Soal Jawab Memancing – Nak Bagi Set Pancing Tahan Lama??

Share

 

Apa saja peralatan pasti ada tempoh masa kegunaannya. Begitu jugalah alatan pancing. Namun ia masih mampu bertahan lama jika kita tahu mengguna dan menjaganya dengan baik. Bagi penjagaan alatan pancing termasuk alatan terminal amat penting untuk jangka hayat yang panjang.

 

Secara asasnya, penjagaan perlu dibuat setiap kali selepas anda memancing terutama di kawasan air masin. Pastikan set pancing dibilas dengan air tawar termasuk tali dan cincin rod. Selain itu, pastikan anda membuat servis kekili anda secara berkala iaitu menambah minyak dan gris apabila merasakan kayuhan sudah tidak lancar.

 

Satu perkara lain yang jarang pemancing teliti ialah kesesuaian padang pancing dengan alatan pancing yang digunakan. Sekiranya kita memancing di laut contohnya, pastikan alatan pancing khusus untuk kegunaan air masin. Tidak kiralah sama ada kekili, joran atau peralatan lain.

 

Sekiranya kita tidak memancing untuk satu tempoh yang panjang, pastikan barangan pancing yang disimpan itu telah dibersihkan sepenuhnya. Apa saja kekotoran yang melekat pada barangan pancing akan menyebabkan ia terdedah pada kerosakan apatah lagi jika dibiarkan untuk tempoh yang lama tanpa digunakan.

 

Published by
Amang