Ads
Home Berita Taktik & Teknik Menotok Perairan Port Kelang !!

Taktik & Teknik Menotok Perairan Port Kelang !!

Ads

 

Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung.

Biasanya kita akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.

Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal.

 

Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.

Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.

 

Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.

Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.

Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.

Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.

 

Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.

Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah. Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal.

Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.

 

Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas.

Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.

Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.

 

Ads
Taktik & Teknik Menotok Perairan Port Kelang !!
laluan kapal-kapal barang

 

Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi.

Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb. Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.

Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.

 

Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup. Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok.

Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik. Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.

 

Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.

Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut.

Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.

Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya.

 

Ads
Taktik & Teknik Menotok Perairan Port Kelang !!
umpan udang lipan

 

Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.

Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!

Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.

Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.

 

Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.

Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.

Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.

 

Taktik & Teknik Menotok Perairan Port Kelang !!
pengunaan kekili eletrik lebih praktikal

 

Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.

Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.

Ads

Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.

Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.

Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.

 

Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.

Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.

Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.

 

Taktik & Teknik Menotok Perairan Port Kelang !!
misi yang sempurna

 

Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.

Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.

Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.

Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.

Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah. Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.

 

Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.

Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.

Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai.

Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI