Walaupun GB membesar pada skala maksimum 15 kg namun saiz purata tangkapan di negara ialah 3kg hingga 8 kg. Pada angka 5kg sudah dianggap bapak GB.
Ia kuat menekan ke bawah joran dan melarikan sejauh mungkin apabila tersangkut mata kail. Anda akan lihat betapa peritnya kekili diasak.
Waktu ini kita perlu memberi dahulu dan melayan seketika kerana tanaga GB masih kuat. Karau masuk tali sebaik sahaja ia berpatah balik dan beri semula apabila ia menekan semula.
Mainkan ia sehingga letih atau kita yang letih dahulu, tengok siapa yang kuat.
GB biasanya bertahan di pertengahan air, amat jarang menjerumuskan diri ke celah karang kecuali struktur halangan yang tinggi di dalam air.
GB bersifat kumpulan dan banyak mendiami pertengahan air dari 3 hingga 10 depa dari dasar bergantung kepada kedalaman air.
Jadi umpan dasar kurang menjadi kecuali kedalaman air kurang dari 40 kaki. Gantung sedikit umpan sebaik sahaja ia mencecah dasar. Umpan jarang digigit atau digonggong.
Lazimnya GB akan menyedut umpan ke dalam mulut kemuadian ditelannya. Ia bukan ikan bermulut luas seperti kerapu, saiz umpan jangan terlalu besar dari kemampuannya untuk menelan.
Bilis sememangnya dikenali penjerat utama GB kerana ia merupakan diet utama ikan trevally.
Selain bilis menjadi senarai utama, anak tamban hidup, udang hidup, anak ikan kekunyit, anak selar, anak kembung dan anak selar kuning berada dalam senarai altenatif dijadikan umpan.
Bagaimanapun hirisan ikan mati, sotong dan udang menjadi pilihan terakhir jika bilis atau umpan hidup sukar diperolehi.
Jika tiada unjang untuk mendapatkan anak ikan pelagik kecil, apollo boleh digunakan untuk mendapatkan anak ikan kunyit.
Cangkuk sedikit hirisan ikan pada mata kail, labuhkan ke dasar. Tunggu getuan kecil macam biasa kita memancing ikan kecil.
Jika berjaya menawan anak kunyit kecil kurang dari 2 jari sudah dikira cun sebagai umpan hidup menjerat GB. Anak kunyit selain GB, kerapu, haruan tasik, tenuk dan pemangsa lain turut menggemarinya.
baca juga gulai meletop gerong belang
Pemancing bijak akan menilai kedalaman air semasa melabuhkan umpan. Selain umpan dinaikkan ke atas sedikit, pelbagai kedalaman air dicuba sehingga ada sentapan.
Angkat sedepa, dua, tiga hingga berterusan menantikan umpan ditemui pemangsa yang diburu. Sekiranya air berarus sederhana guna pemberat kecil atau batu hidup.
Tunggu jika ada GB lalu rembat umpan. Saat yang dinantikan oleh semua pemancing pasti akan menjadi kenyataan sebaik sahaja joran melentur disusuli desingan kekili!
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan