Dah beratus soalan yang dikemukakan dan inilah satu-satunya soalan yang admin tidak dapat nak jawab dengan fakta. Namun saya bersetuju dengan saudara bahawa badong itu merujuk kepada spesimen sebarau yang bersaiz besar.
Atau dalam erti kata lainnya sebarau dan badong adalah spesies ikan yang sama, bukannya spesies yang berbeza sebagaimana yang masih dipertahankan oleh sesetengah pemancing. Walau bagaimana pun saya tiada sebarang jawapan untuk menjelaskan kenapa sebarau bersaiz besar dinamakan badong.
Ads
Kalau dari segi motif pula, pada pendapat admin ia tiada tujuan selain untuk bermegah-megah. Jika itu tujuannya maka matlamatnya dikira tercapai kerana sekadar menyebut badong sahaja sudah dapat merasakan aura kemegahan dan keperkasaannya. Ini kerana apabila menyebut badong, secara tidak langsung ia seperti terkait secara sendirinya dengan badang.
Ads
Sementara saiz sebesar mana yang layak dipanggil badong juga tiada siapa yang dapat menjawabnya dengan tepat. Namun, berdasarkan kesepakatan ramai pemancing, dikatakan spesimen sebarau yang melebihi berat 2 kg, sudah boleh dianggap sebagai badong.
Ads
Bagaimana pun, kejayaan mendaratkan badong tidak menjanjikan apa-apa pangkat atau status pemancing tersebut untuk bermegah dengan badongnya itu.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pada tahun 1960-an, 3 jenis ikan kap (carp) dari India telah dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk tujuan akuakultur. Kes ini sama seperti kemasukan spesies kap dari China. Spesies kap tersebut ialah Labeo rohita (rohu), Cirrhina mrigala (mrigal) dan Catla catla (karak).
Namun karak dan mrigal tidak begitu berjaya menembusi pasaran tempatan seperti mana rakannya, rohu. Hari ini rohu mendapat sanjungan terutama bagi pemancing berikutan adaptasinya yang tinggi terhadap persekitaran lombong dan kolam tempatan sehingga dilaporkan mampu membiak di dalamnya.
Antara kesemua ikan kap import, hanya rohu, lampam jawa dan kap dari China saja yang berjaya kekal sehingga kini. Spesies ini diminati kerana mudah dibiakkan secara aruhan, mudah diternak dan mempunyai populariti.
Tetapi ke mana perginya mrigal dan karak? Karak khasnya merupakan spesies yang boleh menjangkau saiz gergasi tetapi mengapa taburannya lenyap begitu di Malaysia?
Mengikut sumber rujukan, ikan karak pernah dilepaskan ke dalam Tasik Chenderoh di Perak pada tahun 80-an, begitu juga mrigal.
Beberapa tahun selepas itu, penangkapannya kadangkala ada direkodkan di Sungai Perak berdekatan Empangan Chenderoh. Namun namanya tidak kekal lama dan luput dari pandangan mata tahun demi tahun sehingga ke hari ini.
Apa yang menarik tentang ikan ini ialah keupayaan tumbesarannya yang melampau batasan dan setanding temoleh. Karak terbesar yang pernah direkodkan di India ialah seberat 54.4kg.
Karak mudah dikenali berdasarkan warna badan yang agak hitam serta bentuk kepalanya yang besar. Badannya pendek tetapi tebal dan melebar. Mulutnya pula luas dn mengarah ke atas yang menunjukkan ikan ini gemar mencari makan di permukaan air dan setengah air.
Perkara lain yang menarik ialah kenyataan dari sumber tempatan yang mengatakan karak sukar dipancing kerana diet utamanya hanyalah alga, zooplanton serta substrat yang melekat pada pokok-pokok lembut dan renek.
Di sinilah letaknya keanehan apabila seorang pemancing tempatan apabila berjaya memancing karak dengan menggunakan seekor ikan hidup.
Namun teka-teki ini terjawab apabila terselit satu artikel dalam sebuah buku rujukan lama berjudul Sport Fisheries of India. Selain penggunaan umpan dedak ulian yang biasa digunakan, karak rupanya boleh dipancing berumpankan ikan kecil dan kilat sesudu. Ini berdasarkan pengalaman pemancing di sana.
Selain india, taburan asal Catla catla turut meluas ke negara Pakistan, Bangladesh, Nepal dan Myanmar. Namun karak tidak terdapat di India Selatan. Habitat karak dilaporkan tertumpu di tasik dan sungai-sungai yang besar di sana, malah ia dikatakan mampu berhijrah sehingga ke zon muara berbakau.
Karak atau Catla catla juga mempunyai hubung kait yang dengan spesies seumpamanya di Thailand yang dipanggil siamese carp dengan nama saintifiknya Catlocarpio siamensis. Kedua-duanya kelihat serupa tetapi nama saintifik berbeza. Berikutan morfologi kedua-duanya mirip, identifikasi mereka masih menjadi persoalan.
Namun prestasi tumbesaran kap Siam lebih mengagumkan kerana ia dikatakan mampu membesar sepanjang 300cm dengan berat 300kg. Sedangkan saiz maksimum karak kurang separuh daripada itu dan rekodnya cuma boleh mencapai 180cm.
Kap siam hanya terdapat di Thailand, Kemboja, Laos dan Myanmar terutama di Sungai Mekong dan Sungai Chao Phraya yang amat panjang dan besar. Biarpun kita hampir dengan Thailand tetapi kita tidak mempunyai Siamese carp ini.
Saya percaya persoalan ini pernah muncul di fikiran semua pemancing. Adakah ikan tidak pernah tidur? Kalau ikan tidur… bagaimana caranya ikan tidur? Disebabkan ikan tidak memiliki kelopak mata (kecuali jerung), pasti ramai yang tertanya-tanya adakah ikan hanya menjalani kehidupan tanpa pernah memejamkan mata.
Meskipun kami tidak tahu bagaimana cara ikan tidur, para pengkaji telah menetapkan bahwa kebanyakan ikan tidur atau memiliki proses istirahat fizikal dan pemulihan. Meskipun berbeza dari cara tidur pada mamalia, ia masih melakukan tabiat biologi yang penting.
Meskipun ini tidak dapat dijawab dengan kepastian 100%, sebahagian besar pengkaji percaya bahawa ikan tidur untuk memungkinkan tubuh dan organ mereka pulih.
Dengan cara ini, tidur pada ikan meningkatkan kesihatan seperti pada manusia, namun komponen mentalnya tidak sama: karena ikan tidak memiliki neokorteks di otak, mereka tidak bermimpi.
Oleh kerana kepelbagaian laku spesies ikan, terdapat beberapa cara tidur ikan:
Berbaring
Beberapa ikan tenggelam di dasar air di mana tubuh mereka dapatberehat. Kadang-kadang ia kelihatan seperti main-main tidur sebagaimana perilaku ikan wolfish. Atau untuk beberapa jenis ikan bayan (parrotfish), mereka mengeluarkan lapisan lendir (mukus) sebagai gelembung untuk membantu melindunginya daripada parasit.
Burrowing
Beberapa ikan tidak hanya berbaring, mereka menggali ke dalam lingkungan mereka dengan cara yang terlihat seperti bagaimana kita merasa nyaman dengan tilam dan selimut. Dalam kejadian di terumbu karang, beberapa ikan berkemah di karang, tetapi tubuh mereka terus bergerak seperti sedang berenang ketika mereka tidur.
Ini adalah situasi menang-menang di mana gerakan ikan meningkatkan aliran oksigen ke karang, yang membantu melindungi ikan.
Drifting
Drifting atau berhanyut bukan hanya teknik memancing saja tetapi juga tidur ikan tidur. Mereka kadang-kadang dapat menggerakkan bahagian tubuh mereka untuk bergerak sedikit, tetapi dibandingkan dengan normal, gerakan mereka sangat terbatas.
Beberapa ikan yang dipelihara di akuarium rumah tidur dengan cara ini, jadi anda mungkin pernah melihat ikan jenis ini tidur.
Berjemaah
Beberapa ikan mungkin dapat bersantai dan beristirehat di dalam gerombolan (schooling) mereka sementara ikan lain tetap waspada dan menjaga kumpulan kekal aman. Selama tidur, normal bagi banyak spesies ikan untuk menjaga tahap kewaspadaan yang tinggi. Ini dapat membantu ikan melakukan pecutan segera jika terancam oleh predator.
Namun, di sisi lain, beberapa ikan seperti bluehead wrasse atau Spanish hogfish tenggelam dalam keadaan pingsan yang memungkinkan mereka diambil tanpa terjaga dari tidur.
Gerepoh atau atau nama saintifiknya Caranx ignobilis merupakan salah satu spesies ikan marin yang besar dan tergolong dalam famili ikan jack, Carangidae.
Lebih popular dengan nama GT, iaitu singkatan bagi giant trevally, ikan yang mempunyai bentuk kepala curam yang kelihatan gagah dan sirip kaudal yang kuat sering menjadi obsesi kegilaan kaki pancing.
GT merupakan spesies terbesar di kalangan ikan jack dan sering kali spesies ini menjadi raja di singgahsana sesebuah habitat atau kawasan terumbu karang.
Dengan bentuk fizikal badan yang solid serta kekuatan ototnya, GT menjadi musuh yang sukar, malah sangat sukar ditangani oleh pemancing walau dengan set ‘heavy’ sekalipun.
Sesetengahnya pula cukup licik, apa lagi jika di kawasan karang. Ibarat serangan gerila, GT akan bersembunyi di kawasan karang dan secara tiba-tiba akan melakukan serangan
hendap terhadap gewang anda terutama popper dengan kuasa pecutannya ekornya dan kembali memecut ke karang sebelum memutuskan tali utama pada batu atau karang.
Kuat dan licik, tidak hairan raja terumbu karang ini menjadi musuh yang didambakan kaki pancing.
MORFOLOGI
Secara morfologi luaran ikan GT, penampilan utama spesies ini dapat dikenal pasti melalui profil bentuk kepalanya yang besar dan curam selain fizikal badannya yang kelihatan solid dan tegap.
Ikan ini juga mempunyai kuasa pecutan dan larian yang luar biasa kerana sirip pektoral yang besar di bahagian pertengahan serta sirip kaudal besar dan solid ibarat pendayung.
Warna badannya pula secara umumnya boleh dikelaskan dalam pola warna putih-perak hingga ke hitam.
Sesetengah GT juga mampu mempamerkan rona keemasan gelap pada badannya terutama pada bahagian sirip.
Selain warna umum pada badannya, tanda berpaten atau bercorak yang jelas boleh hadir terutama pada bahagian belakang badan GT.
Ini sering terjadi jika ikan ini mempunyai warna belakang badan yang lebih gelap berbanding bahagian lain, kontra warna akan mewujudkan garisan perak cerah dan akan kelihatan corak bintik kehitaman pada badannya.
Selain itu, pada bahagian kaudal pedunkel, kehadiran scutes (plat kecil yang tajam) jelas kelihatan pada kedudukan selari dengan garisan lateral.
Scutes ini mampu mengakibatkan kecederaan jika ikan GT tidak ditangani dengan baik sewaktu pendaratan.
TABURAN DAN HABITAT
Taburan bagi spesies Caranx ignobilis ini meluas, hadir dalam kebanyakan perairan iklim tropika panas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Kehadiran ikan ini dikenal pasti hingga ke selatan Australia, timur Kepulauan Hawaii,barat di pulaupulau timur Afrika dan di utara Jepun.
GT juga mempunyai toleransi saliniti yang tinggi lantas membolehkannya memilih habitat antara kawasan muara sehingga ke jauh ke lautan di kawasan sistem berterumbu karang.
Juvenil GT pula lebih cenderung untuk berada di kawasan muara, pulau berbatu atau sistem sungai.
Spesimen yang dewasa akan berpindah ke kawasan lebih dalam di lautan di mana terdapatnya struktur seperti terumbu karang atau tukun.
Selalunya habitat berstruktur pilihannya ialah kawasan yang mempunyai arus.
GT dewasa juga sering berlegar di kawasan tanjung atau pesisir berair cetek ketika memburu makanannya.
Kawasan berair cetek namun berarus di mana terdapat struktur karang atau batuan mewujudkan persekitaran makanan yang ideal bagi spesies ini.
Di Malaysia, GT bersaiz besar boleh diperolehi di kawasan persekitaran pelantar minyak.
Bagi kaki popping, waktu senja menjelang malam tatkala lampu pelantar minyak menyala, ia masa yang cukup mendebarkan melontarkan popper sehampir mungkin tiang pelantar dan bawah nyalaan lampu.
SAIZ DAN KITARAN HIDUP
GT merupakan spesies yang mempunyai kadar pembesaran yang cepat. Pada ukuran kepanjangan badannya 60cm, GT umumnya sudah mencapai peringkat matang dan tempoh masa yang diambil untuk mencapai peringkat ini adalah sekitar 3-4 tahun.
Apabila dewasa atau matang, GT mampu mencapai berat 200lb dengan panjang 1.7 meter dan pada peringkat ini selalunya spesimen akan bersendirian.
Apabila dewasa, biasanya GT akan mencari kawasan terumbu karang sebagai habitat dan menjadikan kawasan tersebut sebagai wilayah jajahannya.
DIET PEMAKANAN
Ketika memburu, GT menggunakan abiliti renangan yang unggul dan kuasa hentamannya terhadap ikan buruannya.
Selalunya mangsanya akan ditelan terus pada serangan pertamanya, jika terlepas sekalipun biasanya mangsa cedera atau mati akibat kuasa serangannya.
Jika memburu berkumpulan, mangsa akan ditelan dengan cepat bagi mengelakkan persaingan yang lebih ganas.
Diet utama GT ialah ikan kecil di sekitarnya. Namun jika terdesak, GT mampu bertukar lebih bengis dan licik.
Tuna, penyu dan ikan lumba-lumba antara mangsa yang pernah dilaporkan ada ditemui di dalam perut GT.
Selain itu, kelicikan GT juga terserlah apabila hadir di sebalik jerung karang yang besar dan menjadikan ikan jerung ini sebagai alat untuk serangan hendap mangsanya. GT bersaiz besar juga ada kalanya menjadikan juvenil sebagai makanannya.
Taksonomi
Kingdom: Animal
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Suborder: Percoidei
Superfamily : Percoidea
Family: Carangidae
Genus: Caranx
Species: Caranx ignobilis (Forsskål, 1775)
Nama lain: Gerepoh, Giant Trevally, GT, Ulua, Mamulan, Ronin-aji
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...