MERAH PUCAT
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig. Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan. Namun peluang untuk memperolehnya dengan menggunakan jig sahaja tetap ada terutamanya ketika ia kelaparan.
Info Merah pucat:
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu.
Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.
KERAPU BARA aka SUNOH
Dalam disiplin jigging ia merupakan spesies tangkapan impian berikutan kesukaran untuk mendapatkannya, khususnya di perairan Selat Melaka yang merupakan padang pancing utama jigging perlahan. Memperoleh spesies bersisik cantik ini sebenarnya lebih kepada kepuasan bukan kerana kudrat melawannya.
Info Kerapu sunoh:
Nama saintifik: Plectropomus leopardus
Nama Inggeris: Common coral trout, leopard coral grouper
Nama tempatan: Sunoh, kerapu bara, kerapu bintang
Kerapu ini dapat dikenali menerusi badannya yang dilimpahi titik biru kecil. Bulatan cincin biru yang tersendiri di sekeliling mata.
Dan sirip pektoral yang polos tanpa warna. Ia mampu membesar sehingga 120 cm panjang namun saiz yang lazim didapati sekitar 35cm sahaja.
KACI aka MANDI ABU
Dalam disiplin jigging, spesies ini hampir tidak tersenarai dalam buruan utama berikutan ia pernah dianggap tidak membaham jig kecuali jig yang ‘berumpan’. Namun tentangan yang diberikan kaci sehingga ke permukaan membuatkan ia kini menjadi spesies yang ingin diburu.
Info Kaci:
Nama saintifik: Diagramma pictum
Nama Inggeris: Grunts (sweetlips)
Nama tempatan: Kaci, mandi abu
Ciri-ciri untuk mengenali kaci atau mandi abu ini memiliki 9-10 duri pada sirip dorsal, 20-24 tompok sinar lembut.
Kaci juvana atau sub dewasa memiliki tompok atau jalur. Ia mampu membesar sehingga 100 cm namun saiz biasa yang ditemui sekitar 45 cm.
Dalam dunia memancing khususnya pancingan kolam air masin, kaci ini lebih merujuk kepada panggilan kakap merah.