Tentu saja syarat utama dalam rukun memancing adalah pemancing! Tanpa pemancing sudah tentu aktiviti memancing tidak dapat diaplikasikan. Pemancing itu sendiri tiada sebarang sempadan. Sesiapa sahaja boleh menjadi pemancing tanpa mengira lapisan masyarakat, bangsa, agama, usia, status, darjat atau pangkat. Untuk menjadi pemancing juga tiada sebarang syarat, kelayakan atau sempurna tubuh badan. Malah hari ini semakin ramai golongan kurang upaya memilih hobi memancing. Yang penting harus memiliki minat dan kesungguhan.
Mesti Ada Peralatan
Syarat kedua yang tidak kurang peri pentingnya adalah alatan memancing. Tanpa adanya peralatan memancing sudah pastinya aktiviti memancing masih tidak dapat diaplikasikan. Peralatan juga ada rukunnya tersendiri. Rukun peralatan lebih menjurus kepada alatan utama, selebihnya lebih menjurus kepada pelengkap atau kelengkapan. Peralatan utama yang perlu ada ialah tali pancing, mata kail, joran dan kekili. Aplikasi memancing boleh dipraktikkan hanya menggunakan tali pancing dan mata sahaja, begitu juga dengan menggunakan tali pancing, mata kail dan joran sahaja tetapi rukun pelengkap utama peralatan terdiri daripada tali pancing, mata kail, joran dan kekili.
Mesti Ada Umpan
Bayangkan anda pergi memancing tanpa membawa sebarang umpan. Apa yang anda akan peroleh? Justeru umpan juga merupakan rukun utama dalam memancing. Umpan terbahagi kepada beberapa jenis namun yang paling utama adalah umpan organik (benda hidup atau mati) dan umpan tiruan seperti gewang, jig dan yang seumpamanya. Jika ada yang mengatakan memancing masih diaplikasikan tanpa menggunakan umpan, contohnya teknik sembat yang hanya menggunakan mata tiga, ingin saya tegaskan di sini bahawa teknik sembat bukanlah aktiviti memancing! Ia sama sahaja dengan aktiviti menjaring, tuba atau seumpamanya.
Mesti Ada Subjek Sasaran
Secara umumnya subjek sasaran yang menjadi salah satu rukun memancing ialah ikan. Namun bukan ikan sahaja yang dipancing. Udang dan sotong juga merupakan spesies atau subjek sasaran utama dalam memancing. Jika difikirkan secara mendalam, rasanya ramai yang setuju bahawa spesies sasaran inilah sebenarnya yang menjadi rukun utama dalam rukun memancing. Bayangkan sekiranya spesies-spesies sasaran ini sudah pupus sama sekali. Bayangkan jika tiada lagi udang galah, sotong dan semua jenis ikan… apakah aktiviti memancing masih boleh diaplikasikan?
Mesti Ada Spot
Tanpa pandang pancing, lokasi atau lubuk memancing, aktiviti memancing hanya sia-sia. Pada asasnya padang pancing terbahagia kepada dua iaitu lubuk semula jadi hasil ciptaan Tuhan seperti laut dan sungai, dan satu lagi lubuk buatan atau hasil campur tangan manusia seperti tasik buatan, bekas lombong dan kolam-kolam pancing komersial. Tak kiralah sama ada ia adalah padang pancing anugerah Tuhan atau ciptaan manusia, ia tetap merupakan rukun utama dalam memancing wajib dipelihara.
Percaya Pada Rezeki
Mungkin ada yang tidak bersetuju atau mahu menafikan tetapi mempercayai rezeki adalah rukun yang perlu ada dalam memancing. Ia mungkin bersifat subjektif kerana tidak berjisim atau dapat dilihat dengan mata kasar. Rezeki tidak sama seperti peralatan memancing yang boleh dipegang tetapi tanpa rezeki bukan sahaja tidak boleh memperoleh hasil malah untuk menjadi pemancing sekali tidak boleh.