Sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir lewat tahun 1990-an dulu, saya telah dimomokkan dengan makhluk misteri penunggu tasik bernama sulur bidar. Ia hangat diceritakan boatman dan orang-orang lama.
Sulur Bidar ni dikatakan ditemui di sekitar tasik dan sungai besar seperti Tasik Kenyir, Tasik Temengor, Tasik Chini dan Sungai Pahang. Tasik Kenyir contohnya, sulur bidar sering dikatakan akan muncul semasa musim hujan namun hanya yang bertuah saja berpeluang menemuinya.
Menurut cerita orang-orang di sekitar tasik sulur bidar mempunyai bentuk fizikal yang aneh iaitu berbentuk sehelai permaidani atau tikar putih. Selain itu terdapat empat kepala di setiap penjuru. Sulur bidar dikatakan akan menggulung mangsa lalu menariknya ke dalam air selama beberapa hari.
Kehadiran sulut bidar dapat dikesan melalui buih-buih atau pusaran yang muncul secara tiba-tiba bersama dengan daun-daun yang berada di dasar tasik timbul di permukaan air. Daun-daun yang timbul tadi apabila diambil ia bersifat kering walaupun muncul dari dasar tasik seolah-olah ada sesuatu yang telah memerah atau mengeringkan daun tersebut.
Menurut orang tua-tua daun yang timbul tadi boleh dibakar walaupun ia dari dasar tasik. Sekiranya tanda-tanda tersebut telah muncul anda disarankan melaungkan azan dengan kuat untuk menghindarkan diri dari makhluk tersebut.
Terdapat cerita mengenai seorang pemancing yang terserempak Sulur bidar lalu cuba membaling mata kail ke arahnya namun ia menembusi badan makhluk tersebut. Kebenaran makhluk ini belum dapat dibuktikan secara saintifik walaupun ada yang mendakwa pernah menangkap gambarnya.
Dalam pada masa yang sama wujud juga pelbagai perkongsian perihal bentuk dan sifat sulur bidar berdasarkan pengalaman mereka yang pernah melalui peristiwa ini.
Varian 1
Sulur bidar dikatakan berbentuk tikar putih, mempunyai kepala seakan-akan labi-labi di setiap penjuru dan mempunyai kaki kecil seperti ulat gonggok yang banyak di sekelilingnya.
Varian 2
Ada sesetengah berpendapat sulur bidar merupakan haiwan seperti ular besar yang menjalar di atas air dan ada juga mengatakan ia mempunyai kepala yang bulat serta rambut dipenuhi ular berbisa.
Varian 3
Sulur Bidar dikatakan adalah seekor ular besar (ular bidang) yang berbentuk leper seperti permaidani yang berukuran 12 kaki x 12 kaki.
Varian 4
Ada yang mendakwa sulur bidar yang ditemui kelihatan seperti minyak beku terapung di permukaan air yang dapat melemaskan mangsa serta mampu memasuki lubang bot untuk menangkap mangsa.
Varian 5
Sulur bidar merupakan makhluk halus dalam kepercayaan orang Melayu. Kemungkinan ia terdiri daripada jin atau syaitan yang suka mengganggu manusia. Ia juga dikatakan semangat jahat yang tinggal di dalam air. Ia menyerupai tikar mengkuang yang hanyut dan akan menggulung serta melemaskan mangsanya.