Taktik Dan Umpan Terbaik Pancingan Kelong

Share

 

Sekiranya ingin menjadikan ikan pemangsa bergigi tajam seperti alu-alu dan tenggiri, disyorkan penggunaan perambut dawai nylon coated wire 20lb sepanjang sejengkal untuk mengikat mata kail saiz 1 atau 2 yang disambung dengan tangsi 30lb semeter untuk umpan tamban.

 

Sekiranya todak atau talang pandan dijadikan umpan. Sekiranya todak atau talang pandang dijadikan umpan, gunakan mata kail saiz 5 atau 6, diikat dawai 49 strand 60lb yang disambung tangsi 60lb sebagai insuran.

 

 

Beberapa kes putus semasa mengunakan perambut tangsi 70lb dan tali sulam setebal 100lb tanpa dawai. Jadi lebih baik bersedia sebelum berputih mata.

 

Kaedah pancingan dasar pula biasanya dipraktikkan pada waktu malam. Spesies yang dicari seperti tetanda, jenahak, pari, gerut-gerut dan siakap. Sotong hidup yang ditangguk di bawah kelong merupakan umpan pembunuh untuk jenahak dan tetanda.

 

Sekiranya sotong tiada, tamban hidup masih boleh dijadikan alternatif yang kadang kala mampu menjerat senangin dan alu-alu. Perambut pula sama seperti yang digunakan untuk memancing pari.

 

 

Jika menggunakan tamban hidup, selek-eloknya mata kail dicangkuk di bahagian bawah selari dengan siri atas tamban dan pastikan mata kail mengenai garisan kuning pada badan ikan.

 

Itu penting untuk memastikan umpan tidak terlucut semasa membuat balingan kerana batu ladung biasanya dari saiz 5 ke 8. Spesies pari pula biasanya dipancing menggunakan potongan ikan tamban dan udang hidup.

 

 

Manakala umpun-umpun pula boleh menghasilkan gerut-gerut, sembilang, ketuka dan beberapa spesies dasar yang biasa hidup di perairan pesisir. Siakap paling dicari pemancing di kebanyakan kelong. Pemburuan biasanya dilakukan dengan kaedah koyan pada waktu malam.

 

Koyan ini memerlukan tangsi setebal 300lb sebagai tali utama, dawai 49 strand setebal 100lb sebagai perambut, mata kail saiz 8 atau 9 dari jenis yang tebal dan ladung saiz 18 ke 24 sebagai pemberat.

 

 

Kaedah ini hanya digunakan dicelah-celah tiang kelong yang berpotensi sebagai kawasan laluan siakap dengan konsep kasar lawan kasar. Ikan yang terkena koyan perlu ditarik secara kasar dan seseorang perlu turun ke bawah untuk menangguk ikan.

 

Siakap bawah 5 kg kurang memberi masalah tetapi sekiranya kena yang melebihi 5kg, kita perlu pandai mengendalikan koyan kerana kesilapan mampu mencederakan tangan. Umpan terbaik adalah udang hidup dan ikan jenjulung atau tamban boleh dijadikan alternatif.

 

 

Teknik koyan sangat mudah. Perambut perlulah disediakan dahulu sepanjang 1 atau 2 kaki sahaja. Sekiranya lebih panjang, ikan akan melilit tali koyan pada tiang kelong untuk melepaskan diri.

 

Perambut kemudian dipasang pada tali koyan dan hujung tali koyan dipasang batu ladung. Pastikan perambut yang dipasang bebas bergerak ke atas dan ke bawah melalui tali koyan supaya umpan yang dipasang kelihatan lebih semulajadi.

 

 

Ladung kemudian dijatuhkan di tepi ataupun melalui lubang di lantai kelong. Pastikan umpan hanya berada pada pertengahan atau suku permukaan air sahaja kerana siakap dan alu-alu selalunya mencari makan dalam radius ini.

 

Kemudian buat satu simpulan pada tali utama dan diikat pada tiub tayar yang telah siap diikat pada tiang kelong. Tiub getah digunakan untuk menyerap bebanan ketika siakap melakukan sambaran pertama. Kemudian letakkan loceng pada tiup getah atau simpulan tali koyan tadi sebagai pemberi isyarat apabila ikan telah mengena.

 

Published by
Amang