Memancing kelah memang memang agak cerewet oleh kerana sifatnya yang amat sensitif. Namun segala usaha yang dilakukan terasa berbaloi apabila seekor ikan kelah berjaya didaratkan.
Secara ringkas, perkara pertama ialah kenal pasti lubuk berpotensi dan aktiviti memancing sebaiknya dilakukan dengan meminimumkan pergerakan atau bunyi. Adalah lebih baik jika secara bersendirian atau dalam kumpulan yang kecil.
Umpan sawit peram atau hirisan sate sawit adalah umpan yang sinonim dengan spesies ini. Caranya cangkukkan sebiji pada 2 atau 3 mata kail atau pun sawit potong dan cangkukkan pada mata.
Guna tali mono sekitar 20lb sebagai tali utama dan perambut sekitar 15-30lb. Lebih digalakkan andai anda merasuah sawit peram di bahagian hulu lubuk dan biarkan dalam tempoh 4-6 jam atau lebih dari itu sebelum mula memancing di lubuk tersebut.
Sesetengah lokasi, ada pemancing yang menggunakan umpan lain seperti ubi kayu masam, buah epal yang dipotong dadu, hirisan isi ikan dan sebagainya. Malah ada juga yang menggunakan umpan katak dan juga ketam sungai yang dibakar terlebih dahulu. Anda sememangnya boleh mencuba!