Taktikal Memancing Ikan Siakap!!

Share

 

Ikan siakap memiliki deria pendengaran yang sensitif dan peka pada keadaan sekeliling.

Biasanya apabila satu kelompok siakap ditemui pada kedalaman 30 hingga 60 kaki di permukaan dasar, ketua keluarga yang paling besar akan datang meninjau dahulu tempat datangnya bunyi, selepas itu yang nombor dua dan seterusnya.

 

Siakap putih adalah ikan pemangsa yang biasanya mengendap mangsanya dahulu sebelum menerkam.

Mangsa akan disedut masuk (siakap tidak memiliki gigi) ke dalam rahang sebelum ditelan.

 

Ia memiliki keupayaan meludah mangsa jika mengetahui bahaya wujud di sekeliling (sentapan yang terlalu cepat oleh pemancing).

Menyedari bahaya, siakap putih bertindak menghembur ke udara dan ketika ini ia akan melibas kepala agar tali pancing yang kendur terkena pada pipi tajam umpama pisau cukur.

Pipi tajam ini adalah senjata yang ramai pemancing tidak menyedari kelebihan yang dimiliki oleh ikan yang bersisik perak ini.

 

Umpan dan Peralatan

 

Ikan belanak sering dikaitkan dengan siakap putih kerana ia adalah ikan mangsa yang sama-sama mendiami kawasan muara atau anak sungai paya bakau.

Ia adalah sumber utama diet siakap putih. Udang hidup, beliak mata, selangat, kedera, bilis air dan jenis-jenis ikan kecil yang turut mendiami muara dan anak sungai juga sesuai dijadikan umpan.

Selain itu ikan tamban, selayang dan kembong menjadi pilihan alternatif jika jenis-jenis umpan di atas sukar didapati.

 

Gewang menjadi salah satu teknik memancing yang cukup popular mengendap siakap putih.

Yang rumit sedikit ialah jenis dan corak warna yang banyak mempengaruhi sentapan ke atas gewang.

 

Yang paling banyak digunakan ialah gewang jenama Halco Sorcerer, Nils Master, Rebel Fast-Trap, Rapala Magnum, Yozuri dan lain-lain jenama.

Kesemua gewang pilihan kebanyakan mempunyai kombinasi warna biru atau hijau belang putih dan setengahnya coklat belang turut menjadi pilihan.

 

Teknik gewang menjadi pilihan utama kebanyakan pemburu siakap putih kerana kadar sentapan lebih tinggi berbanding yang mengunakan umpan.

Pemangsa yang besar kerap dipancing dengan teknik ini. Pengunaan plastik lembut (soft plastic) banyak dipratikkan di kolam kormesil yang tidak di bincangkan dalam pemburuan siakap putih liar.

Namun kini ia semakin digunakan secara meluas di kawasan-kawasan siakap liar.

 

Masa

 

Yang menarik mengenai sikap siakap ialah ketia ia merembat umpan. Umumnya siakap putih gemar memburu awal pagi dan lewat petang sahaja.

Kawasan pilihan ialah tepi-tepi pokok bakau, sekitar ranting pokok yang tumbang ke air, kawasan reba, benteng, sangkar peliharaan ikan dan tepi jeti jambatan atau dermaga.

 

Peluang lebih cerah jika masa tersebut berlakunya pergerakan air pasang atau air penuh. Musim yang terbanyak siakap liar dipancing ialah dari hujung April hingga Jun.

Bulan Mei adalah paling banyak ikan ini dipancing kerana pada masa ini ia kuat makan sebelum musim bertelur pada September.

 

Malam hari ia gemar mendiami kawasan seperti tepi-tepi tiang jeti atau tiang jambatan yang banyak terdapat merentangi sungaai di negara kita.

Jika di perhatikan dengan teliti dari atas jambatan kadangkala anda akan nampak objek hitam kaku di tepi tiang seperti hanyut.

 

Sekali sekala baru terserlah kilauan sisik perak apabila ia menyerang mangsa atau melakukan pergerakan badan.

Masalahnya ramai yang baru menyedari objek yang dilihat adalah siakap kecuali mereka yang biasa kerja-kerja mengendap siakap bermain di tepi jeti pada malam hari.

(Oleh: Pokmuds)

 

Published by
Amang