarin:
Penyakit yang dihidapi tukang rumah ini didakwa terkena sengatan ulat bulu laut menyebabkan isi daging di kakinya luruh dan bernanah.
Sejak itu, Hamizi Hamzah, 39, di kampung Telaga Lanas di sini terpaksa menahan sakit kanan yang berdenyut, membengkak serta Nampak tulang.
Hamizi berkata, tiada pilihan lain dan doctor sarankan agar kakinya dipotong.
“Ini dugaan saya, saya mohon orang yang tahu rawatan terbaik penyakit ini boleh membantu saya, saya terkena ulat bulu laut ketika mencari tiram dua bulan lalu.
“Saya tiada penyakit kencing manis,” katanya ketika diziarahi Adun Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.
Menceritakan kejadian itu. Hamizi turun ke lagun di Kampung Jubakar Pantai mencari tiram untuk makan malam keluarganya.
Dia yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, ketika di dalam air separas dada, dia merasakan seperti ada anak ikan bermain-main di kakinya.
“Tiga jam saya berada dalam air lagun itu mencari tiram, banyak kali jugalah saya rasa seperti akan ikan merayap di kaki tetapi saya tak syak apa-apa, lagi pun saya pakai stoking,” katanya.
Menurutnya, selepas naik ke darat, tiada apa-apa yang pelik di kakinya namun keesokan harinya ada keluar bisa di parut lama di jari kaki.
“Kaki saya tiba-tiba menjadi lebam keniruan, semakin membengkak dan terus dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)’” katanya.
“Saya terpaksa membonceng motosikal dengan kaki Nampak isi daging untuk ke hospital.”
Menurutnya, dia hilang punca pendapatan sedangkan perlu menanggung tiga agak yang masih bersekolah dan sewa rumah RM120 sebulan serta ansuran motosikal.
Katanya, makan minum keluarganya kini hanya mengharapkan sedekah orang ramai yang dating menziarahinya kerana isteri tidak bekerja.
Jika benar penyakit ini berpunca daripada ulat bulu laut, maka pemancing harus berhati-hati setiap kali memancing di pesisir pantai.
Tanggal 1 hari bulan dipilih kerana dikatakan waktu air besar, iaitu masa terbaik memancing di Kelong Pozi. Tentu saja target spesies adalah jenahak atau jenak, yang sememangnya menjadi buruan utama setiap pemancing yang menyewa Kelong Pozi.
Tiba di kelong, air sudah pun bergerak pasang dan akan pasang penuh sekitar jam 8.00 malam. Jika menurut jadual penilaian pengalaman Cikgu Sabri, umpan hidup agak sukar diperoleh pada waktu petang dan ikan besar akan membedal umpan pada waktu air pasang penuh.
Terbukti aktiviti apollo mencari umpan tamban tidak banyak membuahkan hasil. Namun dalam proses mencari tamban dan selar ini, seekor sotong mengabang dan cumit menyerah diri. Tersangkut pada mata kail ketika cuba mencuri tamban.
Umpan bonus yang akan digunakan untuk memburu jenahak ketika air pasang penuh nanti. Sepanjang proses mencari umpan hidup hingga ke senja itu penulis masih ragu-ragu dengan cerita-cerita yang dicanang oleh Cikgu.
Ada ke jenahak atau ikan-ikan target di persekitaran kelong berair cetek. Malah henjut sikit saja pun dah kelihatan mata-mata apollo.
Cikgu mengambil inisiatif dengan menyediakan perambut bagi setiap joran yang ada dan melontar umpan ke spot-spot pilihannya. Ekoran semua joran digunakan untuk memburu ikan-ikan target menggunakan umpan hidup, timbul pulak rasa bosan duduk menunggu saja.
Nak layan ikan-ikan kecil seperti gelama atau gerut-gerut, menurut Cikgu gelama memang jarang sangat masuk ke kawasan kelong.
Akhirnya sekitar jam 8.00 lebih, secara diam-diam cikgu menaikkan seekor pari karang berskala lebih 1 kilogram. Sekaligus membuktikan teluk berair cetek dipenuhi karang itu masih didiami ikan-ikan karang yang perlu ke laut lepas jika untuk memburunya.
Sekitar jam 10.00 malam tatkala air pasang perlahan-lahan bergerak surut, joran sepanjang 17 kaki milik Cikgu yang terikat kemas pada pagar kelong, betul-betul di hadapan Faiz direntap kasar hingga terlambung dan menghentak lantai kelong.
Berumpankan seekor sotong mengabang hidup, memang tidak syak lagi target spesies sudah mengena!
Memang rezeki Faiz untuk merasa tarikan ganas sang jenahak. Dan sememangnya dapat merasakan tarikan sajalah kerana ia berakhir dengan rabut.
Arus yang sedikit laju pada awal pagi, penulis ambil kesempatan untuk mencuba drift selar hidup. Geram juga tengok alu-alu yang berlegar di keliling kelong. Sambil mengunjun apollo di bahagian belakang kelong, tiba-tiba alarm Penn 940 levelmatic yang dipacak di bahagian hadapan kelong menjerit panjang.
Hampir ¾ tali berjaya dibawa keluar oleh sang todak berskala lebih 2 kilogram yang pada awalnya penulis sangkakan alu-alu. Jenuh jugalah penulis mengarau multiplayer ratio rendah itu menarik sang todak hingga ke tangga kelong.
Pagi hari kedua ini juga Rahman dan 2 orang adiknya, yang merupakan regular anglers di Kelong Pozi dan gemar memancing todak, tiba untuk menyertai kami.
Tidak menunggu lama, Rahman memperbaharui lesen jenahaknya berumpankan tamban hidup. Sementara adik-adiknya pula mempamerkan skill dan teknik memancing ikan-ikan kecil seperti jenjulung, todak dan bebolos.
Menjelang tengah hari, ketika sedang asyik menghanyutkan tamban hidup melalui teknik drift, salah satu joran Faiz berumpankan selar hidup melendut dan tali ditarik keluar dengan laju. Pantas penulis sambar dan melayan hingga mangsa mendedahkan identitinya.
“Gubal!” Jerit Cikgu.
Namun dalam kekalutan mengheretnya ke dalam tangguk, senangin bersaiz besar itu berjaya meloloskan diri juga. Melihat senangin bersaiz besar atau gubal itu longkos hanya beberapa jengkal dari mulut tangguk, bukanlah satu insiden yang manis untuk dikenang.
Setelah sepi buat seketika dan air mula bergerak pasang, umpan udang hidup yang dihulurkan oleh Cikgu berhampiran tiang kelong, disambar sesuatu dan memecut laju menjauhi kelong.
Pengalaman Cikgu ditagih bagi mengendali larian ikan yang belum dikenal pasti jenisnya. Terutamanya apabila ikan itu cuba meloloskan diri dengan memasuki bahagian bawah kelong.
Apabila sang mangsa sekilas memperlihatkan belangnya di permukaan air, tekanan terus diberikan dari memasuki bawah kelong sehinggalah selamat masuk ke dalam tangguk. Gerong belang berskala 2.5 kilogram menjadi penyelamat trip ini.
Trip Repeat!
Kegagalan memperolehi lesen jenahak, mendesak penulis untuk buat come back. Hanya bertemankan rakan Fitri, dan Cikgu pula hanya dapat sertai pada lewat petang, trip kedua ini penulis sediakan sendiri segala kelengkapan termasuklah udang hidup dan sedikit cumit segar sebagai umpan tambahan.
Tepat jam 12.30 tengah hari penulis dan Fitri sudah terpacak di atas kelong yang kosong dan lapang. Mujur juga boatman, Jawe, yang sememangnya ringan tulang membantu itu dan ini.
Ternyata tamban sukar untuk diperoleh pada kali ini. Jenuh tangan menghenjut apollo namun seekor tamban pun tak lekat. Hanya selar kuning saja yang berjaya diperolehi. udahnya, semua pancing dilabuhkan menggunakan umpan udang hidup dan cumit segar ke spot yang berpotensi.
Tidak lama selepas itu, Fitri berjaya menaikkan seekor pari bintik berumpankan cumit segar berdekatan dengan tangga kelong. Kemudian seekor dengkis juga beliau berjaya naikkan berumpankan sotong hidup. Udang hidup dan selar kuning langsung tidak diusik.
Kehadiran Cikgu bersama 4 orang pemancing pada lewat senja, yang memperbanyakkan lagi umpan dihulurkan ke dalam air juga gagal mendaratkan ikan sasaran. Hanya ketika dinihari, menghampiri jam 2 pagi, tali pancing milik penulis kelihatan kendur dan hanyut menghampiri kelong.
Apabila digulung dan ditegangkan, jelas terasa ada sesuatu yang mengena dan memberikan tentangan kuat. Pecutannya ke arah kelong segera disekat dan akhirnya berjaya dinaikkan ke kelong. Lesen!
Akhirnya penulis berjaya juga memperolehi lesen jenahak di Kelong Pozi. Sebelum angin kencang dan hujan lebat turun, seekor jenahak berstatus ‘sunti’ di port yang sama berjaya penulis naikkan.
Siang hari pada hari kedua trip kedua, mungkin diperolehi ribut dan hujan lebat, suasana di kelong bertukar sepi ekoran tiada siapa yang berjaya menaikkan ikan.
Hanya menjelang tengah hari sebelum penulis mengambil keputusan untuk menamatkan trip, barulah ada yang berjaya menaikkan senangin dan baji. Yang pasti, Kelong Pozi telah didirikan untuk memperbaharui lesen jenahak yang lebih besar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...