Terdapat pelbagai jenis mimpi termasuk mimpi memancing ikan. Mimpi memancing ikan pula memiliki banyak tafsiran yang berbeza-beza. Ini adalah kerana setiap spesies ikan membawa makna yang berbeza di dalam mimpi.
Mimpi memancing ikan dipercayai sebagai lambang rezeki atau keberhasilan. Tetapi ada juga beberapa jenis ikan dalam mimpi yang akan membawa keburukan.
Mimpi memancing ikan juga membawa makna jika anda memperoleh wang tetapi akan cepat habis. Selain itu, mimpi ini juga membawa makna kebahagiaan pada pasangan kekasih yang akan berkahwin.
Mimpi dapat ikan besar
Ukuran atau jumlah ikan yang dipancing dalam mimpi boleh menjadi erti atau petanda berapa banyak keuntungan atau berapa besar kerugian yang akan menimpa pada beberapa hari yang akan datang.
Jika ia ikan bersisik, sebagai contohnya mimpi memancing ikan kelah yang ditangkap dalam jumlah besar itu bererti anda akan memperoleh rezeki yang besar, sementara jika ikan tidak bersisik (macam ikan keli) yang ditangkap, maka keadaan sebaliknya yang bakal menimpa.
Ads
Mimpi memancing ikan haruan
Erti dari mimpi memancing ikan haruan mungkin mempunyai makna yang baik atau bahkan buruk bagi kehidupan anda. Hal ini bergantung kepada keadaan dan waktu yang berbeza. Sebagai jenis ikan pemangsa, ia membawa makna keburukan. Namun, disebabkan ia tergolong ikan bersisik maka ia turut membawa erti kebaikan.
Mimpi memancing ikan keli
Makna yang berlawanan dengan mimpi memancing ikan bersisik, justeru ia merupakan khabar buruk. Dalam tafsiran mimpi lainnya, ia juga memberi petanda bahawa dalam waktu terdekat anda akan jatuh sakit.
Ads
Mimpi memakan ikan
Jika anda bermimpi memakan ikan, ia bererti anda akan memperoleh rezeki halal yang diperoleh di luar bidang pekerjaan anda.
Mimpi melihat orang tangkap ikan
Ads
Ia membawa maksud anda akan memperoleh kembali keseimbangan jiwa sehingga membolehkan kehidupan aman dan damai. Tetapi, ia juga berkemungkinan sebagai isyarat bahawa anda bakal berhadapan dengan suatu masalah yang merisaukan fikiran.
Mimpi melihat ikan kelah
Ertinya, bagi anda yang masih bujang, akan menjadi kaya selepas berkahwin. Sekiranya anda sedang melakukan sesuatu bisnes, maka mimpi ini menjadi satu petanda yang baik pada anda.
Mimpi memakan ikan kelah
Ia membawa erti anda akan memperoleh wang yang banyak, halal dan pekerjaan mahupun sesuatu yang membawa kebaikan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
MALAM itu tepat jam sembilan, saya sudah siap sedia atas di jeti. Sebelum itu, sempat juga saya mengisi perut di warung Haji Dollah.
Dua bungkus nasi lemak bersama segelas besar kopi ‘O’ buatan isteri Haji Dollah yang saya panggil Kak Rahimah cukup untuk mengenyangkan perut saya.
Selepas makan itulah saya turun ke jeti bersama-sama Halim, Imran dan Hamdan.
Kali ini saya membawa misi khas. Isteri Imran, Suraya yang baru mengandung dua bulan mengidam mahu makan udang galah Sungai Geliga.
Puas Imran berulang-alik ke pasar berdekatan untuk membeli udang galah idaman isteri tersayang namun hampa.
Sekarang, memang bukan musim udang galah di Sungai Geliga. Kalau adapun tidak dijual secara terbuka atau hanya dijadikan hidangan keluarga oleh pemancing yang menangkapnya secara ‘suka-suka’.
Hamdan sudah mendapatkan perahu yang sederhana besarnya daripada bapa saudaranya. Malam itu sedikit berangin.
Awan tebal bertompok gelap melindungi cahaya bulan yang berbentuk bulan sabit. Kalau diikutkan musim, sekarang bukan musim udang galah bermaharajalela di Sungai Geliga.
Air sungai agak keruh kerana saban petang atau pagi, hujan akan turun walaupun tidak berapa lebat.
Kami berempat mendayung sampan dalam keadaan senyap tanpa berbual. Hanya asap rokok berkepul keluar sebagai satu cara untuk menghalau nyamuk dan unggas di permukaan air.
Sampai di tepi pokok berembang yang rendang, yang mana sebahagian dahannya terjuntai ke dalam air, saya mengangkat tangan memberi isyarat agar kami berhenti di situ. Halim mengikat tali sampan pada dahan pokok yang terjuntai.
Manakala saya, Imran dan Hamdan memeriksa mata kail dan umpan yang dibawa.
Entah mengapa, malam itu saya rasakan suasana agak sepi. Kebiasaannya kami berempat rancak berbual namun pada malam itu semuanya bagaikan mati kutu.
Masing-masing seperti membawa haluan sendiri. Sebaik sahaja mata kail dicampakkan ke dalam air, saya seperti terdengar suara orang berjalan di tebing sungai.
Bunyi kayu mati yang dipijak jelas kedengaran sehingga saya dan Halim saling berpandangan sambil memberikan isyarat mata.
Imran pula sudah menyuluh di tebing sungai namun tiada apa-apa sebarang objek yang kelihatan.
Saya percaya tiga orang rakan saya ini turut mendengar bunyi kayu mati yang dipijak tadi tapi semuanya mengambil pendekatan ‘membisu’ kerana percaya inilah cubaan yang selalu
menimpa pemancing yang memancing udang di Sungai Geliga yang memang terkenal dengan kisah-kisah mistiknya.
Namun kami tidak pedulikannya, tambahan pula selepas itu, udang galah sederhana besar seberat dalam 50 gram berjaya dinaikkan.
Imran kemudian hampir melonjak kegembiraan apabila umpannya mengena seekor udang galah besar seberat 250 gram dan getuan begitu rancak berlaku selepas itu, tambahan pula, kami semuanya berjaya menaikkan udang bersaiz sepit biru.
Selain udang galah, kami juga berjaya menaikkan baung dan patin yang saiznya agak besar dan ‘menyelerakan’.
Namun, di sebalik rasa gembira itu, terselit juga rasa hairan dan cuak di hati saya. Bukan apa, selain udang galah yang besar dengan kepaknya yang membiru itu, timbul satu persoalan yang bermain di minda saya.
Walaupun bulan malam itu tidak bercahaya, saya seperti ternampak beribu kunang-kunang seperti bermain berhampiran sampan kami.
Ini menjadikan tempat kami memancing itu sangat terang dan indah hingga sedikit pun saya tidak berasa mengantuk walaupun jam sudah menghampiri empat pagi.
“Hari dah subuh. Jomlah kita balik. Murah rezeki kita malam ini. Alhamdulillah,” ucap saya apabila melihat di dada langit sudah memancar cahaya ufuk subuh yang indah warnanya.
Sesekali saya terlihat seperti ada kilat memancar di celah-celah awan tebal yang masih lagi melindungi bulan yang berbentuk sabit.
Imran membuka tali yang diikat pada dahan ara tadi. Saya dan Halim mengambil tugas mendayung sampan. Namun saya terasa ada sedikit keanehan.
Tanpa mendayung pun, sampan saya seolah-olah meluncur laju menuju ke jeti yang terletak hampir 30 minit perjalanan dengan mendayung.
Akhirnya, saya dan Halim mengambil kata sepakat. Kami meletakkan kayu pendayung di atas sampan sambil duduk diam memerhatikan pergerakan sampan yang ‘laju’ dipandu oleh satu kuasa luar biasa yang ada di bawah sampan kami.
Kepada Imran dan Hamdan, saya hanya memberikan isyarat mata agar mereka juga duduk diam tanpa bersuara.
Tidak sampai sepuluh minit, kami tiba di jeti dengan selamat!.
Ketika itulah, dalam jarak hampir lima meter, saya melihat seekor buaya putih sebesar kereta timbul di permukaan air dalam tiga saat.
Saya hanya mampu beristighfar dan mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kami berempat selamat daripada sebarang musibah.
Melalui Imran, akhirnya saya tahu bahawa Suraya rupanya berketurunan Pak Kiai Haji Ahmad yang terkenal dengan kebolehannya menjinakkan buaya ganas di Sungai Geliga satu ketika dahulu.
Mungkin kerana itulah maka kami berempat ‘berpesta’ udang galah walaupun bukan pada musimnya!.
Hanya dalam hobi memancing korang akan temui sifu, masta, idola dan sebagainya lagi. Namun untuk melayakkan diri menjadi seorang idola yang betul-betul idola, korang perlu ada perkara-perkara berikut:
Kita berhenti menilai, mencari kesalahan dan menghukum pemancing lain. Sebaliknya kita fokus pada kelemahan diri yang masih ada dan bertindak merubah diri menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Kita sudah boleh menerima minat pemancing lain seadanya. Kita faham makna perbezaan pendapat. Tidak tidak lagi taksub kepada sejenis teknik atau segmen memancing.
Kita berani melepaskan kenangan lama yang pahit (kena kencing atau sebagainya). Tidak lagi menyimpan dendam dan memaafkan segalanya. Memancing je pun kan? Buat apa nak bermusuhan.
Kita berhenti mengharap dan meminta dari pemancing lain, tetapi mula memberi. Biar sedikit kita memberi atau menerima, tetapi jangan pernah meminta.
Kita melakukan sesuatu, hanya untuk mendapat ikhlas. Melakukan sesuatu bukan untuk mendapat nilaian, pujian dan pengiktirafan netizen. Tidak tersinggung bila dikeji, dikutuk dan dihina netizen.
Kita berhenti menunjuk kepandaian, kehebatan dan mula mengakui kepandaian, kebaikan dan kehebatan pemancing lain. Kita haruslah aku suatu hari pasti ada pemancing lain yang lebih hebat dari kita.
Kita berhenti membandingkan hasil kita dengan hasil orang lain. Kita berdamai dengan diri sendiri. Tidak iri, dengki dan sakit hati melihat hasil pemancing lain. Sikap percaya pada rezeki itu mengatasi segalanya.
Kita boleh bezakan antara kehendak dan keperluan memancing, lalu mengutamakan keperluan dari kehendak. Perkara ini memang sukar untuk dilakukan dalam masa singkat tetapi jika tidak dibendung ia akan merosakkan diri sendiri.
Kita berhenti meletakkan nilai kebahagian pada kebendaan. Kita lebih menikmati strike dengan apa yang ada daripada menikmati mahalnya set pancing yang ada.
Kalau sebut ikan gelama ni jarang kita dengar masakan popularnya selain dijadikan ikan masin atau pekasam. Mungkin sebab isinya yang kurang enak dan agak hanyir juga.
Namun ia masih boleh dijadikan menu yang membangkitkan selera juga kita pandai mengolahnya. Contohnya macam masak tumis cili ini.
Bahan-Bahan:
Beberapa ekor gelama
2 biji bawang merah (dihiris)
1 ulas bawang putih (dihiris)
1 inci halia (dihiris)
1 biji bawang besar (dipotong bulat)
1 biji cili merah (dihiris serong)
1 biji cili padi (dibelah dua)
3 sudu cili giling
1 sudu teh asam jawa
1 sudu teh gula
Garam dan minyak
Cara-cara penyediaan:
Bersihkan ikan gelama dan cuci dengan asam limau jika tidak suka bau hanyir. Digaul dengan garam kunyit dan digoreng. Asingkan.
Tumis bahan yang dihiris. Apabila bawang sudah layu masukkan pula cili giling dan masak seketika.
Masukkan air jawa. Kacau dan masukkan pula gula dan garam ikut sesedap rasa korang.
Bila sudah menggelegak kecil, masukkan bawang besar, cili merah dan cili padi. Kacau sehingga sebati dan bila bawang besar sudah layu bolehlah diangkat dan curahkan ke atas ikan gelama yang digoreng tadi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...