Saya memahami dengan jelas kekeliruan yang anda alami kerana saya sendiri pernah mengalami perkara yang sama suatu ketika dahulu. Untuk menyelesaikan kekeliruan ini sebenarnya tidaklah sesukar mana. Pertama sekali kita perlu memahami peranan dan kegunaan dua jenis perambut ini.
Secara mudahnya bolehlah dirumuskan penggunaan perambut ini bergantung kepada ikan sasaran dan lubuk. Sekiranya lubuk itu didiami oleh ikan hidup secara berkumpulan (seperti ikan merah atau ibu kerisi), maka penggunaan perambut apollo 2 atau 3 mata kail adalah lebih sesuai.
Ini adalah kerana secara logik akal ikan yang hidup dalam kumpulan besar ini memiliki tabiat makan secara berebut. Oleh yang demikian, peluang untuk mendaratkan ikan lebih dari satu ekor pada satu-satu masa adalah lebih tinggi jika menggunakan perambut apollo 2 mata kail.
Sementara perambut panjang ini lebih sesuai untuk memikat ikan yang meronda atau mendiami lubuk secara bersendirian atau dalam kumpulan yang kecil. Sementara panjang pendek perambut bergantung kepada arus dan juga jarak antara pemancing di atas bot. Boleh dikatakan perambut panjang ini lebih efektif penggunaannya berbanding perambut apollo.
Akan tetapi, sekiranya anda atau ahli trip yang lain berjaya mendaratkan ikan yang hidup dalam kumpulan besar ini dengan menggunakan perambut panjang, maka segeralah menukar kepada perambut apollo.