Spesies Ikonik Sukan Memancing Air Tawar

Share

 

Ikan toman sememangnya menjadi spesies trofi dalam sukan memancing. Boleh dikatakan spesies ini merupakan antara spesies pemangsa yang sangat kuat dan menduduki carta teratas andai diambil kira kekuatan dan keagresifannya.

 

Dalam aspek pancingan toman secara tradisional, teknik pancingan dasar dan pra permukaan sangat berpotensi dalam menjerat ikan ini. Umpan yang biasa digunakan ialah anak ikan hidup seperti lampam, anak sebarau, tilapia, seluang dan lain-lain lagi.

 

 

Namun, dalam penggunaan umpan hidup ini tidak dapat dinafikan ikan keli merupakan umpan yang efektif dan paling banyak digunakan. Ikan toman biasanya tidak akan melepaskan peluang membaham umpan hidup yang terkodek-kodek di hadapan matanya.

 

Selain umpan hidup, umpan ikan mati yang segar turut boleh digunakan dan tidak kurang efektif berbanding umpan hidup. Dikatakan, kepala ikan sebarau merupakan umpan boleh menimbulkan kemarahan toman untuk membahamnya. Selain itu, potongan belut yang memiliki darah yang banyak dan hanyir untuk berkesan untuk menjerat toman.

 

 

Selain pancingan dasar, spesies toman pastinya menjadi pilihan utama kaki mengilat atau pemancing yang gemar menggunakan umpan tiruan. Hal ini sudah pasti disebabkan oleh sikap agresif dan kerakusan toman membaham gewang.

 

Penggunaan gewang bagi memburu toman pula tidaklah terlalu cerewet kerana lazimnya toman akan membaham apa saja bentuk gewang yang menyerupai ikan yang berhampiran dengannya. Anda boleh menggunakan apa saja gewang permukaan, gewang selaman cetek dan selaman dalam, juga gewang sesudu.

 

 

Secara peribadi, penulis lebih gemar menggunakan gewang permukaan kerana ia lebih mendebarkan. Deburan dari hasil sambaran itu sahaja sudah cukup menghiburkan, apatah lagi setelah gewang diragut dan dihenjut ke dasar.

 

Kaedah memburu toman juga tidak sukar. Selain mencari dan menanti kemunculannya meneguk udara di permukaan air, toman juga boleh dikesan melalui kewujudan anak-anaknya. Apabila terjumpa anak-anak toman yang masih kemerahan, peluang untuk anda merasai strike amat tinggi.

 

 

Selagi ia belum pernah ditemui oleh pemancing lain, pasti akan ada induk yang mengawasi anak-anak tersebut.

 

Kedudukan induk penjaga pula lazimnya bergantung kepada saiz kumpulan anak-anaknya. Jika anak masih kecil dan kemerahan, lazimnya ia berada betul-betul di bawahnya. Maka balingan gewang haruslah tepat ke kawasan anak-anak tersebut.

 

 

Selaku ikan trofi, adalah wajar selepas pertarungan ikan toman dilepaskan kembali ke habitat asalnya. Apatah lagi jika toman tersebut adalah induk yang sedang mengawasi anak-anaknya. Begitu juga jika ia hanya toman bujang.

 

Sekiranya peluang untuk kesinambungan hidupnya lebih tinggi maka eloklah dilepaskan kembali. Namun, jika berhasrat untuk dijadikan hidangan, bawalah pulang dengan kadar yang sepatutnya sahaja. Amatlah rugi jika ikan kebanggaan para pemburunya ini ditangkap secara berlebihan.

 

 

Published by
Amang