Semua pemancing mahu dapat ikan apabila pergi memancing. Untuk memperolehi hasil memancing yang memuaskan hati di kelong, anda perlulah banyak kali memancing di sesebuah kelong tersebut.
Anda juga boleh bertanya pada petugas kelong. Namun, sekiranya anda tidak berpeluang berbuat demikian, apa kata anda ikut saja saranan yang kami sediakan ini berdasarkan pengalaman kami.
Umpan
Untuk memburu spesies pemangsa yang keluar masuk ke kawasan kelong, sebaiknya gunalah umpan hidup yang boleh diperoleh di kawasan kelong. Cubalah dapatkan umpan hidup seperti tamban, selar atau sotong.
Udang hidup juga berkesan di sini namun ia lebih bagus untuk pancingan pada waktu siang. Pada waktu malam, sambutan terhadap udang agak kurang. Sementara umpan udang mati mati atau udang kopek boleh digunakan sepanjang tempoh memancing bagi mencari spesies ikan berlainan.
Waktu & Teknik
Waktu terbaik untuk memancing ialah ketika adanya arus sama ada ketika air pasang besar atau pasang kecil. Perubahan air pada waktu inilah yang banyak merekodkan tangkapan yang memuaskan hati.
Apollo dan candat udang wajib bawa. Apollo saiz kecil (nombor 4-6) untuk mencari umpan apollo saiz sederhana (nombor 10-12) untuk mencari selar dan cencaru bersaiz kasar. Kami memilih apollo yang dilekatkan anak udang getah kecil pada mata kail apollo yang terbukti lebih berkesan.
Teknik pancingan yang berkesan adalah dasar berhanyut dan flying fox menggunakan umpan hidup. Sementara teknik apollo dasar dengan hirisan tamban segar juga amat berkesan.