Ikan layaran menjadikan ikan kecil dan sotong sebagai diet utama. Ikan layaran biasanya boleh ditemui di permukaan air secara berkumpulan ketika memburu mangsanya. Biasanya spesies ini menggunakan kelajuan renangan dan paruhnya ketika memburu kawanan ikan kecil atau sotong.
Ketika memburu, sirip atau layar ikan layaran akan dinaikkan dan mengembang bagi mengekalkan mangsanya dalam kawanan. Selain itu, layar pada badannya akan diturunkan ketika berenang dalam keadaan normal. Namun jika terasa dirinya terancam atau memburu, layar ini dibuka menjadikan ia kelihatan lebih besar daripada biasa.
Dalam konteks pancingan sukan, ikan layaran merupakan antara ikan berparuh yang bernilai tinggi dan digelar ikan trofi. Ikan ini dianggap ikan trofi kerana kelajuan renangannya. Kemampuan memecut sehingga 100 meter dalam masa 4.8 saat membuatkan ramai pemancing mahu merasakan penangan raja pecut lautan ini.
Selain itu, ketika melarikan mata kail, ikan layaran berkemampuan membuat aksi lompatan akrobatiknya ketika pertarungan. Aksi akrobatiknya kelihatan seolah-olah ikan ini menari-nari di permukaan air. Layarnya yang terbuka ketika bertarung menambahkan lagi keterujaan kepada pemancing.
Ikan layaran tidak mendapat permintaan tinggi sebagai makanan, mungkin kerana rasa dagingnya yang kurang sedap dan agak liat. Begitu pun, terdapat juga permintaan sebagai sushi dan sashimi dalam peratusan yang kecil di beberapa buah negara. Populasi ikan layaran dalam keadaan stabil dan tidak ada status khas yang kritikal bagi spesies ini.
PANCINGAN IKAN LAYARAN
Di Malaysia, lokasi terbaik bagi mendaratkan ikan layaran ialah di Kuala Rompin, Pahang. Lokasi ini menjadi persinggahan spesies migrasi ini sekitar bulan Ogos sehingga Oktober. Dengan adanya acara tahunan iaitu Royal Pahang Billfish Challenge, Rompin menjadi tarikan pemancing sukan dalam dan luar negara.
Ikan layaran biasanya berenang dan memburu ikan kecil di permukaan air. Ketika memburu ikan layaran, antara tip mengenal pasti lokasi berlabuh ialah dengan melihat kehadiran burung-burung laut. Biasanya burung akan berlegar di kawasan yang mempunyai ikan kecil dan ikan-ikan kecil ini juga biasanya menjadi tarikan untuk ikan layaran.
Umpan yang sering digunakan pula ialah umpan hidup seperti kembung, tamban dan selar malah ikan kerisi juga boleh digunakan. Selain itu, kaedah trolling atau menunda juga boleh menjerat layaran namun penggunaan umpan hidup dianggap terbaik di Rompin.
Memandangkan ikan layaran memburu di permukaan, teknik terbaik pancingan ikan layaran adalah teknik drift dan juga teknik belon. Penggunaan mata kail jenis circle hook merupakan paling efektif kerana fizikal mulutnya yang berparuh selain mengurangkan risiko tertelan dan akibatkan kecederaan.
Pertarungan antara pemancing dan ikan layaran mampu mencecah sehingga sejam bergantung kepada saiznya. Biasanya, pemancing akan terpaksa menahan rod ketika layaran memecut laju. Layaran yang memecut laju sukar dihentikan dan saat layaran melompat keluar merupakan saat yang paling mudah terlepas kerana ia akan cuba menanggalkan mata kail dengan melibas-libas kepalanya.
Walaupun mempunyai daya pecutan yang mengagumkan, ikan layaran biasanya dilepaskan kembali dengan cepat. Ikan layaran yang dipancing mudah mati jika lambat dilepaskan kerana kehabisan tenaga selepas pertarungan selain kecederaan akibat mata kail.
Jika ikan layaran yang dipancing kelihatan lemah, pemancing harus menolak ke depan dan ke belakang seketika ikan tersebut di dalam air. Jika dilepaskan dan ikan layaran itu kelihatan dalam posisi terbalik di mana bahagian perutnya ke atas, risiko kematian ikan itu sangat tinggi.