Untuk mengetahui perkara ini sebaiknya kita pelajari sikit biologi ikan pari. Ikan pari boleh dijumpai di laut, muara sungai ataupun di sesetengah kawasan sungai air tawar. Ia biasanya ditemui di kawasan berpasir, kawasan berlumpur atau kawasan campuran lumpur dan pasir, dan ia amat suka mencari makanan di dasar. Dalam erti kata lain, pari boleh dipancing di sepanjang perairan.
Jenis Ikan pari yang biasa makan umpan ialah pari karang, pari beting, pari harimau, pari minyak, pari lalat, pari pasir, pari nyonya, pari daun, pari kulim, pari tanjung, pari lang dan ketuka.
Pada pengalaman saya waktu sesuai untuk memancing ikan pari adalah ketika arus tidak terlalu laju dan waktu di antara berlakunya perubahan pasang surut air. Umpan yang biasa saya gunakan untuk memancing ikan pari adalah udang , sotong cumit, sotong jarum, sotong kurita, sotong katak kecil, ikan belanak, ikan kembung, selayang, selar kuning yang dipotong dua, anak ikan bebolos, anak gelama, pumpun, ikan tamban dan ikan beliak mata walau bagaimana pun umpan kegemaran saya adalah belacak minyak yang dihiris isinya.
Penggunaan umpan mungkin berbeza mengikut tempat dan lokasi pancing. Adalah lebih baik sekiranya kita rujuk dengan penduduk setempat jika ingin kepastian. Pari boleh di pancing tidak kira masa, sama ada pagi, petang atau malam.