Soal Jawab Memancing – Pancing Asyik Kumpau!!

Share

 

SOALAN:

 

Saya bukanlah kaki kolam tapi bila ada masa saya turun la memancing ke kolam berbayar air tawar. Masalahnya, orang lain pancing asyik tarik ikan terutamanya rohu, tetapi saya asyik membangau. Padahal saya pun guna umpan dedak dan roti sama seperti mereka. Apakah saya sudah terkena badi kumpau?

 

JAWAPAN:

 

Berbanding pancingan sungai atau laut, pancingan di kolam berbayar sebenarnya paling mencabar. Malah memancing ikan air tawar terutamanya ikan patin dan spesies lain seperti tongsan atau rohu sememangnya sangat teknikal dan berseni.

 

Perkara asas nombor satu yang perlu dilakukan jika ingin memancing di kolam berbayar ialah bertanya. Jangan segan atau malu untuk bertanya sama ada kepada pemancing lain atau pemilik kolam sendiri. Tanyalah umpan apa yang harus digunakan.

 

Harus diingat, dedak atau roti hanyalah bersifat makanan ikan. Ia umpama nasi. Tentu saja kita tidak mahu makan nasi kosong saja. Tanpa lauk, nasi tidak bermakna apa-apa walaupun ia tetap akan mengenyangkan perut. Begitu juga dengan ikan, perlu ada bahan perisa ditambahkan pada umpan roti atau dedak bagi menarik deria bau ikan tersebut.

 

Lazimnya pemancing lain tidak akan mendedahkan seratus umpan (perisa) yang mereka gunakan. Ia bergantung kepada kebijaksanaan anda untuk memperoleh rahsianya. Namun pada kebiasaannya perisa pandan dan strawberi merupakan bahan asas yang banyak digunakan oleh pemancing bagi menyediakan umpan.

 

Selain umpan, teknik yang digunakan juga perlu diperhatikan. Lazimnya mana-mana pemancing kolam tidak akan berahsia soal teknik. Apatah lagi korang boleh lihat sendiri teknik yang digunakan. Jika pemancing lain mengamalkan teknik apung, maka kita gunalah teknik apung. Kalau teknik dasar lebih berkesan, maka kita gunalah teknik dasar. Selebihnya, bergantung kepada nasib dan rezeki.

Published by
Amang