Taktik & Teknik Memancing Pacu *

Share

Memancing spesies pacu mampu mendatangkan debaran yang agak mengujakan. Rata-rata pemancing di Malaysia mengetahui akan kelebihan tersendiri bagi spesies ini. Kerakusan dalam melarikan umpan serta pecutan berkuasa tinggi spesies ini mampu menghadirkan kepuasan yang tdak terhingga kepada pemancing, malah tidak kurang juga mendatangkan kehampaan bagi pemancing yang memandang remeh akan spesies ini.

Antara lokasi terbaik memancing pacu ialah di kawasan empangan yang agak cetek, kawasan lombong serta kawasan tadahan hujan yang berarus perlahan. Selain itu, pengusaha kolam-kolam pancing air tawar komersial juga menjadikan pacu antara spesies yang mesti ada di dalam kolam mereka. Kelebihan utama pada spesies pacu ialah kerakusan ketikan memakan umpan lantas akan membuat pecutan yang deras.

Penggunaan rod ringan akan memberikan debaran tatkala melihat rod yang melengkung serta kekili anda menjerit biarpun drag dikunci ketat.

 

Perlawanan dengan spesies pacu atau tambaqui ini lebih terbuka. Pemancing harus tahu kelebihan yang dimiliki oleh pacu iaitu kekuatan pecutannya serta giginya yang tajam di mana sering kali memutuskan perambut. Ketika dalam pertarungan, pacu gemar menghenjut rod anda dan melakukan pecutan berkuasa ke arah kawasan tebing yang mempunyai struktur seperti kayu mati. Namun, oleh kerana habitat pacu biasanya kawasan berair cetek, penggunaan kekuatan drag dan rod yang betul mampu mengekang situasi ini.

Begitupun, pacu masih mempunyai kelebihan pada keupayaan giginya untuk memutuskan perambut anda. Perambut kekuatan 30lb biasanya mudah sahaja diputuskan oleh seekor pacu bersaiz 1 kg. Jadi pastikan anda menggunakan perambut yang bersesuaian dengan keadaan padang pancing anda.

Selain itu, untuk mendapatkan sedikit kelebihan dalam menangani kelebihan gigi pada seekor pacu ialah anda menggunakan mata kail yang mempunyai shank yang panjang. Shank yang panjang sedikit sebanyak mengurangkan peratus gigi pacu berada pada perambut anda, sebaliknya akan berada pada shank mata kail anda ketikan tertancap pada mulut pacu, seterusnya mengurangkan kadar tali perambut anda diputuskan oleh spesies rakus ini.

Pacu juga menjadi antara spesies ikan yang digemari oleh kaki pancing layang. Aksi rakusnya setelah membaham fly yang dilontarkan memberikan kepuasan yang sukar digambarkan.

 

UMPAN DAN TEKNIK UMPAN MEMANCING PACU

 

Antara faktor penting dalam memancing ialah pengaturan umpan anda. Dalam memancing spesies pacu pula, tidak terlalu sukar dalam mengatur langkah menyediakan umpan kerana spesies ini merupakan spesies maserba yang memakan apa sahaja.

Bagi pacu bersaiz kecil, umpan cacing yang merupakan antara umpan terbaik. Pacu yang bersaiz kecil cukup gemar meratah umpan cacing yang juga menjadi umpan universal di kalangan kaki pancing. Selain cacing, umpan organ dalaman haiwan seperti perut dan hati ayam juga merupakan umpan yang terbaik untuk memancing pacu. Kulit dan lemak ayam juga boleh digunakan dan tidak mustahil mampu menggoda pacu bersaiz besar.

Selain itu, udang yang dikopek kulit juga antara menu umpan yang anda boleh cuba. Udang kopek yang dicangkuk seekor pada mata kail juga mudah untuk menarik perhatian si peragut rakus ini.

 

antara gewang yang sesuai untuk casting pacu

Umpan dedak, pellet atau roti pula merupakan alternatif lain yang anda boleh gunakan. Kebiasaannya umpan sebegini perlu ‘dirasuah’ terlebih dahulu untuk menarik perhatian sebelum umpan sebenar dilontarkan.

Teknik umpan bagi memancing pacu pula tidak sukar. Anda boleh menggunakan teknik pelampung, teknik dasar atau separa air bergantung kepada situasi padang pancing anda. Biasanya teknik pelampung lebih berkesan dengan umpan perut atau kulit ayam, pellet dan

roti manakala teknik dasar lebih tertumpu kepada umpan hati ayam dan cacing. Apa pun bergantung kepada usaha anda dan keadaan padang pancing, sedikit pemerhatian pasti akan membantu anda dalam pemilihan umpan dan teknik yang perlu digunakan. Jangan lupa untuk sering bersedia ketika si peragut akuatik ini melarikan umpan anda.

 

 

Published by
Amang