Ikan luping merupakan spesies yang gemar merentap umpan dengan rakus dan melarikannya secara tiba-tiba. Sistem penggera adalah perlu jika anda memancing malam dan pastikan pancing diikat supaya tidak menjunam ke air pada waktu siang apabila luping mula merembat.
Cara memancing pada waktu siang dengan kaedah hanyut atau bot berhanyut paling sesuai kerana pergerakan umpan menyusuri kawasan berhanyut, apabila ia melalui tempat di mana luping beristirehat pasti tidak melepaskan peluang merembat umpan tersebut.
Luping biasanya melarikan umpan bertentangan dengan pemancing, memberikan daya perjuangan serta tarikan yang cukup memuaskan pada peringkat permulaan. Saiz terbesar dilaporkan boleh mencapai kira-kira 3 kaki dan saya pernah melihat gambar luping seberat 8kg yang dipancing di Pulau Aur.
Saiz yang biasa ditemui sekitar 50cm sahaja. Melebihi dari 6kg dianggap bonus terutama untuk rekod tangkapan di Semenanjung. Jika terjumpa umpan pada waktu siang atau malam, luping jarang menyelinap di bawah karang seperti mana kerapu.
Ia akan berenang lari merentasi atau berlegar di kawasan karang terbabit berdekatan dengan dasar di mana perambut atau tali utama mudah bergeser dengan karang ketika bertarung. Barisan giginya tidak berupaya memutuskan perambut tangsi dengan mudah.
Luping pada dasarnya tidak memilih jenis umpan. Umpan hidup seperti selar, mahupun kembong kurang sesuai kerana faktor saiz Luping itu sendiri. Umpan yang paling berkesan ialah sotong sama ada hirisan sotong jarum, torak mahupun harimau, sotong cumit dan sotong kurita.
Sotong kurita lebih berkesan untuk kawasan yang mempunyai anak-anak ikan karang yang banyak kerana ia liat untuk dikutis oleh anak-anak ikan sebelum dijumpai oleh luping. Selain sotong, hirisan ikan Selayang, ikan tamban sisik potong dan ketam serta udang boleh digunakan pada bila-bila masa.
Peralatan terutama jenis perambut bergantung kepada padang pancing, kedalaman air serta saiz peralatan yang dibawa.
Jika anda ingin memancing dengan lebih mudah iaitu mengelakkan perambut tersangkut pada karang, gunakan teknik apolo. Pastikan perambut untuk mengikat batu ladung dipanjangkan lagi dan gunakan tangsi halus supaya ia mudah putus apabila tersangkut.
Mengunakan tanduk adalah untuk memancing di air dalam (50 kaki ke atas) dan untuk melayan luping yang bersaiz besar lagi.
Kekuatan perambut tangsi disyorkan 50lb atau 30lb dengan dawai di hadapan sejengkal. Mata kail saya gemar yang kuat dan tajam seperti Gamakatsu 2/0 dan 4/0. Kuat agar ia mudah menusuk masuk ke dalam bahagian mulut luping yang keras.